Ciri-Ciri Air Ketuban Yang Ibu Mengandung Perlu Tahu Supaya Tidak Keliru Dengan Keputihan Ketika Hamil
Ibu hamil perlu peka ciri-ciri air ketuban dan bezanya dengan keputihan supaya tidak mudah panik jika tiba-tiba anda rasa sesuatu yang ganjil pada vagina.
Masalah keputihan yang ketika hamil adalah perkara yang sering dialami. Keputihan yang terlalu banyak kadang kala menyebabkan ibu hamil boleh terkeliru malah risau jika ia air ketuban. Jadi kali ini, kami kongsikan ciri-ciri air ketuban supaya ibu hamil lebih tahu perbezaannya.
Ada kes berlakunya lelehan air ketuban, tetapi tidak disedari ibu hamil kerana menganggapnya sebagai keputihan kerana dia memang mengalami masalah keputihan yang banyak.
Namun, perkara ini seharunya diberi perhatian kerana kebocoran air ketuban boleh berlaku dan ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada si ibu dan kandungannya.
Ciri-ciri air ketuban & bezanya dengan keputihan
Air ketuban atau nama lainnya cecair amniotik dihasilkan oleh beberapa sumber seperti membran amniotik dan juga air kencing bayi. Kuantiti air ketuban kebiasaannya diukur melalui imbasan ultrasound pada empat bahagian kandungan yang juga dikenali sebagai penilaian cecair amniotik (AFI).
Jika kuantiti air ketuban berkurang, antara risikonya adalah dikhuatiri boleh berlaku kecacatan pada janin.
Air ketuban dihasilkan daripada cecair plasma ibu dan disalurkan pada bayi melalui membran amniotik mengunakan proses osmosis. Ketika janin mencapai usia 16 minggu ke atas, air kencing yang dihasilkan oleh janin juga menyumbang kepada air ketuban.
Pada awal kandungan, air ketuban diserap melalui liang kulit dan juga tisu janin. Setelah janin mencecah usia 20 minggu ke atas, janin akan menelan air ketuban dan masuk ke saluran pemakanan. Regulasi seperti ini penting bagi memastikan kuantiti air ketuban normal.
Air ketuban dan keputihan pada umumnya memiliki ciri yang lebih kurang sama iaitu jernih dan tidak berbau. Namun, ada beberapa perbezaan air ketuban dan keputihan ketika hamil.
Ciri-ciri air ketuban
Apabila cairan yang keluar dari vagina adalah air ketuban, tanda-tandanya adalah:
- Air jernih
- Tidak berbau
- Rasa air menitis sedikit demi sedikit atau terlalu banyak/laju
- Mengalir ke bahagian paha dan terangat hangat/suam
- Seluar dalam tiba-tiba basah
- Ada perasaan seperti ‘letupan kecil’ seperti ‘pop’ dan seluar dalam atau seluar/kain yang dipakai basah
- Rasa seperti darah haid yang mengalir dari vagina
- Rasa memulas
- Tiada rasa sakit langsung
Ciri-ciri keputihan
Keputihan atau lelehan lendir yang keluar daripada faraj wanita ada pelbagai sifatnya dan berbeza di antara wanita. Biasanya berwarna jernih atau kelabu keputihan.
Jika keputihan tidak berubah warna kekuningan atau kehijauan bermakna tiada jangkitan. Pangkal uterus juga mengeluarkan lendir dengan tujuan mencantumkan benih lelaki (sperma) dan perempuan (ovum) dalam proses persenyawaan.
Lendir dikeluarkan menghasilkan tenaga dan makanan kepada sperma bagi tempoh persenyawaan berlaku.
Jika anda aktif dalam melakukan hubungan kelamin, perlu jalani ujian lumuran pap dan pemeriksaan pelvis. Keputihan atau lendir faraj berubah akibat perubahan hormon dan perubahan mental, jangkitan, ubatan dan penyakit dalaman. Wanita mempunyai kitaran haid yang dipengaruhi hormon.
Keputihan dianggap bermasalah seandainya ia keluar terlalu banyak, berbau busuk, hanyir dan menyebabkan bahagian sulit berasa gatal atau radang.
Apabila cairan yang keluar adalah keputihan yang banyak, ia berbeza dengan air ketuban. Tanda-tandanya termasuklah:
- Ia berwarna jernih, tetapi ada keputihan yang berwarna putih seperti krim
- Berlendir dan berbau ringan
- Apabila mengering, keputihan akan meninggalkan kesan kekuningan di atas pakaian dalam
Risiko sekiranya air ketuban berkurang
Sekiranya air ketuban berkurang, ada banyak risiko yang bakal terjadi terutamanya kepada bayi dalam kandungan ibu. Antaranya termasuklah:
- Kematian janin dalam kandungan ataupun ketika dilahirkan
- Air ketuban yang kurang akan menyebabkan janin sukar bergerak
- Bayi juga boleh mengalami kecacatan terutamanya pada tangan dan kaki akibat daripada mampatan dalam rahim
- Menyebabkan proses kematangan paru-paru terbantut
- Menyebabkan perkembangan janin terbantut ataupun terhalang
- Menyukarkan proses beranak yakni tali pusat boleh terbelit
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Anda Rasa Air Ketuban Pecah? Jangan Panik, Ini 3 Benda Anda Harus Buat
Baca juga: Selain Makan Buah Tembikai, Ini 7 Cara BERKESAN Menambah Air Ketuban Ketika Hamil