Penjagaan bayi pramatang tidaklah begitu mudah. Bayi yang lahir tidak cukup bulan ini memerlukan teknik khusus berbanding bayi normal lain. Kebiasaannya, si manja dilahirkan lebih awal antara 28 hingga 36 minggu pada usia kehamilan ibu.
Apa yang pasti semakin pramatang usianya, semakin rumit penjagaan bayi pramatang. Berdasarkan rekod, lebih kurang 80 peratus bayi di Malaysia telah dilahirkan pramatang. Kebanyakannya mempunyai berat badan terlalu ringan iaitu kurang daripada 2 kg sehingga memerlukan pantauan hospital sebelum dibenarkan keluar.
Penjagaan bayi pramatang yang betul membolehkannya membesar dengan baik

Mengimbas kembali perkongsian oleh seorang ibu, Syadiyah Sajuddin, dia berkongsi sebuah kisah yang dilaluinya bagi meningkatkan semangat para ibu yang melahirkan bayi kecil seperti anaknya dan juga bakal ibu ayah di luar sana.
Semasa lahir, doktor mengatakan berat anak perempuan saya cuma 1.83kg. Dia tidak membesar dengan sihat ketika dalam kandungan. Nak dijadikan cerita, Allah bagi lagi ujian dia terkena demam kuning.
Berat tiba-tiba turun sehingga 1.7kg sahaja, lebih kurang sama dengan saiz patung Barbie sahaja. Saya sangat sedih sebab orang yang datang melawat tengok anak seperti makhluk asing.
Sudahlah tubuhnya kecil, kulit berkedut-kedut, gelap pula tu. Tidak seperti bayi baru lahir lain, putih gebu. Saya sentiasa bersabar sahaja dengan mulut makcik-makcik bawang yang datang melawat ke rumah.

Kemudian saya tidak pernah berputus asa. Saya jaga waktu penyusuan dia, pastikan dia tidur secukupnya dan paling penting saya usaha untuk elakkan dia menangis lama-lama. Sebab bila bayi menangis, ia boleh mengurangkan berat badan dia juga.
Alhamdulillah kini anak saya sudah memasuki usia 11 bulan (Birthday dia pada 26/12 nanti). Dia sudah banyak berubah. Badan jadi makin berisi. Kalau dukung memang boleh terseliuh juga lah bahu jika terlupa bawa stroller atau baby carrier.
Jadi pada ibu-ibu atau bakal ibu yang melahirkan bayi pramatang atau bayi kurang berat badan, usahlah berputus asa. Jangan tertekan dengan melayan sangat mulut orang sekeliling. Kita letakkan fokus sepenuhnya untuk membesarkan anak dan memastikannya sentiasa sihat.
Nanti saya kongsikan lagi ya tips-tips menambah berat badan bayi. Di sini saya sertakan sekali gambar anak waktu dia lahir dan gambar yang terkini. Sebab saya kesian, ramai ibu di luar sana sedih bila anak mereka tidak cukup berat badan.

Tips meningkatkan berat badan bayi pramatang
#1. Tidak boleh penat
Jangan melakukan beberapa aktiviti secara berturut-turut. Misalnya menggantikan lampin, memakai baju dan menyusukannya. Ini akan membuatkan bayi berasa penat. Antara tanda si manja penat adalah hilang fokus mata, tangan seperti menolak, mengantuk, menguap berlebihan dan meragam.
#2. Elakkan bunyi bising
Jangan sesekali membuat bunyi bising seperti bercakap kuat di depan bayi atau menutup pintu bilik dengan kuat ketika si manja sedang tidur. Bayi pramatang amat memerlukan tidur yang berkualiti bagi merangsang hormon pertumbuhan dan perkembangan sel otak secara optima.
#3. Posisi tidur dan pasang lampu malap
Ciptakan tempat tidur bayi daripada gulungan selimut tebal yang dibuat membentuk huruf U. Letakkan bayi dalam ‘sarang’ tersebut seperti posisinya di dalam rahim. Dengan kedudukan ini, bayi merasakan dia sentiasa dipeluk dan tidak akan terperanjat.
Manakala ketika menyusu atau menidurkannya, pastikan anda memasang lampu yang bercahaya malap. Tidur yang lama, koordinasi pernafasan dan menelan dengan baik susu dapat menggalakkan pertambahan berat badan.
Apabila cahaya terlalu terang, bayi akan menutup mata sehingga rangsangan penglihatan menjadi kurang baik.
#4. Memegang bayi
Pegang bayi pramatang dengan kemas tanpa menyebabkan dia terkejut. Ketika mengangkat, pegang juga kedua lengannya serapat yang boleh, selain menahan leher ataupun punggungnya. Anda juga boleh dukung bayi dalam keadaan memakai bedung.
#5. Lakukan stimulasi
Stimulasi adalah sentuhan, suara dan penglihatan yang dapat membantu bayi pramatang. Caranya adalah dengan menghangatkan tapak tangan anda ketika memegang si manja. Kemudian letakkan jari telunjuk dalam genggamannya.
Bayi sememangnya menyukai suara ibu, jadi ajaklah dia berbual ketika menyusu atau sebelum si manja mengantuk. Ketika berbual, jarakkan wajah anda antara 20 hingga 30cm di hadapannya.
Sumber: Siakap Keli, BPM
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.commati-hidup-semula
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!