Kehamilan Muda Bawah Usia 20 Tahun Boleh Membahayakan Nyawa Ibu & Janin- Pakar
Bagi wanita yang berkahwin pada usia belasan tahun, kehamilan muda boleh membahayakan kesihatan dan berpotensi mendatangkan komplikasi terhadap janin
Tidak dinafikan bahawa kanak-kanak dan remaja perempuan melalui proses matang lebih cepat berbanding lelaki. Ada yang membuat keputusan untuk berkahwin sebaik sahaja tamat sekolah menengah, namun tahukah anda akan risiko kehamilan muda yang bakal dihadapi?
Sebenarnya, perkahwinan bawah usia bagi perempuan perlu diberikan perhatian serius kerana kebanyakan mereka masih belum bersedia untuk melalui proses kehamilan secara sihat.
Risiko bahaya kehamilan muda
Berdasarkan data dari World Health Oganization (WHO), hampir 16 juta wanita berusia 15 hingga 19 tahun melahirkan anak setiap tahun. Jumlahnya mencapai sekitar 11 peratus dari keseluruhan kelahiran di dunia.
Kehamilan muda sebenarnya boleh membahayakan kesihatan apabila ibu mengandung terdedah kepada risiko kematian sehingga lima kali ganda berbanding wanita dewasa. Ia juga berupaya membahayakan kesihatan ibu sepanjang tempoh kehamilan tersebut.
Menurut penjelasan oleh pakar Obstetrik Pakar Sakit Puan (O&G) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Harlina Halizah Siraj, ia berlaku disebabkan oleh badan remaja perempuan dilihat belum benar-benar bersedia untuk mengandung.
Meneliti laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan bahawa remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun yang hamil mempunyai risiko dua kali ganda untuk meninggal dunia ketika proses bersalin berbanding dengan wanita berusia 20 tahun ke atas.
Manakala remaja berusia bawah 15 tahun yang hamil juga mengalami risiko kematian sehingga lima kali ganda berbanding wanita berusia 20 tahun ke atas.
”Zaman datuk nenek kita bukan kahwin (bawah umur) bila sudah mengandung. Tapi ia adalah untuk merapatkan hubungan dua keluarga, jadi sebenarnya keluarga yang menguruskan perkahwinan tersebut.” jelasnya.
Dalam hal ini, perkahwinan awal usia atau bawah umur mampu memberikan kesan ketara terhadap kesihatan seksual dan sistem reproduktif remaja.
Mengulas lebih lanjut, Harlina berkata remaja yang hamil amat memerlukan penjagaan rapi dan sokongan daripada ahli keluarga, namun malangnya kebanyakan masa ia tidak berlaku.
Berupaya menganggu kesihatan ibu dan perkembangan bayi
Dipetik dari Healthline, hamil di usia remaja cenderung meningkatkan masalah anemia atau kekurangan jumlah sel darah merah dalam tubuh ibu mengandung. Keadaan ini akan membuatkan anda cepat berasa letih sehingga boleh menjejaskan proses perkembangan janin.
Selain itu, hamil muda ini turut menyebabkan risiko kelahiran bayi pramatang. Biasanya kehamilan yang normal memerlukan tempoh masa selama 40 minggu, namun jika anda mengandung pada usia bawah 20 tahun ini berkemungkinan besar akan bersalin awal iaitu sekitar 37 minggu.
Keadaan ini boleh memberikan kesan negatif terhadap perkembangan otak, fizikal dan organ janin kerana masih belum sempurna. Bahkan, kesan jangka masa panjang akibat kelahiran pramatang ini, bayi cenderung mengalami pelbagai gangguan kesihatan dan masalah tumbesaran seumur hidupnya.
Bukan itu sahaja, bayi pramatang yang lahir dari seorang ibu masih remaja turut mengalami masalah berat badan kurang. Si manja turut berkemungkinan berdepan sukar bernafas dan menyusu dengan baik seperti bayi normal yang lain.
Bayi yang dilahirkan dengan berat badan kurang ini secara tidak langsung terdedah terhadap pelbagai penyakit ketika dia melalui pertambahan usia dewasa. Misalnya, dia mungkin mudah menghidap penyakit kencing manis dan jantung.
Membuatkan ibu muda mudah berasa tertekan
Menukur pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Ali Sungkar, kehamilan usia muda dapat memicu stres dan masalah buruk yang lain. Hal ini kerana golongan remaja perempuan belum memiliki organ yang matang, walaupun organ reproduksinya sudah lengkap.
”Jika dilihat dari sudut BMI, kebanyakan remaja hanya sekitar 17. Umumnya fizikal mereka kurus sehingga memerlukan pertambahan berat atau dalam kata lainnya, mereka masih tidak memiliki nutrisi mencukupi. Sebab itulah berisiko tinggi mengalami preeklampsia,”
”Sebenarnya waktu terbaik untuk ibu hamil adalah dalam lingkungan umur 25 hingga 35 tahun. Pada tempoh ini, ia adalah usia matang bagi wanita secara fizikal dan mental. Bukan itu sahaja, keadaan emosi juga adalah lebih baik sehingga dapat menjauhkan diri anda dari risiko stres ketika mengandung. ” jelasnya.
Sumber: Malaysia Kini
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: