Isteri yang suka membebel terbukti membuatkan suami lebih sihat - Kajian
Walaupun ramai berpendapat membebel sebagai perkara tidak baik, tapi isteri membebel mungkin kerana dari rasa sayang dan niat yang baik. Ini antara buktinya!
Kita sering dengar suami mengadu penat mendengar isteri membebel. Malah ada yang sanggup curang dan bercerai kerana kononnya sudah tidak tahan dengan isteri yang kuat membebel.
Tapi tahukah anda yang isteri membebel adalah isteri yang sayang pada suami dan ia kini terbukti boleh memberi manfaat kepada kesihatan suami? Ha… sekarang saya bukan sengaja nak back up isteri yang membebel, ya!
Kajian sendiri membuktikan selain dari kesetiaan, kesihatan juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan perkahwinan yang bahagia. Hubungan yang harmoni boleh mengurangkan tekanan dan membantu mengekalkan minda yang waras walaupun menghadapi cabaran hidup.
Sebab itu ada kajian yang membuktikan bagaimana perkahwinan yang sihat boleh tentukan kesihatan jantung anda!
Berbalik kepada isteri membebel, bagaimana ia boleh membuatkan suami lebih sihat pula?
Menurut kajian, isteri membebel boleh kurangkan risiko kencing manis pada suami
Kajian yang dilakukan oleh Universiti Michigan mendapati isteri membebel baik untuk suami kerana ini boleh mengurangkan risiko suami mendapat penyakit kencing manis pada masa depan.
Berikut antara hasil kajian ini:
- Pada permulaan kajian, penyelidik mengkaji sebanyak 1,228 pasangan berkahwin di antara usia 57 – 85 tahun. Menjelang akhir kajian yang telah mengambil masa 5 tahun, 389 menghidap penyakit kencing manis.
- Penyakit kencing manis adalah penyakit yang memerlukan banyak penjagaan. Lelaki yang menghidap penyakit ini perlu banyak peringatan supaya sentiasa menjaga makan dan menjaga kesihatan diri.
- Lelaki dengan isteri membebel mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengatasi penyakit ini.
“Penyakit kencing manis adalah penyakit yang dipengaruhi oleh faktor sosial. Menarik sungguh melihat bukti bagaimana perkahwinan boleh mempengaruhi kesihatan pesakit,” kata profesor Cathy Liu, Ph. D. kepada Healthline.
“Kualiti perkahwinan yang baik boleh menggalakkan kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit.”
Isteri membebel adalah isteri yang sayang pada suami
Wahai suami…. Tahu tak disebabkan isteri membebel, anda tidak lupa untuk berjumpa doktor apabila sakit?
Isteri membebel akan buat anda ingat untuk makan vitamin, pilih makanan yang lebih sihat dan menjaga kesihatan diri secara keseluruhan.
“Tujuan kajian ini untuk mencabar tanggapan orang yang isteri membebel memudaratkan kesihatan,” kata Hui Liu, profesor sosiologi MSU dan penyelidik utama.
“Ia juga menggalakkan penyelidik untuk mengambil kira sumber-sumber lain dan kualiti perkahwinan. Kadang-kadang, isteri membebel adalah isteri penyayang.”
Mengapa isteri membebel? Ini dari sudut pendapat lain
Selalunya, isteri membebel disebabkan kerja yang belum siap. Ini perkara yang selalu berlaku pada pasangan yang sudah lama berkahwin. Apabila ditambah dengan tekanan harian, pasangan suami isteri boleh melepaskan geram dengan membebel.
Walaubagaimanpun, biasanya si isteri lebih banyak membebel dari si suami. Kenapa?
Ini kerana isteri rasa bertanggungjawab dan perlu memastikan semuanya diurus dengan baik contohnya rumah tangga, menjaga anak-anak dan lain-lain.
4 tips supaya kita tidak menjadi isteri membebel
Walaupun kita tahu suami akan mudah rimas dan tidak suka dengan isteri yang kuat membebel, tapi kita tetap akan melakukan perbuatan itu.
Namun kini, kami sediakan beberapa tips untuk isteri mengawal tahap kebebelan dan mendatangkan lebih bahagia dalam perkahwinan:
1. Percaya pada kemampuan pasangan untuk menghabiskan tugas
Ini mungkin cabaran yang agak besar untuk sesetengah wanita, terutamanya jika suami mereka jenis yang suka menangguhkan kerja.
Tapi kepercayaan antara suami isteri juga perkara yang penting dalam perkahwinan yang harmoni.
2. Bersabarlah wahai isteri!
Hargai usaha suami dan beritahu mereka yang anda menghargai mereka tak kira apa pun. Rasa sayang itu tidak hanya berkembang apabila hubungan anda berdua berjalan lancar.
Tapi hubungan anda berdua akan lebih teguh jika pasangan bersabar dan menunjukkan kasih sayang walaupun menghadapi cabaran.
3. Jujur dengan pasangan
Apabila berbincang bersama pasangan, ada caranya untuk berjujur tanpa menyakiti perasaan mereka. Beritahu mereka apa yang anda harapkan, kemudian bincang cara untuk mengatasi masalah itu bersama-sama.
4. Mengaku kesalahan diri
Jika isteri suka membebel setiap masa, ini hanya akan menyebabkan pasangan rasa tidak dihargai. Lebih-lebih lagi apabila si pengadu tidak mengaku mereka juga membuat kesalahan dan bukannya perfect sangat pun.
Jangan hanya beri fokus pada kekurangan pasangan, sebaliknya galakkan satu sama lain untuk memperbaiki diri.
Minta maaf dengan segera apabila anda terlanjur kata, dan amalkan sikap yang terbuka apabila mendapat kritikan.
***
Biarpun orang selalu menganggap membebel ni sebagai perkara yang negatif, jangan lupa untuk memandang dari sudut yang berbeza. Isteri membebel tidak semestinya perkara yang tidak baik.
Kerana mungkin disebalik kata-katanya itu, ialah seorang isteri yang sayang dan mengambil berat tentang pasangannya.
Sumber: Healthline, Michigan State University, TIME, The New York Times
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Tak Salah Nak Kahwin Muda, Tapi Jika Tidak Bersedia Secara Mental, Padah Akibatnya