Benjolan Di Kemaluan & Gatal -Gatal Saat Hamil, Normal Ke? Ini Punca & Cara Merawatnya
Wanita hamil kerapkali menghidapi masalah gatal di kemaluan saat hamil. Apakah penyebab keadaan ini dan apa yang boleh dilakukan untuk menghilangkannya?
Salah satu masalah kerap dihidapi wanita hamil adalah keputihan yang banyak. Masalah keputihan bukan sahaja mengganggu keselesaan, malah menjadi-jadi pula apabila terdapat benjolan di kemaluan yang mengakibatkan kegatalan.
Bagi wanita yang tidak mengalami keputihan sebelum hamil, pasti akan terkejut dan tertanya-tanya adakah ini normal bagi wanita hamil? Hakikatnya, wanita hamil lebih kerap terjadi keputihan dan ini adalah perkara normal, namun berisiko sekiranya ia menyebabkan kegatalan.
Benjolan di Kemaluan Mengakibatkan Kegatalan
Apakah yang menyebabkan terjadinya benjolan tersebut? Adakah daripada keputihan yang banyak? Ada juga kemungkinan. Apabila ibu hamil mengalami keputihan yang banyak kemudian panty liner pula tidak disalin dengan kerap ia akan menyebabkan pengumpulan bakteria. Lantas mengakibatkan iritasi pada kemaluan. Mulalah timbul benjolan di kemaluan yang cukup gatal!
Apa Itu Keputihan?
Keputihan atau dikenali sebagai “leucorrhea” ialah cecair atau lendir berlebihan yang keluar dari faraj wanita. Cecair atau lendir merupakan bakteria normal yang bertekstur nipis, tidak berwarna atau putih susu, dan berbau ringan.
Dalam maksud lain, ia merupakan sisa buangan dari rahim dan faraj, dan sel-sel yang telah mati dari dinding faraj.
Keputihan berfungsi untuk:
- Bertindak sebagai pencuci semula jadi dalam membasmi bakteria-bakteria yang tidak diingini supaya dilindungi daripada jangkitan dan iritasi. Mengimbangkan pH dan bakteria semulajadi (normal flora) di sekeliling faraj wanita.
- Jika pH faraj menjadi tidak seimbang, maka ia mudah bagi bakteria atau kulat untuk menjangkiti faraj menyebabkan pertukaran warna, ketul-ketulan dan bau yang amat tidak menyenangkan kepada keputihan.
Keputihan Tidak Normal Menyebabkan Kegatalan Semasa Hamil
Keputihan yang bermasalah (keputihan patologi) yang disebabkan oleh jangkitan kuman, menunjukkan petanda penyakit seperti lelehan lendir yang kental, berwarna kuning, kelabu atau hijau, berbau busuk dan menyebabkan gatal di sekitar kemaluan dan selangkangan.
Jangkitan kuman menjadi penyebab utama gatal pada kemaluan wanita remaja dan gatal pada kemaluan saat hamil. pH pada bahagian faraj wanita tidak seimbang semasa kehamilan dan secara tidak langsung ramai wanita berdepan dengan masalah keputihan saat hamil.
Antara mikroorganisma yang menyebabkan keputihan bermasalah ialah Gardnerella vaginalis (bakteria), Trichomonas vaginalis (parasit), Candida albicans (kulat) dan lain-lain lagi.
Tambahan lagi, wanita hamil yang menghidapi penyakit kencing manis, lebih terdedah kepada penyakit keputihan disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam rembesan faraj yang menggalakkan pertumbuhan kulat yang banyak di bahagian faraj.
Rawatan Bagi Gatal Di Kemaluan Saat Hamil
Rawatan bagi keputihan bermasalah bergantung kepada punca yang menyumbangnya, sama ada faktor pemakanan, gaya hidup atau rutin kebersihan.
Anda boleh melakukan beberapa perkara berikut bagi mengelakkan benjolan di kemaluan dan mengurangkan kekerapan gatal di kemaluan saat hamil:
- Untuk mengelak daripada sebarang jangkitan di kawasan kemaluan, lap bahagian kemaluan dari depan ke belakang untuk menghalang bakteria dari dubur masuk ke dalam vagina, setiap kali selepas buang air di tandas.
- Salah satu petua yang boleh digunakan ialah jika gatal-gatal kemaluan tersebut disebabkan oleh alergen atau perengsa, anda haruslah mengenal pasti dan mengelak daripada alergen itu.
- Elakkan seks tanpa perlindungan, terutamanya jika anda bimbang bahawa anda atau pasangan anda mungkin mengalami jangkitan.
- Dapatkan preskripsi ubat yang bersesuaian untuk wanita hamil dari doktor yang berdaftar, supaya tidak mengganggu kehamilan anda.
- Jika anda ada kencing manis semasa hamil, hentikan pengambilan makanan manis.
- Pakai seluar dalam yang diperbuat dari kapas, dan pastikan anda menukar panty liner dengan kerap.
- Basuh seluar dalam menggunakan sabun pencuci yang ringan, elok jika anda gunakan sabun basuh baju bayi.
- Sentiasa pastikan kemaluan anda kering sebelum memakai seluar dalam.
- Elakkan mencukur bulu ari-ari, trim sudah memadai. Benjolan di kemaluan juga mungkin berpunca daripada bulu ari-ari yang tersumbat (ingrown hair).
Semoga bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: SehatQ, doctoroncall
Baca juga: Vagina Gatal-Gatal, Semak Tanda-Tanda Ini Ia Mungkin Serius!