Kepentingan Asid Folik Untuk Pembentukan Janin, Elak Risiko Cacat Lahir

Mungkin ada ibu mengandung yang tertanya-tanya apa kesannya jika mereka memilih untuk tidak mengambil asid folik. Sebenarnya, ibu mengandung perlu mengambil asid folik untuk mengelakkan risiko kecacatan lahir kerana kajian menunjukkan risiko neural tube defect (NTD) dapat dikurangkan sebanyak 40 hingga 100 peratus selepas penggambilan asid folik.

Pasti ramai ibu mengandung tertanya-tanya, apakah kepentingan asid folik sehingga doktor mencadangkan ia perlu diambil sejak wanita merancang untuk mengandung lagi?

Jom kita baca mengenainya!

Asid folik adalah folate dalam bentuk sintetik. Folate merupakan sejenis vitamin B (B9) semulajadi yang terdapat dalam sesetengah makanan.

Kepentingan asid folik bukan saja untuk ibu mengandung tetapi bayi dalam kandungan

asid folik Kredit: healthline.com

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Sunway Medical Centre Velocity, Dr Nor Elyana Noordin, kebaikan dan kepentingan asid folik ini memainkan peranan utama dalam pertumbuhan sel-sel badan yang sihat dan juga penting dalam penghasilan darah merah.

Ibu mengandung perlu mengambilnya kerana asid folik boleh mengelakkan risiko cacat lahir iaitu neural tube defect (NTD) atau kecacatan tiub neural seperti spina bifida dan anencephaly (ketiadaan sebahagian besar otak dan tengkorak). 

Baca juga: 4 cara yang penting untuk mengurangkan risiko lahir anak pramatang

Kesan jika ibu tidak mengambil asid folik

kepentingan asid folik Kredit: Unsplash

Mungkin ada ibu mengandung yang tertanya-tanya apa kesannya jika mereka memilih untuk tidak mengambil asid folik.

Menurut Dr Nor Elyana juga, ibu mengandung perlu mengambil asid folik untuk mengelakkan risiko kecacatan lahir. Kajian menunjukkan, ibu-ibu yang pernah mempunyai bayi yang mengalami NTD, risiko NTD dapat dikurangkan sebanyak 40 hignga 100 peratus setelah mengambil asid folik.

Asid folik diperlukan untuk pembentukan janin. Terdapat banyak jenis NTD, tetapi NTD yang biasa berlaku ialah spina bifida dan anencephaly.

Spina bifida ialah keadaan yang mana saraf tunjang tidak terbentuk dengan sempurna. Masalah yang dihadapi untuk pesakit spina bifida adalah bergantung kepada jenis spina bifida. Antara masalah-masalah yang boleh dihadapi ialah:

  • Masalah untuk berjalan – Ini kerana saraf yang yang tidak terbentuk dengan sempurna menyebabkan kaki lemah
  • Masalah usus dan pundi kencing – Saraf yang tidak berfungsi menyebabkan hilang kawalan  membuang air besar dan kencing
  • Masalah kulit – Kehilangan deria rasa di bahagian kaki menyebabkan kecederaan tanpa disedari.

Anencephaly pula ialah keadaan yang mana sebahagian otak dan tempurung kepala tidak terbentuk dengan sempurna. Ini adalah kecacatan serius dan hampir majoriti bayi dengan keadaan ini meninggal selepas lahir.

Bolehkah asid folik digantikan dengan makanan? 

Kepentingan Asid Folik Untuk Pembentukan Janin, Elak Risiko Cacat Lahir Kredit: Shutterstock

Jika seseorang ibu hamil itu memilih untuk tidak mengambil asid folik, dia perlulah memakan makanan yang mengandungi folate seperti sayur-sayuran hijau atau makanan yang telah diperkaya dengan asid folik seperti roti, bijirin dan pasta.

Walaubagaimanapun, Dr Nor Elyana menasihatkan untuk semua ibu mengandung yang bercadang untuk mengandung supaya mengambil asid folik untuk mengelakkan risiko NTD. Ini kerana, folate dari sumber semulajadi tidak dapat disukat dan tidak dapat dipastikan sama ada seseorang mengambilnya dengan cukup.

