Berat Badan Ideal Wanita Hamil: Berapa Kilogram Patut Bertambah?
Berat badan ideal wanita hamil amat penting untuk dicapai elak komplikasi seperti praeklampsia dan kekejangan.
Bagi wanita hamil, kenaikan berat badan sepanjang tempoh 9 bulan itu adalah normal. Walau bagaimanapun, ia boleh jadi agak membimbangkan sekiranya kenaikan itu berlaku secara mendadak. Jadi apakah berat badan ideal wanita hamil?
Jika berat naik secara berlebihan, maka teguran daripada doktor pastinya akan ‘dihadiahkan’ kepada anda pada sesi temu janji berikutnya.
Justeru, penting untuk anda yang sedang hamil mengikut nasihat doktor dan mengekalkan berat badan ideal bagi kesihatan anda dan bayi.
Isi Kandungan
Pertambahan Berat Berat Badan Ketika Hamil
Tertanya-tanya apakah berat yang ideal ketika mengandung? Berapa banyak ia akan bertambah semasa kehamilan dan lain-lain?
“Berat bayi saya 3.12kg, namun berat saya naik sebanyak 12kg. Mengapa ia berlaku?”
“Saya sedang hamil 5 bulan dan setakat ini berat saya hanya naik 3kg. Doktor saya kata bahawa ia bukan satu perkara yang membimbangkan. Tetapi kakak ipar saya pula hamil 8 bulan namun beratnya sudah naik sehingga 10kg. Kenapa ada terlalu banyak perbezaan di antara kenaikan berat kami?”
Semestinya, akan terdapat banyak perbandingan apabila dikaitkan dengan penambahan berat badan semasa kehamilan. Salah satunya adalah tentang bagaimana berat sesetengah bakal ibu bertambah dengan lebih banyak dan cepat berbanding yang lain.
Perlu anda ingat bahawa setiap badan ibu hamil adalah berbeza-beza. Terdapat beberapa faktor lain yang memainkan peranan tentang bagaimana berat badan wanita hamil bertambah.
Untuk bakal ibu, anda pastinya sudah tahu bahawa dengan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang, ia akan membantu bayi dalam kandungan menerima nutrien yang diperlukan bagi tumbesaran yang sihat. Tetapi, berapa banyak kalori tambahan yang sebenarnya anda perlukan?
Berdasarkan kajian terdahulu, majoriti wanita mendapat berat yang di luar julat normal, di mana hanya sekitar satu pertiga atau 32% wanita mendapat jumlah berat ideal, 21% kurang berat badan, dan selebihnya iaitu 48% pula terlebih berat.
Kesan Pertambahan Berat Badan Semasa Hamil Kepada Bayi
Bayi yang dilahirkan oleh ibu hamil dengan berat yang kurang berisiko mengalami kekurangan berat. Sesetengah bayi pramatang mungkin sukar untuk ‘bersatu’ dengan ibu mereka dan keadaan ini mungkin menyebabkan bayi lebih terdedah kepada penyakit serta masalah perkembangan tidak selari dengan usia mereka.
Sebaliknya, wanita hamil dengan berat yang berlebihan pula berkemungkinan mempunyai bayi yang dilahirkan terlalu besar sehingga menyukarkan proses bersalin malah mungkin perlu melakukan pembedahan caesarean.
Ia juga boleh menyebabkan obesiti di mana berat ibu mungkin akan kekal sehingga selepas bersalin.
Berapakah Berat Yang Perlu Ditambah Semasa Hamil?
Ada yang mengatakan bahawa seseorang wanita harus menambah 11kg hingga 16kg ketika sedang hamil.
Walau bagaimanapun, julat sedemikian hanya terpakai kepada wanita yang mempunyai BMI yang normal ketika sebelum hamil. Bagi menentukan BMI anda normal atau tidak, ketinggian dan berat anda akan dikira.
Mengetahui BMI anda sebelum hamil adalah langkah pertama dalam menentukan berat badan yang perlu ditambah oleh anda ketika mengandung.
Sebenarnya, berapa jumlah berat yang perlu anda peroleh ketika hamil adalah bergantung kepada sama ada ia kelahiran bayi kembar atau bukan dan berat badan serta BMI anda ketika sebelum hamil.
Sebaik sahaja anda menentukan BMI anda, gunakan carta berikut bagi membantu anda menentukan jumlah kenaikan berat badan bagi kehamilan anda.
- BMI 18.5 hingga 24.9: kenaikan berat sepatutnya 11-16kg
- BMI 18.5 atau kurang (bermakna anda kurang berat badan sebelum kehamilan) perlu menaikkan berat sebanyak 13-18kg
- BMI 25-29.9: penambahan berat badan harus dihadkan kepada 7-11kg
- BMI 30 atau lebih: Ini menunjukkan bahawa anda obesiti dan jika ini adalah BMI anda, maka anda sepatutnya menambah berat antara 5-9kg sahaja.
