"Kesian Badan Kita, Bagilah Ia Rehat Sekejap."- Ini Kenapa Doktor Bising Bila Jarak Kehamilan Dekat
Ibu ayah sebaiknya berbincang sebaik mungkin sebelum merancang kehamilan sekali lagi.
Memiliki anak yang ramai merupakan kemahuan sesetengah pasangan terutamanya yang memang berniat untuk mempunyai keluarga besar. Namun atas faktor usia, ada pasangan yang tidak menitikberatkan jarak kehamilan dekat yang boleh memberi kesan kepada tubuh wanita.
Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu berbagi perhatian menyebabkan ada dikalangan anak-anak tidak mendapat kasih sayang yang cukup. Isu ini mungkin kedengaran taboo pada sesetengah orang kerana pastinya anak-anak merupakan rezeki, namun adakah mereka mengambil tahu tentang aspek lain yang mungkin tercetus apabila kerap hamil?
Jarak Kehamilan Dekat: “Umur 25 Pun Dah 5-6 Orang Anak”
Umum mengetahui kehamilan kurang berisiko sebelum ibu mencecah usia 35 tahun. Namun lain pula yang terjadi apabila ramai pasangan muda yang anak yang ramai sebelum mencapai umur 30-an.
Hakikatnya, tahukah anda yang kehamilan yang tidak dikawal boleh memberi impak bukan sahaja kepada perkembangan anak-anak, malah kepada kesihatan ibu juga? Berikut perkongsian Dr. Erna Nadia berkenaan jarak kehamilan dekat di laman Facebook beliau:
JARAK KEHAMILAN
Saya ditugaskan untuk menjaga MCH ( maternal & child health) di klinik baru ini. Risau juga sebab agak berisiko tapi saya selalu fikir kalau tidak belajar sekarang, bila lagi?
Kebetulan seorang senior doktor di sini adalah bekas pelajar masters dalam bidang kesihatan keluarga.Hari pertama lagi dia dah tahu yang saya berminat untuk sambung belajar dalam bidang yang sama.
Nasihat dia : Erna, awak perlu banyak membaca setiap hari. Bukan baca CPG sahaja tapi kena buka textbooks dan baca jurnal. Dan awak praktikkan dalam kerja seharian. Insha Allah ok punya.
Telan liur kejap.
Punyalah susah nak jadi pakar ni kan?
Tapi kenapa ramai orang boleh senang2 percaya kepada penjual atau penyampai petua merapu yang langsung tak ada ilmu asas pun tentang kesihatan?
Pelik binti benar bin ajaib.
Ok, kembali kepada topik asal.
Kawasan tempat saya kerja ini adalah kawasan pedalaman. Orang utara kata hulu banat. Orang kl kata hulu gilerrr.
Jadi, ibu ibu di sini rata ratanya ada ramai anak.
Umur 25 pun dah 5-6 orang anak.
Ramai dan meriah.
Tapi tak terurus. Baik mak atau anak.
Ya, memang kita digalakkan untuk memiliki ramai cahaya mata tapi adakah kuantiti lebih penting dari kualiti?
Risiko Kehamilan Kerap dan Jarak Terlalu Dekat
Kenapa doktor selalu bising bising kalau jarak kelahiran dekat?
Risiko untuk mendapat bayi kurang berat badan dan zat, risiko kelahiran pramatang, risiko anemia ( kurang darah) dan masalah kongenital adalah tinggi kepada ibu yang sudah mengandung lagi dalam masa 6 bulan.
Faktor risiko jika jarak kehamilan rapat:
1. Anemia
Wanita akan kehilangan darah dalam 200-400 ml darah setiap kali melahirkan anak ( jika beranak normal). Kehilangan darah yang banyak ini perlu di ganti semula. Darah merah memerlukan masa 90-120 hari untuk terbentuk semula. Kelahiran yang rapat akan membuatkan darah merah belum sempat terhasil dan risiko semakin tinggi kerana ibu perlukan darah yang cukup semasa mengandung.
Jadi, bayangkan.
Sudahlah yang lama belum sembuh, kita tambah lagi beban pada hati kita untuk kerja keras hasilkan darah. Bila kurang darah, kena ambil darah banyak kali dan suruh makan ubat tambah darah banyak, kita bebel kata doktor kejam.
2. Tombong atau rahim jatuh
Ingat lagi kenapa berlakunya tombong?
Salah satu faktor terbesarnya adalah kelahiran yang ramai. Ingat, rahim kita adalah otot yang fleksibel. Semakin kerap kita beranak, semakin tinggi risiko untuk mendapat tombong.
Semasa melahirkan anak, banyak otot yang luka dan trauma. Setiap yang luka pasti memerlukan masa untuk pulih.
Kesian badan kita. Bagilah dia rehat sama sekejap.
3. Rahim pecah
Hal ini banyak berlaku pada ibu yang melahirkan anak secara bedah. Rahim yang dipotong memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih. Nak nak pula kalau si ibu ada masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, kencing manis yada yada yada.
