Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan selama lebih kurang 2 tahun, mungkin ramai ibu bapa yang tercicir membawa anak-anak mendapatkan imunisasi mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan. Situasi ini bukan sahaja di Malaysia, malah menurut data hasil kajian bersama Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan UNICEF, kesan daripada pandemik Covid-19, seramai 23 juta kanak-kanak di seluruh dunia telah tercicir janji temu imunisasi asas pada tahun 2020, jumlah tertinggi semenjak 2009 dan pertambahan sebanyak 3.7 juta kes berbanding 2019.11
Kajian tersebut juga mendapati bahawa daripada jumlah keseluruhan ini, ada kemungkinan, sehingga 17 juta kanak-kanak langsung tidak mendapatkan walau satu dos vaksin pun pada tahun 2020.1Keadaan ini amat membimbangkan dan WHO memberi amaran bahawa ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius.
Ketua Pengarah WHO berkata, ketika seluruh dunia memberikan fokus terhadap vaksin Covid-19, kita telah leka akan imunisasi lain, lantas menyebabkan kanak-kanak berisiko tinggi terhadap penyakit serius, tetapi boleh dicegah dengan vaksin seperti campak, polio dan meningitis.1
Imej diadaptasi dari Info Sihat, Disember 2020
Kepentingan Melengkapkan Imunisasi Kanak-kanak Mengikut Jadual
Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak wajar mendapatkan imunisasi rutin mengikut jadual yang ditetapkan. Antaranya:
- Membantu mengelakkan risiko penyakit serius3
Tujuan melengkapkan imunisasi mengikut jadual adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin, contohnya hepatitis, polio, tuberculosis dan difteria. Melalui imunisasi lengkap juga, risiko untuk berdepan komplikasi serius akibat sesuatu penyakit boleh dikurangkan. Sebagai contoh, penyakit cacar biasanya mengakibatkan komplikasi seperti cirit-birit, pneumonia, buta dan kekurangan zat4.
- Melindungi ahli keluarga dan komuniti3
Apabila kita jatuh sakit atau dijangkiti virus, kita mudah sekali menyebarkan virus tersebut kepada orang sekeliling. Penyakit batuk kokol contohnya, selalunya dibawa oleh orang dewasa yang kemudiannya menjangkiti bayi. Batuk kokol boleh mengundang komplikasi yang serius, malah boleh membawa maut kepada bayi5. Selain itu, wanita mengandung yang terdedah kepada virus cacar juga berisiko tinggi untuk berdepan keguguran kandungan6. Melengkapkan imunisasi mengikut jadual merupakan salah satu cara untuk melindungi keluarga dan komuniti anda, terutamanya golongan yang tidak mampu menerima imunisasi atas sebab-sebab tertentu. Anda memainkan peranan penting dalam memastikan penyakit yang telah dibasmi tidak kembali mengancam komuniti kita pada hari ini.
- Membantu memberi perlindungan optimum7,8
Imunisasi diberikan mengikut jangka masa yang ditetapkan bagi memastikan tubuh menghasilkan perlindungan yang efektif. Jadual imunisasi ditetapkan dengan mengambil kira bagaimana sistem imun kanak-kanak bertindak balas terhadap vaksin pada umur-umur yang berbeza. Jumlah dos vaksin dan jangka masa perlindungan bagi setiap vaksin berbeza mengikut jenis vaksin tertentu.
Apakah Kesan Daripada Tercicir Mendapatkan Imunisasi?
Bagi mendapatkan lebih kepastian tentang hal ini dan soal keselamatan mendapatkan imunisasi tidak mengikut jadual, kami telah menemu bual seorang doktor pakar kanak-kanak, Dr. Ng Yi-Ki.
“Anda akan perasan bahawa kebanyakan vaksinasi utama dilakukan sebelum bayi berumur setahun dan dos penggalak diberikan pada tahun kedua kehidupan mereka. Ini kerana sistem imun mereka belum berkembang sepenuhnya, menjadikan mereka paling terdedah kepada jangkitan. Jadi, apabila kita terlepas temu janji imunisasi, kita sudah pasti meletakkan mereka pada risiko (tinggi) untuk dijangkiti penyakit berbahaya yang boleh mengancam nyawa,” jelas Dr. Ng Yi-Ki.
