Agak sukar bagi ibu bapa untuk mengetahui sama ada kulit bayi mereka hanya mengalami kerengsaan atau sesuatu yang lebih serius. Lagipun, pada mata kasar, isu biasa seperti ruam susu, jerawat bayi, kerak kepala dan ruam lampin semuanya kelihatan serupa. Lebih penting lagi, bagaimana ibu bapa boleh memberitahu apabila ia sesuatu yang lebih serius, seperti dermatitis atopik?
Dermatitis atopik (AD), yang juga dikenali sebagai ekzema, lebih kerap berlaku pada kanak-kanak, dan untuk sesetengah individu, ia boleh berlanjutan hingga ke usia remaja dan dewasa.[1] Mengikut beberapa anggaran, ia menjejaskan sehingga 30% kanak-kanak di sesetengah negara[2], dengan 85% kes bermula sebelum mereka berumur 5 tahun.[3]
Bersempena dengan Hari Dermatitis Atopik Sedunia yang disambut setiap tahun pada 14 September, pakar dermatologi pediatrik Dr Leong Kin Fon menjelaskan sedikit sebanyak tentang keadaan kulit ini yang boleh meninggalkan kesan emosi yang menyakitkan seperti gatal-gatal yang timbul.
Bagaimanakah rasanya mengalami AD (jika anak anda boleh memberitahu anda, kata-kata mereka mungkin menyayat hati anda)
Dr Leong berkata, gejala-gejala AD boleh jadi amat teruk dan menjejaskan kualiti kehidupan anak anda. Ini termasuklah:
- Kulit kering, tegang, bersisik yang berdarah, mengelupas
- Kegatalan teruk yang sukar untuk diabaikan
- Luka berair atau tompok kulit yang berkerak
- Kulit yang mudah berasa sakit akibat peluh atau geseran
Gejala ini boleh memberi kesan kepada bayi dan kanak-kanak kecil, yang tidak dapat memahami bahawa menggaru boleh menyebabkan pendarahan, jangkitan dan parut. Sementara itu, kanak-kanak yang lebih besar biasanya berasa malu dengan kulit mereka yang bersisik, berkudis, dan berasa terasing secara sosial apabila kanak-kanak lain mengelak bermain dengan mereka; malah orang dewasa mungkin takut bahawa mereka berjangkit, menurut Dr. Leong.
Impak AD terhadap ibu bapa
Secara keseluruhannya, AD boleh mengganggu, bukan sahaja kepada pesakit, tetapi untuk seluruh isi rumah, terutamanya ibu bapa sebagai penjaga utama.
Bagi ibu bapa yang terdesak mencari jawapan, ia boleh jadi mengecewakan untuk mengetahui bahawa AD adalah keadaan yang berbilang faktor dan berulang, tercetus dan kekal oleh interaksi dinamik antara faktor genetik dan persekitaran. Pada masa ini, terdapat 60-70 gen yang telah dikenal pasti sebagai dikaitkan dengan AD, bersama-sama dengan faktor-faktor persekitaran lain seperti perengsa, alergen dan mikrob.
“Agak sukar bagi ibu bapa untuk menyaksikan penderitaan anak mereka, dan ramai ibu bapa menderita bersama anak-anak mereka melalui malam tanpa tidur, terpaksa ponteng sekolah dan hari bekerja, serta banyak lagi. Tambahan pula, memandangkan AD adalah keadaan yang berulang, kos untuk bertemu doktor dan ubat-ubatan yang berterusan juga boleh menjadi beban[4], terutama bagi mereka yang memerlukan terapi yang lebih lanjut,” kata Dr. Leong.
Mengapakah anak saya menghidap AD – adakah saya melakukan sesuatu yang tidak betul?
Ramai ibu bapa tertanya-tanya sama ada mereka boleh mengelakkan anak mereka daripada menghidapi AD, dan Dr. Leong dengan cepat meyakinkan bahawa ibu bapa tidak harus menyalahkan diri mereka.
“Walaupun tiada penawar untuk AD, kini kita boleh menguruskannya dengan lebih baik dan mengawal gejala. Dengan gabungan rawatan yang selamat dan berkesan, kami boleh membantu ramai kanak-kanak mencapai kelegaan yang hampir lengkap,” jelas Dr. Leong.
