Kelahiran bayi pramatang berlaku selepas usia kehamilan 20 minggu dan sebelum 37 minggu. Kajian mengenai kelahiran pramatang ini yang telah dilakukan oleh March of Dimes ini menunjukkan bahawa ia semakin meningkat untuk lima tahun berturut-turut serta didapati sebanyak 10% daripada ibu hamil akan melalui kelahiran awal iaitu usia bayi pramatang 7 bulan dan 8 bulan.
Semua bakal ibu ingin melahirkan anak yang sihat, tapi tahukah anda yang setiap ibu mempunyai risiko untuk melahirkan baby pramatang?
Untuk mengetahui apakah faktor dan tanda kelahiran pramatang ini, anda boleh merujuknya di bawah ini.
Faktor Menyebabkan Kelahiran Bayi Pramatang

Risiko ini boleh disebabkan oleh pemakanan, cara hidup serta faktor-faktor lain seperti genetik ibu terbabit dan tindak balas kimia dalam badannya. Artikel ini bukan untuk menakut-nakutkan anda dengan kelahiran pramatang.
Namun, semua ibu hamil harus tahu tentang risiko ini untuk kebaikan diri dan keselamatan janin. Di sini kita lampirkan 9 faktor yang boleh meningkatkan risiko ibu melahirkan baby pramatang seperti yang dikongsi oleh Julie Revelant dalam laporan Fox News.
#1. Pernah melahirkan bayi pramatang sebelum ini
Menurut Dr. Jill Hechtman, pengarah perubatan Tampa Obstetrics di Tampa, Florida, sejarah ibu yang pernah melahirkan bayi pramatang adalah salah satu tanda ia mungkin akan berlaku semula.
Kajian mendapati 30-50% wanita yang pernah mengalami kelahiran pramatang akan melahirkan bayi pramatang untuk anak seterusnya.
#2. Jarak kehamilan
Risiko kelahiran pramatang akan bertambah jika jarak kehamilan antara dua anak terlalu dekat. Menurut kajian di BJOG: Jurnal Antarabangsa Obstetrik dan Ginekologi, hampir separuh wanita yang hamil semula 12 bulan selepas melahirkan anak, akan melahirkan anak seterusnya sebelum minggu ke-39.
“Jika anda hamil 18 bulan selepas bersalin, kemungkinan anak lahir cukup umur dan sihat akan jadi lebih tinggi.” Itu kata Dr. Scott D. Berns presiden dan CEO National Institute for Children’s Health Quality (NICHQ) di Boston, Massachusetts.
#3. Prosedur IVF
Pakar masih kurang pasti mengapa wanita yang hamil melalui prosedur IVF mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan baby pramatang.
#4. Anak kembar ataupun lebih
Salah satu komplikasi yang paling biasa apabila ibu hamil anak kembar ataupun lebih, adalah kelahiran pramatang. Menurut organisasi March of Dimes, hampir 50% anak kembar dilahirkan pramatang.
Manakala bayi kembar tiga, kuadruplet, dan bilangan gandaan yang lebih tinggi pula memiliki peluang kelahiran pramatang sehingga 90%.
#5. Serviks yang pendek
“Wanita dengan serviks yang pendek selepas melakukan prosedur loop electrosurgical excision procedure (LEEP) —sejenis ujian untuk mengesan sel pra-kanser atau sel yang tidak normal mempunyai risiko yang lebih tinggi,” kata Julie.
#6. Masalah kemurungan
Menurut kajian dalam BJOG: Jurnal Antarabangsa Obstetrik dan Ginekologi, ibu-ibu yang mengalami kemurungan biarpun baru mengalaminya atau yang berulang, mempunyai risiko kelahiran pramatang sebanyak 30% hingga 40%.
Bapa yang kemurungan juga boleh memberi kesan dengan kajian menunjukan kenaikan risiko sebanyak 38%.
#7. Kurang berat badan
Walaupun wanita akan bertambah berat badan semasa hamil, namun 21% daripada mereka tidak mencapai berat badan yang sihat.
Mengikut sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Obstetrics and Gynecology, wanita yang kurang berat badan juga berisiko melahirkan bayi pramatang.
#8. Jangkitan
Jangkitan semasa hamil juga boleh meninggikan risiko melahirkan bayi pramatang terutamanya bagi jangkitan seperti mycoplasma dan ureaplasma.
Wanita dengan streptococcus kumpulan B lebih kurang risikonya, kata Dr. Jill Hechtman. Walaupun ibu hamil didapati mempunyai jangkitan ini, kemungkinan untuk melahirkan bayi pramatang adalah sangat rendah.
#9. Pencemaran udara
Menurut kajian NYU Langone Medical Center, 16,000 kelahiran pramatang telah dikaitkan dengan pencemaran udara di Amerika Syarikat. Kawasan yang mempunyai kes yang paling banyak adalah di bandar di mana populasi orang sangat banyak.
Jadi, ibu-ibu yang baru hamil di luar sana – anda dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan diri sendiri malah memakan diet yang seimbang untuk mencegah kelahiran pramatang.
Cara Mencegah Kelahiran Pramatang

