Simptom HFMD bayi sering bermula dengan demam, ruam di tapak tangan, kaki, mulut dan kawasan lampin. Penyakit berjangkit ini bukan saja menyerang kanak-kanak, tapi bayi juga berisiko.
Sebab itu penting untuk ibu bapa kenal pasti tanda awal supaya rawatan boleh diberikan segera dan komplikasi dapat dielakkan.
Jom kami kongsikan tanda-tanda awal HFMD pada bayi yang anda perlu tahu!
Apa Itu HFMD?
HFMD atau nama penuhnya Hand, Foot and Mouth Disease ialah jangkitan virus yang biasa menyerang kanak-kanak. Ia disebabkan oleh beberapa jenis virus dari kumpulan enterovirus, terutamanya Coxsackievirus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).
Penyakit ini mudah merebak melalui:
- Sentuhan secara langsung dengan air liur, hingus atau cecair lepuh pesakit
- Najis pesakit
- Permukaan atau barang mainan yang tercemar
Simptom HFMD Bayi Yang Ibu Bapa Perlu Perhatikan
Simptom HFMD bayi adalah penyakit berjangkit yang boleh merebak dengan cepat. Berikut adalah tanda-tanda HFMD pada bayi yang sering berlaku:
1. Demam Secara Tiba-Tiba
Kebanyakan bayi yang dijangkiti HFMD akan mula dengan demam ringan atau sederhana, biasanya sekitar 38°C hingga 39°C. Ia mungkin disertai dengan rasa lemah, tidak aktif dan mudah meragam.
2. Muncul Ruam Atau Bintik Merah
Selepas demam, akan mula kelihatan ruam merah atau bintik kecil di:
- Tapak tangan
- Tapak kaki
- Kawasan punggung atau lampin
Kadang-kadang ruam ini boleh jadi lepuh kecil berisi air.
3. Luka Atau Ulser Dalam Mulut
Salah satu simptom utama HFMD ialah ulser atau luka kecil dalam mulut, di bahagian:
- Lidah
- Bahagian dalam pipi
- Tekak
Ini akan menyebabkan bayi sukar menyusu, menolak makan dan kerap menangis bila mulut disentuh.
4. Hilang Selera Makan
Disebabkan ulser dan sakit dalam mulut, bayi jadi enggan menyusu atau makan. Kadang-kadang minum air pun ditolak kerana rasa tidak selesa.
5. Kerap Meragam & Tidak Aktif
Bayi yang dijangkiti HFMD mudah merengek, tidak mahu tidur dan kelihatan lemah berbanding biasa.
Keadaan ini berpunca daripada demam, sakit dalam mulut dan ketidakselesaan pada badan.
6. Air Liur Meleleh Lebih Banyak
Disebabkan sakit di dalam mulut, bayi akan melelerkan air liur lebih banyak daripada biasa kerana tidak mahu menelan.
Bila Perlu Segera Jumpa Doktor?
Jika bayi anda ada simptom di atas, segera bawa ke klinik atau hospital jika:
- Demam melebihi 39°C
- Tidak mahu makan atau menyusu langsung
- Kelihatan terlalu lemah dan tidak aktif
- Muntah berterusan
- Kelihatan dehidrasi (bibir kering, kurang buang air kecil)
HFMD biasanya boleh sembuh sendiri dalam 7-10 hari, tapi pemantauan doktor tetap penting untuk elak komplikasi serius.
Cara Mencegah HFMD Pada Bayi
- Walaupun sukar dielak sepenuhnya, anda boleh kurangkan risiko jangkitan dengan:
- Basuh tangan bayi dan penjaga dengan sabun secara kerap
- Bersihkan mainan, botol susu, barang permainan bayi setiap hari
- Elak bawa bayi ke tempat sesak semasa musim HFMD
- Pantau keadaan kesihatan anak-anak lain di rumah
Jangan ambil mudah bila bayi tiba-tiba demam atau timbul ruam di tangan, kaki dan mulut. Simptom HFMD bayi boleh jadi ringan, tapi jika tak dirawat cepat boleh mendatangkan risiko dehidrasi atau jangkitan lebih serius.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 10 Makanan Untuk HFMD Segera Pulih, Bantu Melegakan Ulser Dalam Mulut Si Manja
Baca juga: Cara Merawat HFMD Dengan Cepat, Jangan Ambil Mudah! Ini Punca, Simptom Dan Tip Mengelaknya
Baca juga: 6 Sebab Kenapa Ada Ibu Bapa Sengaja Pilih Untuk Tidak Beri Anak Vaksin
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!