Boleh Ke Letak Kicap Dalam Makanan Bayi? Ibu Ayah Wajib Tahu
Sedap memang sedap tambah kicap dalam nasi. Tapi bayi boleh makan kicap ke?
Kini, ramai mak-mak tension bila ada nurseri atau pengasuh bagi kicap untuk bayi mereka makan. Alahai, mengamuklah mak-mak ni ha!
Disebabkan isu pemberian ‘kicap’ ini, ramai ibu bapa bekerja memberi warning pada pengasuh agar jangan bagi kicap untuk bayi mereka.
Paling tidak pun, mereka sendiri yang akan menyiapkan makanan bayi supaya ia lebih berkhasiat sekaligus, senang sikit kerja pengasuh itu, kan?
Tapi, persoalannya di sini, betul ke tak boleh bagi kicap untuk bayi makan? Ada kesan sampingan atau alahan ke?
Kicap ini memang menjadi kegemaran ramai terutama golongan dewasa. Kalau tak ada kicap, putus selera! Akan tetapi, ada beberapa sebab kenapa anda tidak digalakkan memberi kicap pada bayi.
Kicap untuk bayi: Boleh atau tak boleh?
#1. Kicap untuk bayi boleh buat alergik pada kulit si kecil
Sebaiknya, kicap dielakkan pada bayi yang berumur dua tahun ke bawah kerana ia boleh menyebabkan alahan, batuk, ruam dan alergik. Senang cakap, tak bagus untuk tumbesaran mereka yang masih kecil itu.
Namun begitu, jika bayi tiada alahan selepas diberikan kicap, ibu boleh teruskan tapi janganlah selalu kerana deria rasa bayi masih sensitif. Kalau boleh jangan perkenalkan kicap untuk bayi terlalu awal.
#2. Anak boleh jadi “picky eater” atau cerewet
Hal ini kerana, jika mereka sudah diberikan makanan yang berperisa sedap seperti kicap terlalu awal, anak boleh jadi picky eater bila besar.
Sebab itu, ada sesetengah kanak—kanak tak nak makan bila tak ada kicap dalam nasi. Parah ni!
#3. Ganti penggunaan kicap dengan bahan lain
Kicap manis atau kicap masin sekalipun, kandungan sodium di dalamnya adalah tinggi dan sekaligus tak bagus untuk anak.
Sebaiknya, jika nak tambah perasa dalam makanan si kecil, ibu boleh masukkan bawang merah, lobak, ikan bilis, stok ayam dan sayuran hijau ke dalam hidangan mereka. Barulah anak bertambah sihat!
Kicap berasal dari mana?
Menyentuh isu tentang kicap untuk bayi ini, jom kita recall balik sejarah kemunculan kicap.
Kicap sebenarnya berasal dari China dan diperkenalkan di Jepun beribu tahun dahulu. Bahan asas untuk buat kicap adalah daripada kacang soya yang diperam bersama beberapa bijirin seperti gandum, barli atau nasi.
Prosesnya pula membabitkan penggunaan yis istimewa yang turut dicampurkan bersama garam dan bahan perisa yang lain.
Kemudian, kesemua adunan itu dicampurkan selama beberapa bulan sebelum ditapis bagi mendapatkan cecair yang dikenali kicap.
Setelah siap diproses, kicap dibotolkan lalu dijual di pasaran dan dijenamakan. Antara kicap yang ada seperti kicap manis, kicap masin, kicap pekat, kicap cair, kicap hitam dan lain-lain.
Cara pembuatan kicap
- Kacang soya diperam atau ditapaikan terlebih dahlu sehingga menjadi tempe kacang soya
- Tempe itu kemudian dikeringkan dan direndam dalam larutan garam. Ia adalah sebatian selektif bagi pertumbuhan mikrob
- Mikrob ini dapat bertahan daripada garam yang tumbuh dalam larutan kacang soya yang terdiri daripada jenis ragi dan bakteria tahan garam.
- Mikrob ini juga memecahkan protein lalu menjadi asid amino dan kompenan perasa serta menghasilkan asid.
- Kadar garam dalam kicap daripada proses penapaian adalah cukup tinggi antara 15 hingga 20 peratus.
Kesimpulannya, jika anak bawah umur dan masih belajar makan, adalah lebih baik anda mengelak daripada penggunaan kicap ini.
Namun, sekiranya anak sudah berusia dua tahun ke atas, ia boleh diambil tapi dalam kuantiti sedikit. Maksudnya cukup setitik dua saja dalam nasi mereka.
Orang tua-tua kata buat sedap hujung-hujung lidah. Dan beri sekali sekala sajalah. Jangan setiap kali makan mesti bubuh kicap dalam nasi.
Kadang-kadang perisakan dengan serbuk ikan bilis. Ikan bilis digoreng kemudian ditumbuk, itu pun boleh buat makanan jadi sedap tau! Berkhasiat pula tu.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Sinar Harian
Baca juga: Awas! 6 Makanan Ini Boleh Sekat Perkembangan Otak Anak! Punca Anak Susah Belajar