Tambah beliau lagi, adalah lebih penting untuk mengenal pasti AD lebih awal dan menghentikan perkembangan melalui pranatal pra dan probiotik, penggunaan awal pelembap dan campur tangan segera apabila kulit kering atau gatal.
Dalam membongkar lebih banyak tentang mekanisme di sebalik AD melalui penyelidikan berterusan, pakar telah mendapati bahawa fungsi penghalang kulit dan keradangan Jenis 2 adalah berkait rapat – gangguan penghalang kulit mencetuskan keradangan jenis 2, dan keradangan jenis 2 mengganggu lagi fungsi penghalang kulit. Akibatnya, kulit kehilangan kelembapan dengan lebih mudah, menyebabkan kekeringan, dan menjadi kurang mampu menahan alergen dan perengsa.[5]
Jika tiada penawar, apa yang boleh saya lakukan untuk membantu anak saya?
Dr Leong mencadangkan bahawa sekiranya anak anda mengalami kerengsaan kulit yang berterusan, sebaiknya bawalah berjumpa pakar pediatrik mereka untuk mendapatkan nasihat secepat mungkin. Beliau menambah bahawa campur tangan awal adalah kunci, terutamanya untuk kanak-kanak kecil, untuk menangani apa yang dikenali sebagai ‘Atopic March’ atau Penularan Atopik.
“Penularan Atopik merujuk kepada kesan domino apabila AD berkembang pada kanak-kanak kecil, yang kemudiannya mengalami rinitis alahan dan asma. Penyelidikan berpendapat bahawa keadaan ini berkembang secara berurutan, jadi adalah penting untuk menangani proses tersebut seawal mungkin dengan mendiagnosis dan merawat AD[6],” jelasnya.
“Malangnya, ramai ibu bapa yang lambat mendapatkan nasihat doktor atas pelbagai sebab. Ada yang terlalu sibuk, ada yang menganggap ia adalah sesuatu yang ringan atau anak mereka akan bebas daripada gejala ini, atau mereka lebih cenderung untuk mencuba remedi di rumah terlebih dahulu. Tanpa mengira sebabnya, kelewatan mendapatkan diagnosis juga bermakna kelewatan dalam rawatan, jadi langkah pertama adalah berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis.”
Harapan untuk pesakit AD dan keluarga mereka
“Perkara paling penting untuk diketahui ialah AD boleh dirawat dan diuruskan untuk mengurangkan kesannya terhadap kualiti hidup anak anda. Ringkasnya, kami mempunyai keupayaan untuk mendorong keredaan penuh, dan jika ia berulang, kami boleh mengenal pasti serangan lebih awal untuk kebah semula,” kata Dr Leong.
“Ini boleh dicapai melalui pendekatan holistik dan bersepadu untuk melegakan gejala dan mengurangkan kekerapan serta tahap kemudaratan serangan[7]. Walau bagaimanapun, jika ia tidak dirawat, serangan akan berlaku lebih kerap, dan gejala boleh menjadi lebih teruk serta mengambil masa lebih lama untuk reda,” jelasnya.
Rawatan untuk AD termasuk terapi bukan ubatan seperti emolien atau pelembap untuk melegakan kekeringan dan kegatalan. Untuk membantu mengurangkan keradangan, kortikosteroid topikal atau perencat calcineurin mungkin diberikan atas preskripsi, dan bentuk rawatan lain termasuk ubatan melalui mulut, seperti steroid, dan ubat lain untuk membantu menyekat keradangan.[8]
Pilihan rawatan ini boleh dibincangkan dengan doktor anak anda, yang mungkin mengesyorkan gabungan rawatan untuk kawalan yang lebih berkesan.
Bagi kanak-kanak dengan tahap AD yang sederhana hingga teruk, terdapat satu perkembangan terbaharu yang dikenali sebagai terapi biologik, merupakan alternatif bebas steroid, kata Dr Leong. Terapi biologik, yang diluluskan untuk digunakan pada kanak-kanak berumur 6 bulan dan ke atas, berfungsi dengan mengganggu tindak balas berantai yang mengakibatkan keradangan, oleh yang demikian mengurangkan kemudaratan gejala AD. Melalui suntikan, ia telah terbukti berkesan dalam melegakan gejala AD dan meningkatkan kualiti hidup.[9] [10]
Sebagai penutup, Dr Leong menekankan perlunya ibu bapa untuk kekal berdisiplin dalam menguruskan AD dan menggalakkan mereka memberi kepercayaan kepada pelan rawatan, membolehkan masa untuk penambahbaikan berlaku.