Rahim yang belum sempat pulih kemudian di tambah dengan kehamilan baru, berisiko untuk pecah ( jarang berlaku tapi boleh).
4. Kelahiran pramatang
Rahim masih lemah dan kita tambah beban lagi pada dia. Akibatnya rahim kekal lemah sepanjang kehamilan baru.
5. Bayi kurang berat badan
Ini adalah kerana ibu senang mendapat anemia. Kekurangan nutrisi menyebabkan bayi kurang mendapat zat semasa di dalam rahim. Kesian kan?
6. Depressi
Ada sesetengah kes, si ayah yang asyik nak anak. Nak buat kelab bola sepak katanya. Nak ada perempuan katanya ( lepas 10 anak semua lelaki).
Ya lelaki memang senang. Akibat mereka, yang menanggung adalah isteri. Padahal isteri tak rela mengandung lagi.
Jangan jadi lelaki dayus.
Fikir sama keadaan fizikal dan mental isteri.
Bukan senang nak jaga bayi kecil. Ditambah pula luka dalaman yang masih belum sembuh. Takut nanti isteri meroyan sebab terlampau tekanan. Nak ditolak takut dikata isteri nusyuz.
Bincang sama sama.
Nak berapa anak.
Bagaimana nak jaga.
7. Autism
Bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan jarak kehamilan kurang dari setahun setengah adalah sangat berisiko menjadi autism. Perkembangan di dalam rahim menjadi terbantut jika nutrisi tak mencukupi.
8. Anak terabai
Rata rata yang datang klinik dengan anak masih setahun dan kandungan dah menjejak dua tiga bulan biasanya akan mengabaikan sahaja anak mereka. Anak yang berumur 0-3 tahun memerlukan perhatian yang lebih dari ibu bapa mereka kerana mereka sedang membesar.
Mereka tak pandai nak melakukan apa apa lagi.
Biasanya bila mengandung, wanita akan jadi sedikit beremosi akibat daripada hormon dan penat atau morning sickness. Bila anak perlukan anda, anda marah anak kata anak anda degil padahal mereka cuma kanak kanak yang tak faham apa apa.
Kesian mereka.
9. Masalah tulang rapuh
Apabila mengandung, wanita memerlukan kalsium yang cukup untuk dirinya dan anak yang dikandung. Bayangkan kalau tengah mengandung dan anda masih menyusu anak anda lagi?
Hormon estrogen amat penting untuk penyerapan kalsium. Gangguan pada hormon boleh menganggu struktur tulang.
10. Rumahtangga terabai
Apabila anak masih kecil dan berderet dan anda mengandung lagi, kesihatan anda akan sedikit terjejas. Bukan kesihatan fizikal sahaja tetapi mental juga.
Nak uruskan rumah, nak uruskan suami dan anak anak dan nak uruskan diri sendiri dan kandungan. Akhirnya semua urusan jadi caca merba dan diri sendiri tidak selesa.
Jadi, adakah kita masih lebih mementingkan kuantiti berbanding kualiti?
Ya, saya faham ramai yang kata Islam galakkan ramai anak tapi kita kena ambil kisah untuk semuanya. Dari aspek kesihatan dan ekonomi serta perkembangan anak anak.
Kita tak boleh pentingkan diri sendiri.
Jika isteri tak sihat, biar dia betul sembuh dahulu.
Jika anak anak terabai, pulihkan dahulu kucar kacir keluarga.
Jika ekonomi tak membantu, fikirkan dahulu cara untuk stabilkan kehidupan anda.
Ada sebab kenapa doktor suruh jarakkan kehamilan.
Seeloknya jarakkan kehamilan 2-5 tahun.
Ada banyak kaedah untuk merancang keluarga.
Katanya ada viral mengatakan yang pil atau suntikan perancang adalah merbahaya?
Jawapan saya tak betul.
Biasalah nyetizen ni, gemar sangat menakut nakutkan orang dengan sesuatu yang tak pasti. Macam isu vaksin💁🏼
Bincang seeloknya dengan pasangan anda.
Fikir akan faktor risiko masa hadapan.
Rancang keluarga bagaimana yang ingin anda bentuk bersama.
Untuk isteri, jika tak selesa atau rasa penat atau ada penyakit, tolong jangan takut dan segan untuk bagitahu suami. Suami anda bukan jembalang yang makan orang.
Cakap elok elok, terangkan lembut lembut.
Insha allah mereka boleh faham.
“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dan untuk suami, fahami dan sayangilah isteri anda. Kita kahwin bukan sebab nafsu, tapi kita kahwin kerana tanggungjawab.
Jika anda sayang mereka, dengarkan mereka.
Perempuan ini biasanya sayang suami lebih dari diri dia sendiri.
Saling menjaga, insha Allah bahagia😊
“Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman). “
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Nota kaki : biar kuantiti kecil tapi kualiti besar dari kuantiti banyak tapi semua terabai dan terbiar✌🏻
Dr. Erna Nadia
Dunia ini perlu ada keseimbangan akal dan agama adalah tunjangnya😊
Semoga bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Facebook Dr Erna Nadia
Baca juga: