Tugas seorang ibu bekerja sudah cukup mencabar terutamanya apabila perlu memilih pengasuh anak yang baik. Lebih-lebih lagi kalau ibu bekerja itu juga seorang ibu tunggal yang bergantung kepada bantuan saudara dan sahabat yang dipercayai.
Tapi bagaimana pula apabila orang yang sepatutnya melindungi anak anda, akhirnya menjadi orang yang memudaratkannya? Inilah pengalaman ibu tunggal Jenny Young yang berusia 31 tahun yang menyesal kerana tidak memilih pengasuh anak yang baik selepas kesihatan anaknya terjejas.
Tidak memilih pengasuh anak yang baik – Anak kena radang paru-paru kerana pengasuh merokok
Dalam temu bual bersama dengan theAsianparent, Jenny memberitahu kami anaknya pernah mengalami radang paru-paru pada usia 6 bulan disebabkan oleh pengasuhnya.
Rupa-rupanya, orang lain telah nampak pengasuh yang berusia 50 tahun itu merokok sambil menjaga anaknya. Selepas ditegur, pengasuh itu berjanji tidak akan merokok lagi. Tetapi apabila anaknya lambat pulih selepas sakit selesema dan batuk teruk, Jenny mula rasa risau.
Sumber gambar dari Jenny Young
“Saya telah menangkap pengasuh itu merokok dengan satu tangan sambil mendukung anak saya dengan tangannya yang lain. Selepas sehari batuk, anak saya seperti sukar bernafas tetapi pengasuh itu melarang saya membawa anak berjumpa doktor.”
Pengasuh itu menegaskan dia tahu cara mengurut bayi untuk melegakan keadaan anaknya. Tapi selepas melihat anaknya yang menangis kesakitan, Jenny terus membawa anaknya ke doktor.
Doktor mendapati pernafasan anaknya amat membimbangkan dan tidak normal lagi!
“Jika saya tidak membawanya ke hospital, saya mungkin akan kehilangan anak saya …”
Sumber gambar dari Jenny Young
Disebabkan asyik muntah ubat, doktor itu merujuk anak Jenny ke hospital berdekatan. Di sana, ujian mengesahkan anaknya radang paru-paru dan kencing kotor. Jenny hanya dapat tahu kemudian dari seorang jiran yang pengasuh itu memberi minuman bergas kepada anaknya!
Jenny akhirnya menamatkan perkhidmatan pengasuh yang bermasalah itu.
Tips menangani pengasuh bermasalah apabila tidak memilih pengasuh anak yang baik
Walaupun mengalami pengalaman yang pahit, Jenny banyak belajar. Dia menasihatkan ibu bapa untuk memilih pengasuh anak yang baik.
Pastikan pengasuh anak tidak mempunyai tabiat buruk seperti berjudi ataupun merokok. Kalau tidak, mereka boleh mengabaikan anak apabila ibu bapa sibuk bekerja.
“Kadang-kadang kita rasa susah untuk buka mulut apabila pengasuh itu seorang saudara ataupun orang yang lebih tua dari kita. Tapi jika kita berlembut hati, anak kita yang menderita,” kata Jenny.
- Jangan takut untuk bertanya – Jika ibu bapa berasa ada sesuatu yang tak kena, anda masih boleh bertanya dengan cara yang hormat. Anda masih majikan mereka walaupun jurang umur yang besar. Jangan takut untuk bercakap benar.
- Izinkan mereka untuk menjelaskan diri – Dengar dulu penjelasan mereka dengan fikiran terbuka. Adakah perbuatan mereka disengajakan ataupun tidak?
- Berikan peluang kepada mereka untuk membuktikan diri – Jangan sebarang membuat kesimpulan berdasarkan latar belakang seseorang ataupun kata-kata orang.
- Bersikap tegas tetapi adil – Jenny mengaku ini semua sebab dia terlalu lembut hati. “Dia telah menyalahgunakan kebebasannya. Mungkin dia ingat dalam keadaan yang terdesak, saya tidak akan menggantikannya.
- Oleh itu, jangan terburu-buru apabila ingin memilih pengasuh anak yang baik. Masih ada banyak lagi pengasuh yang baik di luar sana! Ibu bapa cuma perlu bersabar ketika mencari pengasuh yang baik dan sesuai untuk anak.
Jenny telah memilih pengasuh itu kerana ingat dia seorang ibu yang berpengalaman. Tetapi kini anaknya sudah mempunyai pengasuh yang baru.
“Kini anak saya tidak selalu sakit seperti dahulu,” kata Jenny, “Lega sikit hati saya kerana ada pengasuh baik yang menjaganya.”
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: theAsianparent Philippines
Baca juga:
5 petanda anda dapat atau ada pengasuh yang tidak baik