“Adalah perkara biasa untuk memikirkan bahawa AD telah hilang sebaik sahaja gejala hilang, tetapi AD adalah keadaan kronik dan berulang yang melibatkan pelbagai faktor dan pencetus; ini bermakna bahawa serangan datang dan pergi. Kami memahami pada mulanya ia boleh mengakibatkan rasa sukar untuk diatasi – mengurus AD memerlukan banyak kesabaran dan disiplin, daripada menggunakan emolien seperti yang disyorkan oleh doktor anak anda kepada mempelajari cara mengenali pelbagai pencetus yang memburukkan keadaan anak anda. Walau bagaimanapun, jangan memandang rendah peranan anda sendiri dalam hal ini – ibu bapa adalah penyokong terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, saya menggesa ibu bapa untuk berjumpa doktor, dan bersabar semasa bekerja rapat dengan doktor anak mereka untuk menyesuaikan pelan yang berkesan. Ini penting supaya anak anda boleh mengalami kelegaan daripada AD dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” kata Dr Leong.
Terdapat beberapa cara untuk menyokong anak anda yang menghidapi AD. Kunjungi www.uncover-life.com untuk ketahui dengan lebih lanjut tentangnya.
* * *
[1] DermNet NZ, New Zealand Dermatological Society Incorporated. Atopic dermatitis. https://www.dermnetnz.org/topics/atopic-dermatitis/
[2] Lim JJ, Lim YYE, Ng JY, et al. An update on the prevalence, chronicity, and severity of atopic dermatitis and the associated epidemiological risk factors in the Singapore/Malaysia Chinese young adult population: A detailed description of the Singapore/Malaysia Cross-Sectional Genetics Epidemiology Study (SMCGES) cohort. World Allergy Organ J. 2022;15(12):100722. Published 2022 Nov 18. doi:10.1016/j.waojou.2022.100722
[3] Ryan Sacotte, Jonathan I. Silverberg. Epidemiology of adult atopic dermatitis. Clinics in Dermatology,
Volume 36, Issue 5, 2018, Pages 595-605. doi.org/10.1016/j.clindermatol.2018.05.007. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0738081X18301366
[4] Drucker AM, Wang AR, Li WQ, Sevetson E, Block JK, Qureshi AA. The Burden of Atopic Dermatitis: Summary of a Report for the National Eczema Association. J Invest Dermatol. 2017;137(1):26-30. doi:10.1016/j.jid.2016.07.012. www.jidonline.org/article/S0022-202X(16)32120-0/fulltext
[5] Beck LA, Cork MJ, Amagai M, et al. Type 2 Inflammation Contributes to Skin Barrier Dysfunction in Atopic Dermatitis. JID Innov. 2022;2(5):100131. Published 2022 Apr 26. doi:10.1016/j.xjidi.2022.100131. https://www.jidinnovations.org/article/S2667-0267(22)00039-X/fulltext
[6] Bantz SK, Zhu Z, Zheng T. The Atopic March: Progression from Atopic Dermatitis to Allergic Rhinitis and Asthma. J Clin Cell Immunol. 2014;5(2):202. doi:10.4172/2155-9899.1000202. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4240310/
[7] Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines (2018) Management of Atopic Eczema. CPG Management of Atopic Eczema.pdf (moh.gov.my)
[8] Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines (2018) Management of Atopic Eczema. CPG Management of Atopic Eczema.pdf (moh.gov.my)
[9] The Journal of Allergy and Clinical Immunology. Biologics in the Management of Childhood Atopic Dermatitis.
https://www.jacionline.org/article/S0091-6749(23)00083-0/fulltext
[10] National Eczema Association. A Second Biologic Drug for Atopic Dermatitis Makes Its Way to Market. https://nationaleczema.org/second-biologic-for-eczema-atopic-dermatitis/
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!