Bersalin normal ini dikatakan salah satu perkara yang diimpikan oleh setiap wanita hamil di luar sana. Memang untung bagi ibu-ibu yang berjaya bersalin normal tanpa koyakan atau jahitan langsung!
Sudah menjadi kebiasaan bagi ibu-ibu apabila bersalin normal, rata-ratanya akan mengalami koyakan di bahagian perineum atau faraj. Apa-apa pun koyakan perineum ini adalah normal. Malah mengikut kajian sebanyak 95 peratus ibu-ibu yang bersalin normal akan mengalami koyakan perineum ini.
Malah jika nak diikutkan logik, saiz kepala bayi anda adalah sebesar buah tembikai susu, jadi tidak hairanlah jika proses kelahirannya menyebabkan sedikit koyakan di antara vagina dan anus. Bagi mengelakkan koyakan teruk, doktor biasanya akan melakukan prosedur episiotomi.
Bersalin Normal: Jenis Koyakan Perineum

Episiotomi adalah kaedah di mana doktor akan menggunting bahagian perineum ini untuk memudahkan proses kelahiran, terutama dalam kes kecemasan. Ia dilakukan bagi mengelakkan bayi daripada lemas, atau sekiranya bahu bayi menghalang laluannya.
Apa yang membezakannya adalah jenis koyakan yang dialami. Terdapat empat jenis koyakan perienum, iaitu koyakan darjah pertama hingga keempat. Tidak ramai ibu-ibu yang mengalami koyakan darjah empat kerana ia dikira agak teruk.
Darjah pertama
Ia adalah koyakan yang kecil berlaku semasa proses kelahiran. Luka ini selalunya tidak perlu dijahit. Koyakan yang berlaku hanyalah pada lapisan vagina. Ia tidak melibatkan otot maka tiada jahitan yang diperlukan, melainkan ia tampak sedikit tidak menyelesakan barulah koyakan itu dijahit.
Proses untuk merawatnya juga lebih mudah tapi diingatkan koyakan darjah pertama ini masih akan mengakibatkan sedikit kesakitan ketika duduk atau ketika membuang air besar, batuk atau bersin. Namun kesakitan ini akan berkurangan dalam masa seminggu sahaja.
Darjah kedua
Ini adalah jenis koyakan yang sangat biasa dialami ibu-ibu yang bersalin normal, koyakan perineal darjah kedua ini melibatkan lapisan vagina dan tisu yang lebih dalam (submucosal).
Jenis koyakan ini memerlukan lebih jahitan daripada koyakan darjah pertama. Ia juga mengambil sedikit masa untuk pulih dan anda juga akan mengalami sedikit ketidakselesaan ketika batuk, bersin, membuang air besar atau ketika duduk lama.
Darjah ketiga
Koyakan darjah ketiga ini akan melibatkan lapisan vagina yang lebih dalam juga melibatkan otot di bahagian dubur,” kata Sherry Ross, M.D seorang Pakar Obstetrik & Ginekologi dari Providence Saint John’s Health Center di Santa Monica, California.
Doktor anda perlu menjahit beberapa lapisan secara berasingan dengan memberi perhatian penuh dalam menutupi lapisan otot yang menyokong bahagian spinkter iaiatu otot yang mengawal liang badan.
Jahitan ini memerlukan bius dan proses pemulihan juga mengambil masa yang lebih lama. Anda boleh menjangkakan luka ini pulih dalam dua hingga tiga minggu serta tunggu dalam dua bulan untuk sembuh sepenuhnya jika ingin melakukan hubungan seks.
Darjah keempat
Koyakan teruk ini boleh melibatkan hingga ke bahagian dinding rektum. “Jahitan ini memerlukan satu proses yang penuh berhati-hati untuk melitupi beberapa lapisan luka,” kata Dr. Ross.
Namun ibu-ibu tidak perlu bimbang kerana koyakan sebegini cukup jarang dialami. “Selalunya koyakan darjah keempat ini akan berlaku sekiranya bahu bayi terlalu lebar dan akan melibatkan penggunaan vacuum atau forsep,” jelas Dr. Ross lagi.
Dia juga menekankan bahawa luka yang teruk akan mengakibatkan lantai pelvis tidak akan berfungsi juga sedikit masalah untuk membuang air kecil dan besar.
Cara Merawat Luka Jahitan Di Rumah

#1. Tampung abdomen
Sentiasa tampung abdomen dengan struktur badan yang betul ketika berjalan dan berdiri. Pegang abdomen berhampiran dengan luka semasa batuk, bersin atau ketawa jika anda bersalin czer.
#2. Luka sentiasa bersih dan kering
Bagi mengelakkan jangkitan dan bernanah, pastikan luka sentiasa bersih dan kering:
• cuci luka ketika mandi
• keringkan luka dengan pengering rambut (angin sejuk) atau kipas
• sapukan ubat yang dibekalkan hospital
#3. Pek ais
Letakkan pek ais pada luka. Ini akan menyebabkan kebas dan mengurangkan rasa sakit dan bengkak pada luka. Sama ada di hospital atau di rumah, tukarkan pek ais yang baru setiap 12 jam.
