3 Tahun Hidup Tanpa Suami, Wanita Tabah Ini Bawa Anak-Anak Photoshoot Raya Bersama
Kematian suami adalah perkara paling menyedihkan bagi wanita bergelar isteri. Sungguhpun tidak mudah, namun kehidupan perlulah diteruskan demi anak-anak
Tiada siapa yang sanggup kehilangan pasangan tercinta dalam tempoh yang singkat. Namun apabila ditakdirkan untuk kematian suami ketika anak-anak masih kecil, kita terpaksa menerimanya dengan hati yang redha.
Setiap kali menjelang Aidilfitri, tentu sahaja ramai berasa gembira untuk menyambutnya bersama seisi keluarga. Walau bagaimanapun seorang wanita tabah yang dikenali sebagai Umi Lyssa ini telah berkongsi video menyayat hati di Tik Tok.
Tetap meraikan Aidilfitri bersama anak-anak selepas kematian suami
Difahamkan dia telah kehilangan suaminya yang tercinta sejak 3 tahun yang lalu. Meskipun diri masih diselubungi dengan rasa sedih dan sunyi menyambut bulan kemenangan umat Islam tanpa pasangan di sisi, namun dia terpaksa memendamnya demi membuatkan anak-anak berasa bahagia.
Pada 1 Syawal, aktiviti yang menjadi wajib setiap tahun adalah bergambar bersama ahli keluarga. Menerusi aplikasi Tik Tok, Umi telah berkongsi sebuah video memaparkan dirinya dan anak-anak melakukan penggambaran lengkap keluarga dengan kesemuanya mengenakan pakaian berwarna hijau.
Ramai yang tersentuh hati apabila wanita berkenaan turut membawa sekeping gambar dan uniform tentera milik arwah suami, Mohd Zulhisham.
Meskipun jasadnya tiada di sisi dan bingkisan potret sebagai pengganti arwah, anak-anaknya tetap tersenyum ketika bergambar.
Apabila menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan turut berasa sebak melihat perkongsian video pendek dan gambar photoshoot tersebut. Selain memuji ketabahan wanita tersebut, mereka juga sama-sama menghadiahkan al-fatihah buat arwah suaminya.
Hebatnya seorang isteri yang kematian suami
Kehilangan pasangan sememangnya akan mengubah keseluruhan hidup seseorang. Ia mungkin berupaya mendatangkan kemudaratan, sama ada kematian itu tiba-tiba atau dijangka (disebabkan oleh penyakit).
Lumrah setiap manusia pasti mengalirkan air mata apabila ditimpa ujian dan kesedian.
Ia adalah tindak balas semula jadi. Adalah agak sukar untuk menganggarkan berapa lama kesedihan akan berlaku kerana setiap orang berdepan perasaan ini dengan cara berbeza.
Menurut pakar dan kaunselor, Dr Margie Kennedy-Reeves dalam jurnal Pemulihan Kesedihan, beliau telah membahagikan lima bahagian mengenai kesedihan. Antaranya:
#1. Fasa kejutan
Fasa kejutan ini boleh terjadi selama beberapa jam atau memakan masa sehingga beberapa hari. Pasangan yang masih hidup akan dilanda kekeliruan, tidak percaya dan kurang pasti.
Kekeliruan dalam fasa ini adalah hasil ketidakupayaan untuk membayangkan kehidupan seterusnya tanpa adanya si mati. Bagi isteri yang memiliki ikatan emosi sangat rapat dengan suami, anda mungkin tiba-tiba berasa dunia tidak selamat atau malah tidak kuat meneruskan hidup tanpa sokongan suami.
#2. Realisasi
Selepas selesai pengebumian, rakan-rakan dan ahli keluarga akan pulang ke rumah masing-masing. Pasangan yang hidup akan mula mendapat gambaran tentang erti sebenar sebuah kehilangan.
Ia boleh membawa kepada tekanan lebih lama, kebimbangan dan kekecewaan yang teramat sangat. Lebih-lebih lagi jika suami adalah pencari nafkah yang utama dalam keluarga, anda mungkin berdepan tekanan kewangan sehingga boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental.
#3. Retreat
Setelah berasa gelisah, marah dan kecewa, anda akan beralih kepada keinginan untuk berehat serta muhasabah diri.
Pasangan yang masih hidup cenderung untuk mencari ruang bersendirian dan mengelakkan diri daripada masyarakat. Anda berusaha untuk menerima hakikat bahawa pasangan telah tiada dan tidak akan kembali lagi.
Fasa ketiga ini adalah yang paling lama dan paling sukar. Anda perlu menggalas tanggungjawab suami dan memastikan segala-galanya berjalan lancar.
#4. Peralihan
Pasangan yang masih hidup akan menerima tanggungjawab dan mengendalikan kehidupan. Anda boleh menulis senarai apa yang baik dalam hidup serta meletakkannya di suatu tempat yang boleh dilihat setiap hari sebagai peringatan.
#5. Pemulihan
Dalam fasa ini, anda memiliki pandangan lebih realistik terhadap si mati dan kesedihan semakin berkurang. Anda mungkin sentiasa mengenang kenangan paling manis bersama arwah, mencairi cara untuk mengatasi kesepian dan bersedia untuk melangkah ke masa hadapan.
Setiap orang mungkin tidak melalui kesemua lima fasa di atas. Sesetengahnya mungkin terperangkap dalam sesuatu fasa yang lebih lama daripada yang lain
Sumber: Oh my media, Mior Zurich Takaful
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sengsara Bila Kematian Suami, Ini Yang Isteri Wajib TAHU Tentang KWSP Bila Suami Tiada