Tambah Dr Ng Yi-Ki, jadual vaksinasi kanak-kanak di Malaysia direka untuk menawarkan perlindungan yang paling lengkap, optimum dan boleh diterima dengan baik. “Adalah penting bayi kita menerima semua dos yang diperlukan mengikut jadual untuk dilindungi sepenuhnya. Memilih pelan imunisasi alternatif tanpa berbincang terlebih dahulu dengan doktor anda boleh menjejaskan perlindungan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin,” nasihat Dr Ng Yi-Ki.*
Tindakan Ibu Bapa Untuk Mendapatkan Janji Temu Imunisasi Yang Tercicir
Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja
Jangan risau jika anak anda telah tercicir beberapa janji temu imunisasinya. Jika anda ingin mendapatkan janji temu baharu, ini yang perlu anda lakukan:
- Hubungi doktor pakar kanak-kanak yang biasa anda kunjungi untuk mendapatkan janji temu baharu.
- Bawa bersama buku imunisasi anak anda. Doktor akan memberikan nasihat yang sewajarnya bagi melengkapkan imunisasi yang tercicir.
- Pastikan anak anda sudah bersedia untuk menerima suntikan imunisasi pada hari tersebut.
- Dapatkan janji temu seterusnya, jika masih ada imunisasi yang perlu dilengkapkan.
- Simpan rekod imunisasi untuk rujukan masa hadapan.
Lindungi Diri, Keluarga dan Komuniti
Tidak dapat dinafikan bahawa vaksin memainkan peranan penting dalam menghasilkan imuniti terhadap penyakit-penyakit tertentu, namun masih ada perkara-perkara asas yang patut kita amalkan untuk membantu mencegah jangkitan virus. Antaranya, menjaga kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka apabila tidak sihat, tidak berada di tempat yang sesak ketika kurang sihat, mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat dan menjaga kebersihan persekitaran kita.
Sebelum kita mengakhiri artikel ini, Dr.Ng Yi-Ki ingin berkongsi nasihat terakhir buat para ibu bapa di luar sana:
“Sebagai ibu bapa, kita ingin melakukan yang terbaik untuk membantu melindungi anak-anak kita daripada bahaya. Walaupun kita hanya boleh mengambil langkah berjaga-jaga secara fizikal untuk melindungi mereka daripada beberapa penyakit seperti batuk dan selsema virus biasa dan Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut, kita mempunyai vaksinasi yang terbukti secara sejarah dan saintifik antara cara yang boleh melindungi mereka daripada kondisi yang lebih berbahaya dan berpotensi melemahkan dan mengancam nyawa. Melengkapkan vaksinasi mereka tepat pada masanya adalah yang paling penting. Janganlah kita melangkau atau melengahkannya.*
Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja
Jika anda ada sebarang kemusykilan tentang cara-cara pencegahan penyakit dalam kalangan kanak-kanak, segeralah dapatkan nasihat doktor pakar. Buatlah keputusan setelah mendapat informasi yang menyeluruh kerana langkah yang anda ambil untuk melindungi anak anda turut membawa impak yang besar kepada keluarga dan komuniti anda.
*Maklumat ini disediakan sebagai perkhidmatan profesional oleh MSD. Pandangan yang dinyatakan dalam penerbitan ini berdasarkan pengalaman dan pendapat penulis.
MY-VVX-00117 Jun/2022
Rujukan:
- Unicef. COVID-19 pandemic leads to major backsliding on childhood vaccinations, new WHO, UNICEF data shows. Available From: https://www.unicef.org/press-releases/covid-19-pandemic-leads-major-backsliding-childhood-vaccinations-new-who-unicef-data. Last Accessed: 8 Jun 2022.
- Info Sihat. Jadual Imunisasi Kebangsaan Terkini. Available From: https://www.infosihat.gov.my/penerbitan-multimedia/garis-panduan/item/jadual-imunisasi-kebangsaan-terkini.html. Last Accessed: 8 Jun 2022.
- Unicef. 7 consequences and risks of not getting your child routinely vaccinated. Available From: https://www.unicef.org/indonesia/stories/7-consequences-and-risks-not-getting-your-child-routinely-vaccinated. Last Accessed: 8 Jun 2022.
- Mayo Clinic. Measles – Symptoms and causes. Available From: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/measles/symptoms-causes/syc-20374857. Last Accessed: 8 Jun 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Vaccine (Shot) for Chickenpox. Available From: https://www.cdc.gov/vaccines/parents/diseases/varicella.html. Last Accessed: 12 Jul 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Chickenpox (Varicella) For Healthcare Professionals. Available From: https://www.cdc.gov/chickenpox/hcp/index.html. Last Accessed: 8 Jun 2022.
- MyHealth. Immunisation: Facts and Myths. Available From: httsp://www.myhealth.gov.my/imunisasi-fakta-dan-kemusykilan/. Last Accessed: 8 Jun 2022.
- UCLA Health. How to catch up on your child’s missed vaccinations. Available From: https://connect.uclahealth.org/2021/05/20/how-to-catch-up-on-your-childs-missed-vaccinations/. Last Accessed: 8 Jun 2022.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!