Kebaikan asid folik untuk bayi dalam kandungan

Kepentingan Asid Folik Untuk Pembentukan Janin, Elak Risiko Cacat Lahir Kredit: Unsplash

Asid folik adalah penting untuk memastikan pembentukan janin yang sempurna terutamanya pembentukan neural tube iaitu bahagian pada janin yang akan terbentuk menjadi otak dan saraf tunjang.

Pembentukan ini berlaku pada bulan pertama kehamilan; selalunya sebelum wanita sedar dia hamil. 

Jika seseorang wanita mempunyai kekurangan asid folik, pembentukan janin ini boleh terganggu dan boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil NTD.

Kebaikan asid folik untuk ibu mengandung

Kepentingan Asid Folik Untuk Pembentukan Janin, Elak Risiko Cacat Lahir Kredit: Unsplash

Asid folik diperlukan untuk pertumbuhan dan pembaikan sel-sel dalam badan dan penghasilan sel darah merah. Kekurangan asid folik yang teruk boleh menyebabkan kekurangan darah merah kepada ibu mengandung.

Dos asid folik yang disyorkan adalah 400 microgram setiap hari dan dos yang lebih tinggi iaitu 5mg diperlukan untuk:

  • Wanita dan/suami yang mempunyai NTD
  • Pernah mempunyai kandungan yang mempunyai NTD
  • Wanita yang mempunya penyakit diabetes atau BMI >30
  • Wanita yang mengambil sesetengah jenis ubat sawan 

Makanan lain yang menjadi sumber semulajadi kebaikan asid folik

Selain pengambilan asid folik, makanan yang dikesan wujudnya folate adalah seperti: 

  • Sayuran berdaun hijau gelap
  • Kacang kering dan kacang polong (kekacang)
  • Bayam
  • Brokoli
  • Bendi
  • Asparagus
  • Pisang
  • Tembikai
  • Ragi
  • Cendawan
  • Daging

Selain itu, makanan lain yang diperkaya dengan asid folik termasuklah: 

  • Roti yang diperkaya
  • Bijirin
  • Tepung
  • Pasta
  • Nasi
  • Produk bijirin lain

Apa akan berlaku jika kekurangan asid folik?

kepentingan asid folik Kredit: Shutterstock

Pada kebiasannya gejala kekurangan asid folik tidak begitu ketara. Antara gejala-gejala yang boleh berlaku termasuklah:

  • Kepenatan
  • Cirit-birit
  • Sakit pada lidah

Bagaimana pun, jika kekurangan asid folik terlalu teruk, seseorang boleh mendapat anemia (kurang darah merah) dan ia sekaligus boleh menyebabkan:

  • Kepenatan
  • Pening 
  • Pucat
  • Cepat sesak nafas
  • Nadi laju

Kesan sampingan asid folik kepada ibu mengandung

Menurut Dr Nor Elyana, kesan sampingan asid folik jarang berlaku jika ia diambil dengan dos yang ditetapkan. Antara kesan sampingan yang boleh berlaku:

  • Loya
  • Hilang selera
  • Rasa kembung

Asid folik juga boleh diambil oleh wanita yang belum merancang untuk hamil asalkan ia mengikut dos yang ditetapkan.

Sejauh manakah benarnya asid folik bantu lelaki jadi lebih subur?

Mengikut kajian terbaru yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA) asid folik tidak membantu lelaki menjadi subur. 

Kajian itu melibatkan 2370 orang lelaki dan mereka dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana satu kumpulan menerima 5mg asid folik dan zink, satu kumpulan lagi menerima placebo. 

Kajian ini mendapati kualiti sperma adalah sama bagi kedua-dua kumpulan iaitu tiada beza sama ada mengambil atau tidak mengambil asid folik.

 

Temubual ini dijalankan bersama Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Sunway Medical Centre Velocity, Dr Nor Elyana Noordin.

Kepentingan Asid Folik Untuk Pembentukan Janin, Elak Risiko Cacat Lahir

Baca juga: 16 Buah Terbaik Untuk Ibu Hamil, Bantu Perkembangan Bayi Yang Sihat & Tinggi Asid Folic

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!