Sayang Pula Nak Makan! Kek Inspirasi Muskat, Tengkolok Diraja Dapat Pujian Di Media Sosial
Resepi kek viral yang super sedap untuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin sempena ulang tahun keputeraan baginda baru-baru ini.
Kek viral dua tingkat dihasilkan sebuah bakeri tempatan, Banker2Baker sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Jun lalu, mendapat pujian netizen di media sosial.
Kek viral – Kecantikan dan kesenian menambat hati netizen
Kecantikan kek viral yang diinspirasi daripada rekaan Muskat dan Tengkolok Diraja mendapat lebih 3,500 ‘like’ dan lebih 2,053 ‘retweet’ sehari di laman Twitter.
Ia bukan saja membanjiri laman Twitter malah viral di Instagram kerana kecantikannya memukau mata pengguna media sosial.
Pemilik, Banker2Baker, Zulkiflee Mawan ketika berkongsi mengenai kek viral itu berkata kek berkenaan diinspirasikan daripada Muskat Diraja iaitu pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Tengkolok Diraja yang dipakai baginda.
Tengkolok Diraja
Raja Melayu memakai kain ditenun sutera diikat dengan pelbagai ikatan di ulunya, sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan mengikut negeri.
Kain ulu dinamakan ‘tengkolok’ dan Tengkolok Diraja dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong pada Hari Pertabalan, Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi.
Bahagian depan tengkolok dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas, diperbuat daripada emas putih, di tengah bintang lambang kerajaan.
Muskat Diraja
Pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai Istiadat Istana Negara. Ia berasal dari Muskat iaitu sebuah negara Islam berhampiran Iran.
Muskat pakaian rasmi pegawai kerajaan Kedah dan ia dipakai pada pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga, diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ketika baginda menjadi Perdana Menteri pertama.
Persalinan benang emas
Persalinan ini diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam dan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya melambangkan bunga kebangsaan negara.
Pada 30 Julai tahun lalu, menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam istiadat yang berlangsung penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Jadi sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi baginda, Banker2Baker menghasilkan ke dengan tatarias menarik dan elegan.
Rekaan menakjubkan
Kek viral dua tingkat yang menakjubkan itu mempunyai corak indah dengan warna emas dan krim di bahagian tepi dan di atasnya dihias dengan replika Tengkolok Diraja sekaligus menampakkan kemegahannya.
Sekali pandang seolah-olah Tengkolok sebenar
Dihiasi dengan hiasan dengan warna yang elegan nampak seolah-olah ia bukan makanan tetapi tengkolok sebenar yang dibuat daripada songket berwarna keemasan.
Bukan kali pertama hasilkan rekaan kek hebat
Ini bukanlah kali pertama Zulkiflee menjadi tular dengan kek rekaannya. Sebelum ini kek viral rekaannya yang didedikasikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sempena hari lahir hero Malaysia itu pernah tular di media sosial.
Dr Noor Hisham bersama pasukannya menjadi sebutan dan mendapat penghargaan ramai serta beliau dikenali oleh hampir segenap lapisan rakyat Malaysia dalam memerangi Covid-19 di negara ini.
Kek dengan rekaan replika Dr Noor Hisham berdiri sambil di belakangnya diletakkan replika wira barisan hadapan iaitu doktor dan jururawat pernah mendapat pujian ribuan netizen sebelum ini.
Kek berkenaan yang dihiasa dengan rekaan bendera Malaysia berbentuk hati mendapat pujian netizen, jadi tidak hairanlah rekaan Zulkiflee kali ini turut menjadi tular.
Sebelum menjadi seorang pembuat kek, Zulkiflee adalah seorang pengurus risiko selama 27 tahun di sebuah bank di luar negara. Tetapi dia mengambil keputusan untuk melepaskan kariernya dalam bidang perbankan dan pulang ke Malaysia pada 2014 untuk menjadi pembuat kek, katanya kepada South China Morning Post.
Zulkiflee turut mengikuti kursus formal berkaitan bakeri di Paris dan Tokyo, Jepun sebelum membangunkan perniagaan kafe butiknya sendiri yang dinamakan Banker2Baker bertempat di Wangsa Maju Kuala Lumpur.
Sumber: Asiaone.com, Berita Harian
Gambar : Twitter
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia