Menurut Organisasi Kesihatan Dunia, lebih kurang 12 daripada 100 bayi yang lahir tidak cukup bulan. Ia dikenali sebagai kelahiran pramatang, iaitu ibu melahirkan bayi sebelum usia kandungan cukup 37 minggu.
Untuk pengetahuan anda, kelahiran bayi pramatang menjadi punca lahir mati atau stillbirth. Ia juga penyebab utama ketidakupayaan neurologi jangka panjang pada kanak-kanak.
Punca kelahiran pramatang
Setiap minggu kandungan adalah penting untuk tumbesaran bayi, jadi pemahaman tentang risiko kelahiran pramatang dan cara untuk mengurangkan risiko dari melahirkan bayi pramatang adalah penting untuk anak dalam kandungan.
Banyak faktor perubatan dan keadaan kesihatan yang boleh menjadi penyumbang kepada kelahiran pramatang. Antaranya tekanan darah tinggi, pra-eklampsia, kencing manis atau gangguan pembekuan darah.
Kelahiran pramatang juga boleh disebabkan oleh air ketuban pecah awal dan keluarga mempunyai sejarah kelahiran bayi pramatang.
Risiko lain termasuklah faktor usia. Ibu yang berusia bawah 17 tahun dan lebih 35 tahun juga meningkatkan risiko mengalami kelahiran pramatang.
Penyebab lain ibu melahirkan bayi pramatang 7 bulan
- Ibu mengandung mengalami masalah rahim atau serviks
- Gangguan pada plasenta. Ia adalah suatu keadaan di mana plasenta berpisah daripada rahim semasa kehamilan
- Serviks lemah atau incompetent cervix. Serviks tanpa rasa sakit secara perlahan-lahan terbuka sebelum waktu yang sepatutnya
- Ibu mengandung dijangkiti kuman boleh mendorong kepada kes bayi pramatang 7 bulan. Antaranya ialah penyakit jangkitan kelamin (STD), jangkitan rahim, saluran kencing atau faraj. Ia boleh mengakibatkan bayi lahir tidak cukup bulan
- Masalah jangkitan saluran kencing yang tidak dirawat akan meningkatkan risiko kelahiran bayi pramatang 7 bulan
- Begitu juga dengan jangkitan vaginosis bakteria. Ia juga boleh menggandakan risiko untuk bayi dilahirkan tidak cukup bulan
Tanda tanda bersalin awal sebelum due date
Bersalin beberapa bulan lebih awal sebelum tarikh jangkaan menjadi sesuatu yang amat merisaukan para ibu. Mana tidaknya, anda kena lebih bersedia dari segala aspek semasa proses kelahiran dan juga selepas melahirkan bayi yang mungkin memerlukan ibu berada di wad dalam tempoh lama.
Justeru pengesanan awal dapat membantu mencegah kelahiran pramatang dan memberikan peluang untuk bayi hidup dengan lebih lama.
Antara tanda tanda bersalin awal dari due date ialah:
- Perut sakit atau keras setiap 5 minit sekali
- Keluar lendir bercampur darah dari faraj
- Keluar air dari faraj secara tiba tiba
- Sakit belakang yang datang dan hilang
- Bawah abdomen rasa tekanan
Risiko dan masalah yang sering dihadapi bayi pramatang
#1. Baby pramatang menghadapi masalah jantung
Masalah jantung merupakan penyakit paling biasa yang akan dialami bayi pramatang iaitu patent ductus arteriosus (PDA).
PDA ialah pembukaan berterusan di antara aorta dan arteri pulmonari. Kecacatan pada jantung ini akan tertutup dengan sendirinya seiring pertambahan usia si manja.
Namun sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kegagalan jantung serta komplikasi lain.
#2. Organ paru-paru tidak berkembang
Bayi pramatang mungkin mengalami masalah pernafasan kerana sistem pernafasan yang masih belum matang. Hal ini disebabkan oleh paru-paru bayi kekurangan surfaktan iaitu bahan yang membolehkan paru-paru untuk mengembang dengan baik dan normal.