#4. Rendaman antiseptik / air garam
Bagi membantu membersihkan kawasan luka, berendamlah dalam air suam bercampur antiseptik. Ini dapat membersihkan kawasan luka sambil menghindari kuman. Gunakan sitz bath supaya anda tidak perlu memenuhkan tub mandi.
#5. Elakkan terlalu lama dalam satu posisi
Tanpa rehat yang mencukupi, kawasan luka boleh membengkak. Namun elakkan berbaring, berdiri atau duduk terlalu lama. Cuba untuk berjalan perlahan-lahan. Anda juga boleh duduk di atas bantal atau padded ring untuk keselesaan.
#6. Alirkan air suam
Ketika membuang air kecil, alirkan air suam pada kawasan perineum. Ini membantu mengurangkan rasa ‘terbakar’ pada kulit apabila urin menyentuhnya. Alirkan juga setelah selesai. Ketika membuang air besar, tekankan sedikit kawasan perineum dengan pad bersih.
#7. Sapuan dari depan
Apabila mengeringkan kawasan luka, pastikan anda lakukan sapuan dari depan ke belakang bagi mengelakkan jangkitan kuman dari kawasan dubur.
Koyakan yang teruk boleh dielakkan sekiranya ibu-ibu tidak mengangkat punggung terlalu tinggi ketika proses meneran. Namun tidak semua mampu beringat ketika dalam kesakitan yang teramat bukan? Jadi apabila berlakunya koyakan tidak kira berapa darjah pun, proses pemulihan adalah sangat penting, ikuti langkaH-langkah penjagaan yang dinyatakan inshaAllah anda akan beransur pulih seperti biasa.
Apakah Maksud C-section?

C-section ialah prosedur pembedahan untuk mengeluarkan bayi apabila persalinan melalui faraj tidak dapat dilakukan atau tidak boleh dibuat oleh ibu. C-section boleh dirancang atau diperlukan secara perubatan.
Antara situasi tertentu memerlukan pembedahan caesarean. Ini termasuk:
- Kebimbangan perubatan untuk bayi
- Mengandung lebih daripada seorang bayi
- Masalah dengan plasenta
- Serviks tidak berkembang tepat pada masanya
- Bayi bersaiz besar
- Kandungan songsang
- Jangkitan atau keadaan kesihatan si ibu, seperti tekanan darah tinggi atau diabetes
Jika anda telah menjalani c-section dan kembali hamil lagi, doktor anda mungkin berbincang dengan anda tentang kelahiran normal atau vaginal birth after cesarean (VBAC). Wanita yang telah menjalani c-section mempunyai dua pilihan dengan kelahiran akan datang: bersalin secara caesar berjadual atau beranak normal.
Walau bagaimanapun, wanita yang berisiko lebih tinggi untuk pecah rahim bukanlah calon yang baik untuk VBAC. Jika hirisan rahim anda adalah potongan menegak yang rendah atau tinggi, doktor anda mungkin menasihati anda untuk tidak menggunakan laluan VBAC.
Kedua-dua hirisan ini membawa risiko pecah yang lebih tinggi daripada potongan melintang atau sisi ke sisi rendah yang dibuat di bahagian bawah rahim.
Beza Bersalin Normal vs C-section
#1. Bersalin Normal
- Proses bersalin normal biasanya memerlukan penginapan hospital dan masa pemulihan yang lebih singkat berbanding c-section. Tempoh penginapan biasa di hospital selepas bersalin secara faraj ialah 24 hingga 48 jam, walaupun ia mungkin lebih pendek daripada tempoh masa yang dibenarkan.
- Kelahiran faraj biasanya mengelakkan risiko yang berkaitan dengan pembedahan major, seperti pendarahan teruk, parut, jangkitan, tindak balas terhadap anestesia dan kesakitan yang berpanjangan. Oleh kerana pembedahan major tidak terlibat, seorang ibu mungkin boleh mula menyusukan bayi lebih awal.
- Seorang bayi yang dilahirkan dengan cara bersalin normal akan dapat melakukan lebih banyak hubungan awal dengan ibu mereka, yang boleh memulakan penyusuan susu ibu lebih awal.
- Semasa proses bersalin normal, otot yang terlibat dalam proses itu lebih cenderung untuk memerah keluar cecair dalam paru-paru bayi yang baru lahir. Ia bermanfaat kerana akan menyebabkan bayi kurang mengalami masalah pernafasan semasa dilahirkan.
#2. Bersalin c-section
- Seorang wanita boleh memilih untuk menjalani c-section jika dia mempunyai kebimbangan yang melampau tentang kelahiran faraj, yang mungkin menjejaskan pengalaman bersalinnya.
- Wanita yang menjalani C-section kurang berkemungkinan mengalami inkontinensia kencing dan prolaps organ pelvis berbanding wanita yang bersalin secara faraj.