Terdapat beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk kurangkan risiko kelahiran bayi pramatang ini. Antara langkah-langkahnya adalah seperti berikut :
#1. Sasarkan 18 bulan antara kehamilan
Menjarakkan kehamilan berikutnya selama setahun atau lebih baik jika boleh menjarakkannya selama 18 bulan ke atas berpotensi untuk menurunkan kadar kelahiran pramatang yang bakal dihadapi.
#2. Kawal diri
Langkah seterusnya adalah mengawal segala pengambilan rokok, ubat-ubatan yang tidak diiktiraf atau ditetapkan oleh doktor, jaga pemakanan yang betul agar tidak dijangkiti penyakit terutamanya kencing manis yang boleh menjadi antara penyebab kelahiran pramatang.
#3. Vitamin pranatal
Pengambilan suplemen tambahan pada setiap hari mampu membantu meningkatkan tahap kesihatan anda secara keseluruhannya, mengurangkan risiko gangguan pada plasenta bayi serta merawat preeklampsia.
#4. Makanan seimbang
Pastikan anda mengambil makanan yang seimbang dengan nutrisi yang mencukupi untuk mendapatkan kesihatan yang terbaik. Pengambilan makanan yang penuh nutrisi ini dapat membantu menjadikan bayi lebih sihat dan bertepatan dengan waktu kehamilan anda.
Malah, sumber makanan seperti salmon, telur yang mempunyai kandungan asid lemak Omega-3 juga mampu mengurangkan kelahiran pramatang dan membantu dalam perkembangan bayi anda.
#5. Kerap makan
Malah ketika hamil juga, anda dinasihatkan untuk kerap makan iaitu mengambil makanan sekurang-kurang lima kali hidangan turut berupaya mengurangkan risiko kelahiran pramatang.
#6. Minum
Pastikan juga anda mengambil minuman yang mencukupi supaya kekal terhidrat untuk mengelakkan tubuh dehidrasi yang boleh menyebabkan kontraksi kelahiran pramatang.
#7. Penjagaan gusi
Masalah gusi juga merupakan antara faktor penyebab berlakunya kelahiran lebih awal. Oleh itu, pastikan anda mengutamakan kebersihan penjagaan gigi anda. Sebaiknya, dapatkan rawatan doktor pergigian sekurang-kurang sekali semasa anda hamil.
#7. Jangan tahan kencing
Elakkan daripada menahan diri membuang air kecil apabila tiba masanya. Ini akan menyebabkan berlaku masalah jangkitan di saluran kencing.
#8. Rawat Bacterial vaginosis (BV)
Bagi anda yang mengalami BV, anda perlu merujuknya kepada doktor sama ada antibiotik oral bersesuaian atau pun tidak. Rawatan awal untuk BV juga mampu mengurangkan risiko kelahiran pramatang.
#9. Buat pilihan
Kajian mendapati hormon progesteron yang diberikan secara suntikan atau gel selama minggu 16 hingga 36 minggu berupaya mencegah kelahiran bayi pramatang. Jadi anda boleh membuat pilihan mengenainya.
#10. Jumpa doktor
Jumpa doktor lebih awal untuk dapatkan penjagaan pranatal terbaik.
Pemeriksaan Risiko Kelahiran Pramatang
Sehingga kini, masih lagi tiada ujian saringan awal yang boleh dilakukan bagi kelahiran pramatang ini. Walau bagaimanapun, bagi kes-kes tertentu iaitu untuk ibu hamil yang berisiko tinggi ukuran panjang serviks yang diambil antara 16 hingga 22 minggu mungkin berguna untuk membuat ramalan mengenai risiko kelahiran bayi terlalu awal ini.
Sekiranya didapati terdapat tanda bahawa serviks anda memendek atau pun terbuka, pencegahan awal akan diambil oleh doktor contohnya seperti meletakkan anda di atas katil untuk berehat, menetapkan progesteron faraj, menjahit serviks yang dipanggil cerclage.
Tanda Kelahiran Bayi Pramatang Mungkin Berlaku

Pengetahuan awal mengenai tanda-tanda kelahiran pramatang ini dapat membantu ibu hamil melalui situasi tersebut walaupun belum tentu anda akan menghadapinya.
Adalah lebih baik menimba ilmu mengenainya sebagai salah satu persediaan terawal yang diusahakan dan membolehkan anda mendapatkan rawatan secepat yang mungkin serta kesiapsiagaan anda untuk kebarangkalian yang mungkin berlaku.
Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan kelahiran pramatang mungkin berlaku seperti :
#1. Kontraksi biasa
Sakit kontraksi ini akan datang setiap 10 minit atau mungkin lebih kerap lagi dan kesakitan itu tidak reda walaupun anda telah menukar posisi kedudukan. Segeralah berjumpa dengan doktor anda.
#2. Lendir putih bercampur darah
Jika anda mendapati terdapat jalur darah dalam lendir yang keluar, itu menunjukkan tanda kelahiran pramatang.
#3. Cecair jernih
Ambil hidu cecair yang keluar jika baunya seperti ammonia, ia adalah air kencing, jika tidak kemungkinan itu adalah air ketuban.
#4. Rasa kejang
Anda akan mengalami rasa kekejangan di bahagian perut atau bahagian bawah belakang yang menunjukkan tanda ingin bersalin.
#5. Tekanan di pelvis
Anda juga akan turut merasakan tekanan kuat pada bahagian pelvis.
Jika anda mendapati terdapat tanda-tanda ini, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Semoga semuanya selamat saja buat anda!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : 5 Posisi Tidur Elak Bayi Songsang, Ibu Patut Cuba Sebagai Ikhtiar Untuk Bersalin Normal
Baca juga : Alergik Kulit Semasa Hamil Boleh Buat Ibu Keguguran,Jangan Ambil Mudah Jika Alaminya
Baca juga : Risau Kaki & Tangan Bengkak Ketika Hamil, Ini Rawatan Semulajadi Ibu Boleh Praktis Di Rumah
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!