Kenapa Darah Haid Berketul-Ketul Setiap Kali Datang Period? Punca Ketulan Haid, Jenis & Bahaya
Ketulan darah haid sebenarnya adalah perkara biasa. Namun, jika berterusan, adakah ia normal atau tanda sesuatu yang perlu diberi perhatian?
Pernahkah anda mengalami ketulan darah semasa haid seperti hati ayam? Jika ya, anda tidak keseorangan. Ramai wanita menghadapi situasi yang sama walaupun ia mungkin menimbulkan kebimbangan.
Isi Kandungan
Apa Itu Ketulan Darah Haid?
Ketulan darah haid adalah gumpalan kecil atau besar yang terbentuk dalam darah haid. Ia biasanya kelihatan seperti ketulan berwarna merah gelap atau coklat yang keluar bersama-sama dengan aliran haid.
Ketulan ini terjadi apabila darah haid membeku dalam rahim sebelum keluar.
Sebab Terjadi Ketulan Haid
Tubuh sebenarnya menghasilkan antikoagulan untuk mencegah darah daripada membeku terlalu cepat.
Namun, apabila aliran haid terlalu deras, ia tidak mampu untuk menampung darah yang keluar dengan banyak yang menyebabkan ketulan darah haid terbentuk.
Antara punca terjadinya ketulan tersebut adalah:
1. Ketidakseimbangan Hormon
Ketidakseimbangan estrogen dan progesteron boleh menyebabkan dinding rahim (endometrium) tumbuh lebih tebal dan mengakibatkan pendarahan lebih banyak dan berketul semasa haid.
2. Fibroid Rahim
Fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser di dalam rahim yang boleh menyebabkan pendarahan berat dan ketulan darah.
Fibroid menghalang aliran darah yang lancar, menyebabkan darah beku sebelum ia keluar.
3. Endometriosis atau Adenomyosis
Dalam keadaan ini, tisu endometrium tumbuh di luar rahim atau di dalam dinding rahim menyebabkan haid lebih berat dan kehadiran ketulan darah.
4. Polip Rahim
Polip adalah ketumbuhan kecil yang juga boleh menyebabkan pendarahan tidak normal dan ketulan darah semasa haid.
5. Keguguran
Ketulan darah yang keluar semasa haid juga mungkin tanda keguguran awal, terutama jika anda mengalaminya berserta sakit perut yang teruk.
Adakah Ketulan Haid Normal?
Normal: Ketulan kecil hingga sederhana selalunya normal, lebih-lebih lagi jika tiada simptom lain.
Perlu Berwaspada: Jika ketulan besar (sebesar tapak tangan melebihi 2.5cm), sering berlaku atau ada gejala seperti sakit teruk, pening atau letih melampau, sebaiknya jumpa doktor.
Bila Perlu Jumpa Dengan Doktor?
- Ketulan darah sangat besar atau kerap terjadi.
- Pendarahan berpanjangan lebih lama dari biasa.
- Sakit yang teruk atau simptom seperti pening dan terlalu letih.
- Perubahan ketara dalam pola haid.
- Menjaga kesihatan haid penting, jadi jangan segan untuk dapatkan nasihat perubatan jika ada yang luar biasa pada kitaran haid anda.
Jenis-Jenis Ketulan Darah Haid
Ketulan darah haid boleh berbeza-beza dari segi saiz, warna dan tekstur. Dengan panduan ini boleh membantu anda mengenal pasti sama ada ketulan darah itu normal atau tidak.
1. Ketulan Bertali dan Berlendir
Darah haid yang pekat dan melekit boleh terbentuk akibat lapisan rahim yang gugur. Biasanya, darah berketul berwarna gelap atau merah terang.
2. Ketulan Darah Seperti Jeli
Sepanjang haid, anda mungkin nampak darah bertekstur seperti jeli atau ketulan tebal. Ini normal dan lebih kerap berlaku di akhir tempoh haid. Warnanya boleh merah terang, gelap atau coklat.
3. Ketulan Sebesar 20 Sen
Ia mungkin normal jika berlaku sekali-sekala, terutamanya pada hari awal kitaran haid. Namun, jika ia kerap muncul atau disertai dengan pendarahan yang sangat berat, ini boleh menjadi tanda masalah seperti fibroid atau gangguan hormon.
Jika darah haid berketul lebih besar dan terjadi kerap, ia boleh menjadi petanda kepada:
- Penyakit tiroid
- Kekurangan vitamin K
- Fibroid rahim (pertumbuhan otot di dinding rahim)
- Adenomiosis (pengumpulan tisu dalam rahim)
- Gangguan pendarahan
- Komplikasi alat intrauterin (IUD)
- Sindrom ovari polisistik (PCOS)
- Endometriosis (tisu tumbuh di luar rahim)
- Polip kecil (pertumbuhan benigna dalam rahim)
- Kanser endometrium (tumor ganas dalam rahim)
Namun jika sebaliknya, tak perlu risau kerana ia adalah perkara biasa. Kesihatan haid mencerminkan kesihatan tubuh, jadi penting untuk mengesan perubahan pada tubuh anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Senggugut Teruk Setiap Bulan? Tanda Fibroid Dalam Rahim, Punca, Simptom Awal & Rawatan
Baca juga:Kitaran Haid Wanita: Tempoh Haid Normal, Fasa Haid & Cara Kira Kitaran Haid
Baca juga: Ini Fakta & Mitos Tentang Haid Yang Anda Perlu Tahu Serta Ciri Darah Haid!