#3. Masalah usus
Bayi pramatang juga berkemungkinan mempunyai masalah pada sistem gastrousus, di mana ia mengakibatkan komplikasi seperti necrotizing enterocolitis (NEC).
Keadaan serius ini adalah keadaan sel-sel yang melapisi dinding usus tercedera dan ia boleh berlaku pada bayi tidak cukup bulan selepas mereka mula menyusu.
Walau bagaimanapun, bagi bayi pramatang yang hanya menerima susu ibu, mereka mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat NEC.
#4. Hipotermia
Tiada simpanan lemak badan menyebabkan baby pramatang boleh kehilangan haba badan dengan cepat. Disebabkan itulah bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan tidak berupaya menjana haba mencukupi bagi mengatasi apa yang hilang melalui permukaan badan mereka.
Oleh hal yang demikian, bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan tidak dapat menjana haba yang mencukupi untuk mengatasi apa yang hilang melalui permukaan badan mereka di mana menyebabkan mereka mudah terdedah kepada Hipotermia.
Hipotermia pada bayi tidak cukup bulan boleh menyebabkan mereka menghadapi masalah pernafasan serta paras gula darah rendah. Keadaan ini sekaligus boleh membuatkan si kecil mengalami masalah metabolisme.
#5. Sistem imunisasi yang kurang
Kelahiran pramatang juga sering dikaitkan dengan sistem imunisasi yang kurang berkembang. Ia sekaligus meningkatkan risiko jangkitan yang lebih tinggi dan akan cepat merebak ke aliran darah.
Carta berat bayi pramatang
Pertumbuhan bayi pramatang biasanya dipantau melalui pengukuran lilitan kepala, panjang dan berat badan dari masa ke semasa.
Bacaan-bacaan tersebut akan dicatitkan pada carta pertumbuhan bagi memantau pertumbuhan bayi. Pertumbuhan yang pesat semasa peringkat awal yang seiras dengan pertumbuhan bayi semasa di dalam kandungan dapat menjangkakan perkembangan otak yang lebih baik.
Penjagaan bayi pramatang
- Pengawalan suhu badan. Perlu dirawat di dalam inkubator atau di bawah pemanas radian
- Pemantauan tahap gula dalam badan bagi mengesan dan merawat tahap gula sama ada tinggi atau rendah.
- Pembekalan nutrisi. Bayi yang hampir matang iaitu melebihi 35 minggu yang mana dalam keadaan sihat selalunya boleh diberi penyusuan ibu secara eksklusif. Untuk bayi yang lebih awal pramatang selalunya memerlukan susu formula sebagai nutrisi tambahan pada peringkat awal umurnya.
- Mengelakkan daripada jangkitan. Pastikan ibu ayah mencuci tangan dengan kerap sebelum atau selepas menguruskan bayi.
- Pegang bayi dengan kemas tanpa membuatnya tersentak.
- Bayi pramatang memerlukan tidur berkualiti untuk merangsang hormon pertumbuhan dan perkembangan sel otak yang optima. Oleh itu jangan buat bising semasa bayi tidur.
Penjagaan awal kehamilan dapat mengelakkan risiko kelahiran baby pramatang
Mencegah kelahiran bayi pramatang merupakan cabaran kerana banyak faktor yang terlibat dan kebanyakannya masih belum difahami sepenuhnya.
Walaubagaimanapun, ada beberapa langkah dan tips yang boleh anda amalkan sebagai usaha mengurangkan risiko bersalin bayi pramatang melalui penjagaan awal kehamilan.
Antaranya:
- Tepati jadual pemeriksaan penjagaan pranatal bagi membolehkan doktor untuk memantau kesihatan anda dan bayi dengan kerap.
