Kenapa Penting Parents Ajar Anak Tiup Buih Sabun/Bersiul? Juruterapi Ini Terangkan Sebabnya
Mungkin ramai ibu bapa yang tidak sedar pentingnya kemahiran meniup untuk anak kuasai. Boleh mulakan dengan ajar anak tiup buih sabun.
Antara perkara mencabar yang dirasakan ramai ibu bapa adalah untuk ajar anak meniup? Betul bukan? Sebenarnya kemahiran meniup ini penting untuk anak kuasai. Parents boleh mulakan dengan ajar mereka tiup buih sabun.
Kenapa perlu ajar anak meniup? Apa kebaikannya dan apa keburukannya jika anak tidak tahu meniup?
Memang nampak simple sahaja perbuatan meniup ini, tetapi bagi kanak-kanak mereka perlu menggunakan otot mulut yang mana jika tidak diajar dan dilatih, mungkin sukar untuk anak-anak ini melakukannya.
Buih sabun bantu anak kuasai kemahiran meniup
Meniup adalah proses penting yang membantu kawalan pergerakan otot dan sendi mulut supaya proses pernafasan berjalan lancar seiring dengan pertuturan dan mengunyah makanan.
Mulut nampak saja kecil tetapi banyak fungsinya kerana segala kemahiran berkaitan mulut ini sebahagian perkembangan motor halus yang penting bagi setiap individu.
Ramai yang mengetahui kemahiran jari dan tangan itu termasuk dalam perkembangan motor halus namun terlupa mulut juga termasuk dalam kategori sama.
Perkembangan motor halus yang baik bukan saja penting bagi kanak-kanak untuk membuat gerakan malah ia juga antara keperluan asas bagi pembelajaran si kecil.
Kemahiran ini juga membabitkan pergerakan manipulatif yang memerlukan kanak-kanak mengawal penggunaan anggota badan dengan sebaik mungkin.
Jangan terlepas pandang ajar anak kemahiran meniup
Juruterapi bayi dan kanak-kanak, Nurliyana Raya berkata ramai ibu bapa yang terlepas pandang dengan keperluan pergerakan melalui mulut dalam perkembangan awal anak.
Ramai yang bertanya bagaimana mengajar anak meniup? Ada yang memberi anak meniup warna air di atas kertas tetapi akhirnya si anak menghisap warna air itu.
Itu belum lagi mengajar anak meniup pasir atau tepung namun akhirnya semua bertaburan dan ada yang dimasukkan ke dalam mulut.
Mulakan ajar dengan meniup buih sabun
Mulakan mengajar anak meniup dengan meniup buih sabun. Anda boleh lakukan dengan pegang kedua-dua pipi anak serentak, bagi mulut muncung ke depan dan tiup. Kerap berlatih untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.
Aktiviti ini bukan saja banyak mendatangkan manfaat namun pada masa sama, ia sangat memberikan keseronokan buat kanak-kanak yang secara fitrahnya sukakan aktiviti berbentuk keseronokan dan bukan serius.
Tiup buih sabun, wisel sangat baik untuk anak
Selain meniup buih, meniup wisel juga penting untuk perkembangan motor halus kanak-kanak.
Selepas berjaya meniup buih dan wisel, langkah seterusnya adalah mengajar anak meniup belon dan lilin namun ia agak susah.
Mengenai usia yang sesuai, seawal usia setahun empat bulan, ibu bapa sudah boleh mengajar anak untuk meniup buih sabun, jangan tunggu terlalu lama kerana walaupun nampak remeh, aktiviti ini sangat memberi pengaruh besar dalam perkembangan motor halus anak.
Aktiviti lain yang baik untuk perkembangan motor halus anak
Perkembangan motor halus anak perlu dilatih bagi memastikan ia melalui perkembangan yang sepatutnya seiring dengan usia anak anda. Jangan ambil sambil lewa mengenai perkara ini kerana ia akan memberi kesan kepada perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.
Jadi kami kongsikan aktiviti lain yang akan membantu perkembangan motor halus anak:
#1. Tanah liat
Tanah liat adalah salah satu permainan sensori yang sangat digemari kanak-kanak. Mereka akan menggunakan jari dan pergelangan tangan untuk menekan, membentuk dan menggenggam tanah liat.
Namun, terdapat kanak-kanak yang geli untuk memegang tanah liat. Mereka perlulah diberi pendedahan dengan permainan sensori yang pelbagai seperti pasir, buih dan tepung bagi merangsang sensori dengan baik.
#2. Getah
Ajarkan anak untuk memasukkan satu demi satu getah yang berwarna-warni pada setiap batang aiskrim yang ada pada gabus.
Aktiviti ini boleh memperkenalkan anak dengan kemahiran pengelasan iaitu memasukkan getah pada batang aiskrim yang mempunyai warna yang sama.
#3. Butang baju
Di samping dapat meningkatkan kemahiran motor halus anak, aktiviti ini juga adalah satu kemahiran hidup yang sangat penting dalam kehidupan seharian mereka.
Pernah tengok betapa sukarnya anak kecil untuk belajar memasukkan butang baju sendiri? Ya, adalah normal bagi anak kecil mengalami kesukaran untuk melakukannya pada peringkat awal namun, apabila selalu dilatih, proses ini akan menjadi mudah!
#4. Batang aiskrim
Aktiviti ini paling mudah dan seronok bagi si kecil. Mereka akan leka memasukkan setiap batang aiskrim ke dalam bekas yang disediakan. Anak juga secara tidak langsung boleh belajar mengira sambil memasukkan batang aiskrim satu demi satu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: harianmetro
Baca juga: Wahai Ibu Ayah, Ketahui Bahaya Tabiat Mencium Bibir Bayi, Ini Sebabnya