Pertambahan Berat Badan Bagi Setiap Trimester Kehamilan
Seberapa cepat anda menambah berat badan semasa hamil bergantung kepada beberapa faktor, termasuk metabolisme, tahap kecergasan atau aktiviti, dan keturunan.
Kolej Obstetrik dan Ginekologi Amerika (ACOG) mempunyai saranan serta nasihat berikut untuk wanita yang mempunyai BMI normal sebelum hamil.
#1. Trimester Pertama
Berat keseluruhan anda tidak boleh meningkat lebih daripada 1 hingga 2kg.
Jika anda mengalami morning sickness, berat anda mungkin tidak akan naik atau mungkin menurun sedikit. Ia masih boleh diterima selagi anda mengekalkan berat ideal dalam tempoh enam bulan berikutnya.
Dalam kes ini, menjaga berat pada dua trimester berikutnya akan membantu mengehadkan pertambahan berat badan bagi keseluruhan kehamilan anda. Berat anda mungkin akan bertambah pada trimester ini sekiranya anda mempunyai selera makan yang besar.
#2. Trimester Kedua
Sebaiknya, anda perlu menambah berat sepanjang kehamilan memandangkan bayi anda juga membesar. Sehingga pada trimester ini, keseluruhan berat anda perlu meningkat kepada 5 hingga hingga 7kg.
#3. Trimester Ketiga
Berat badan bayi akan bertambah lebih pantas manakala berat anda pula mungkin mula perlahan, menjadikan kenaikan berat pada trimester ini perlulah di antara 4 hingga 5kg daripada trimester kedua.
Anda perlu tahu walaupun jumlahnya kelihatan besar, berat yang akan anda tanggung bukan sahaja pada bayi tetapi termasuk juga plasenta, rahim, peningkatan bekalan darah, cecair amniotik, dan lemak yang tersimpan. Adalah penting untuk anda mengamalkan diet yang sihat semasa kehamilan anda.
Memandangkan ruang perut yang mengecil sepanjang bulan kesembilan, sesetengah wanita mungkin hilang selera makan. Berat badan mereka mungkin kekal sama atau bahkan menurun. Jadi, adalah sangat normal jika anda kehilangan beberapa kilogram pada akhir trimester ketiga anda.
Bagaimanakah Pertambahan Berat Badan Diagihkan?
Pernahkah anda terfikir ke mana perginya berat anda apabila hamil? Lihat contoh pecahan umum bagi penambahan berat badan sebanyak 13kg semasa kehamilan seperti di bawah:
- Bayi: 3.4 kg
- Plasenta: 0.7 kg
- Cecair amniotik: 0.9 kg
- Pembesaran rahim: 0.9 kg
- Tisu payudara ibu: 0.9 kg
- Isipadu darah ibu: 1.8 kg
- Cecair dalam tisu ibu: 1.8 kg
- Lemak yang tersimpan: 3.2 kg
NOTA: Maklumat ini adalah berdasarkan seorang wanita yang bukan melahirkan bayi kembar. Angka untuk kehamilan bagi anak kembar akan lebih besar tetapi tidak berganda.
Betulkah Perlu Makan Untuk Dua Orang?
Elakkan tindakan makan untuk dua orang kerana ia mungkin menyumbang kepada penambahan berat badan yang tidak sihat. Makan dalam kuantiti yang sedikit dengan lebih kerap boleh membantu menahan rasa lapar dan juga merupakan satu cara menurunkan berat badan jika anda obesiti.
Untuk ibu hamil, anda tidak perlu terlalu memikirkan cara turunkan berat badan jika berat anda sedang naik sepanjang tempoh 9 bulan tersebut. Ingat, ia adalah normal, namun pastikan tidak berlebihan.
Doktor anda akan dapat membantu anda menetapkan sasaran berat yang betul. Pastikan anda tidak terlepas sebarang janji temu dengan doktor bagi memastikan berat anda sentiasa dipantau dan berada di paras yang sepatutnya.
- What to Expect. (n.d). How Much Weight Should You Gain During Pregnancy?. www.whattoexpect.com/pregnancy/weight-gain/
Artikel ini mendapat kebenaran untuk diterjemahkan daripada theAsianparent Singapura.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Bagi Anak Makan Ubat Yang Betul, Ibu Elakkan Guna Syringe Sama & Konsisten Ikut Masa
Baca juga: Baby Dalam Perut Kurang Gerak Disebabkan Beberapa Punca Ini, Ibu Kali Pertama Wajib Tahu!
Baca juga: Suplemen Zat Besi Terbaik Untuk Ibu Mengandung Dengan Masalah Anemia