- Kelahiran melalui pembedahan boleh dijadualkan lebih awal, menjadikannya lebih mudah dan boleh diramal daripada kelahiran faraj dan bersalin.
- Jika bayi atau ibu berada dalam bahaya, C-section boleh menyelamatkan nyawa.
Bersalin Normal
#1. Kesakitan (Kontraksi)
Untuk wanita yang bersalin normal, mereka akan memerlukan kudrat tersendiri untuk meneran bayi keluar dengan selamat. Malah, sewaktu kontraksi, mungkin ada ibu yang akan merasakan ia sangat menyakitkan di bahagian perut, belakang, pinggang, atau di mana-mana bahagian badan. Ada juga yang lenguh satu badan.
Kontraksi juga akan semakin kuat ketika menghampiri waktu untuk beranak normal.
#2. Tempoh sembuh
Luka episiotomi atau luka jahitan bagi ibu-ibu yang beranak normal tidak seharusnya diambil remeh. Ia memerlukan penjagaan rapi supaya luka boleh sembuh dengan cepat dan tidak mengalami sebarang jangkitan. Walau bagaimanapun, wanita yang memilih untuk bersalin secara normal akan mempunyai masa pemulihan antara 24 dan 48 jam di hospital. Selebihnya, proses pemulihan boleh dilakukan di rumah dengan berpantang selama 44 hari dengan berehat secukupnya dan mengembalikan semula tenaga yang hilang.
#3. Tempoh boleh mengandung semula selepas bersalin
Kembali hamil selepas bersalin dalam tempoh yang singkat mungkin boleh mendatangkan risiko kepada bayi dan juga ibu. Jarak kehamilan hendaklah dijaga. Oleh itu, bagi mengurangkan sebarang risiko komplikasi kehamilan dan masalah kesihatan lain, penyelidikan menyarankan jarak terbaik untuk kembali hamil adalah selepas 18 hingga 24 bulan dan kurang daripada 5 tahun.
#4. Bius
Bius epidural beranak normal adalah untuk melegakan sakit bersalin. Ia akan disuntik ke dalam ruang epidural tulang belakang si ibu. Menerusi suntikan ini, ia akan menghalang rasa sakit daripada sampai ke otak dan akan melegakan kesakitkan yang biasa digunakan oleh wanita ketika bersalin normal.
Kesan sampingan yang biasa dialami hanyalah ketidakselesaan akibat kekebasan pada bahagian bawah badan. Namun, ia adalah bersifat sementara sahaja.
#5. Emosi ibu
Tidak dinafikan, ramai wanita akan mengalami perubahan emosi, kegelisahan dan tangisan air mata sejurus melahirkan anak. Walau bagaimanapun, buat sesentengah orang, gejala ini boleh berterusan sehingga lebih parah dan menyebabkan masalah kemurungan (meroyan) selepas bersalin. Ia akan bermula dalam tempoh tiga bulan pertama selepas kelahiran bayi.
Bersalin C-Section (Caesarean)
#1. Kesakitan
Selepas pembedahan, segelintir ibu akan berasa mual atau menggigil. Ini adalah kesan daripada ubat bius, kesan rahim mengecut, atau kesan penurunan adrenalin. Kesan ini juga akan hilang dengan cepat dan ibu akan berasa letih dan mengantuk. Luka pembedahan c-section ini akan menyebabkan ibu berasa sakit dan tidak selesa semasa berpantang.
#2. Tempoh sembuh
Wanita yang menjalani c-section akan tinggal di hospital lebih lama berbanding bersalin normal. Meskipun tiada sebarang komplikasi, mereka ini perlu berada di hospital selama 3-5 hari. Tempoh berpantang juga adalah lebih lama dengan penjagaan makanan yang perlu untuk mengelakkan kesan sampingan jangka masa panjang.
Ada juga yang mendakwa bahawa rasa sakit akan masih terasa selepas 6 bulan, ataupun 1-2 tahun.
#3. Tempoh boleh mengandung semula selepas bersalin c-section
Jarak kehamilan untuk hamil semula adalah sekurang-kurangnya tiga ke empat tahun. Ini kerana wanita yang melahirkan secara c-section telah kehilangan darah dua kali ganda berbanding mereka yang bersalin secara normal.
#4. Emosi ibu
Wanita yang bersalin secara c-section akan mengalami beberapa kesan negatif terhadap emosi mereka. Ada yang terkejut, rasa bersalah, rasa gagal, kerugian, trauma, marah, geram dan sebagainya. Mereka juga sukar melupakan apa yang terjadi kerana ia akan menjadi peringatan buat mereka bahawa tubuh mereka tidak berfungsi seperti yang diharapkan.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Waspada Bila Bergerak, Ini Cara Bangun Dari Katil Tidur Selepas Bersalin Secara Pembedahan
Baca juga: Begini Proses Bersalin Secara Czer Dilakukan, Para Ibu Wajib Tahu Sebelum Bersalin!
Baca juga: Pedulikan Kata Orang, Ini 5 Sebab Anda Perlu Berasa HEBAT & Bangga Bersalin Czer
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!