- Ibu hendaklah mengamalkan diet pemakanan yang sihat. Pastikan anda ambil makanan berkhasiat dan kaya dengan nutrisi. Jangan lupa untuk ambil asid folik, kalsium, zat besi dan nutrien penting lain.
Selain itu ibu hendaklah mengikuti beberapa panduan kehamilan yang selamat iaitu:
- Pastikan keadaan kesihatan anda baik sebelum mengandung
Daripada menunggu sehingga anda hamil untuk bercakap dengan doktor, lebih baik anda buat temujanji dengan doktor atau pakar sebelum anda mengandung.
Ini supaya mereka boleh membantu anda untuk mendapatkan bayi yang sihat dan menerangkan risiko anda melahirkan bayi pramatang dan bagaimana untuk mencegah risiko tersebut.
- Hentikan pengambilan tembakau
Penggunaan tembakau semasa hamil adalah penyebab utama kepada komplikasi kehamilan, penyakit dan bayi lahir mati. Wanita hamil tidak boleh mengunakan apa-apa produk berasaskan nikotin termasuklah rokok elektronik!
Bayi yang dilahirkan oleh perokok lebih cenderung untuk lahir sebagai bayi pramatang.
- Jika anda pernah melahirkan bayi pramatang, risiko untuk anda melahirkan bayi pramatang sekali lagi akan meningkat
Kini ada ubat progesteron yang mungkin boleh mencegah anda dari kelahiran pramtang kali kedua. Cuba bincangkan dengan doktor anda tentang perubatan ini atau jika doktor anda boleh memberikan cadangan lain untuk mencegah anda melahirkan bayi pramatang untuk kali kedua.
Menurut kajian, anda dinasihatkan untuk menunggu sekurang-kurangnya 18 bulan selepas melahirkan anak untuk hamil semula bagi mengelakkan kelahiran pramatang.
Cara cepat bersalin 37 minggu
Apabila usia kehamilan memasuki 37 minggu dan masih belum ada tanda tanda bersalin, ibu pastinya sudah mula risau dan sentiasa memikirkan ‘bilalah bayi akan keluar?’
Selain itu lewat bersalin boleh menyebabkan kelahiran over due. Anda mungkin perlu bersalin secara paksa atau induce, bahkan mungkin terpaksa menjalani emergency caesar.
#1. Berjalan kaki atau turun naik tangga
Contoh senaman ringan seperti berjalan kaki atau memanjat tangga. Graviti boleh membantu bayi turun lebih jauh ke dalam saluran kelahiran dan mengembangkan serviks anda melalui tekanan mudah.
Kaedah ini juga satu cara yang baik untuk melegakan tekanan dan memastikan tubuh anda kuat untuk tugas yang menanti.
#2. Cara cepat bersalin 37 minggu dengan rangsangan puting
Merangsang puting boleh menyebabkan rahim anda mengecut dan mungkin membawa kepada mempercepatkan proses bersalin.
Malah, jika anda memilih untuk menyusukan bayi selepas bersalin, rangsangan yang sama ini akan membantu rahim mengecut kembali kepada saiz asalnya.
Ajar pasangan untuk merangsang puting atau anda boleh cuba menggunakan pam payudara untuk rangsangan yang lebih kuat.
#3. Ambil makanan pedas
Anda mungkin perlu keluar untuk makanan pedas malam ini. Makanan pedas menyebabkan badan untuk melepaskan prostaglandin sepanjang proses penghadaman.
Hormon-hormon ini boleh menyebabkan pengecutan dalam rahim dan membantu percepatkan proses kelahiran.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi Lahir Pramatang & Rupa Macam ‘Alien’, Ibu Ini Nekad Besarkan Anaknya Sebaik Mungkin
Baca juga: ”Saya & Suami Tak Mahu Anak Ramai,” Bayi Pramatang Meninggal Ibu Lambat Ke Hospital
Baca juga: Cara Elak Tekanan Darah Tinggi Ketika Hamil, Ibu Berisiko Alami Kelahiran Pramatang!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!