Hukum & Cara Mandi Wajib Selepas Bersalin, Ibu Baru WAJIB Tahu Cara Betul Sucikan Diri!
Ketahui hukum dan cara mandi nifas selepas bersalin dengan cara yang betul supaya segala amal ibadah selepas melahirkan anak ini sah dan diterima.
Antara persoalan yang biasa ditanya oleh para ibu muslimah selepas melahirkan anak adalah tentang hukum mandi wajib selepas bersalin. Bagaimana pula cara-caranya? Adakah ia berbeza dengan cara mandi wajib yang selalu dilakukan oleh kita sebelum ini?
Jadi, dalam artikel ini, kami akan kongsikan dengan anda beberapa maklumat penting yang perlu diketahui supaya anda dapat melakukan mandi wajib dengan cara yang betul.
Hukum dan cara mandi wajib selepas bersalin
Sebelum kita mengetahui hukum mandi wajib selepas bersalin, mari kita lihat dulu 2 istilah yang sering digunakan untuk para ibu yang baru lepas melahirkan anak.
- Wiladah – Ia adalah satu keadaan di mana seorang ibu itu baru lepas melahirkan anak.
- Nifas – Ia adalah darah yang keluar selepas seorang ibu itu baru lepas melahirkan anak.
Setiap wanita yang baru keguguran atau lepas bersalin akan berada dalam keadaan wiladah (lepas melahirkan anak) dan dua keadaan akan berlaku selepas itu; sama ada si ibu itu tidak keluar darah atau keluar darah di antara 40 ke 60 hari.
Setiap wanita WAJIB untuk mandi selepas salah satu keadaan ini.
Perlukah mandi wajib 2 kali – satu untuk wiladah dan nifas?
Ramai para ibu yang keliru tentang persoalan ini. Jika si ibu baru lepas melahirkan anak dan datang darah nifas, perlukah dia mandi dua kali, satu untuk wiladah dan satu lagi untuk nifas. Jawapannya adalah: tidak perlu!
Mandi wajib selepas bersalin boleh dilakukan dengan salah satu daripada dua cara ini, bergantung kepada keadaan si ibu.
- Jika ibu yang baru bersalin tidak keluar darah nifas, maka dia hanya perlu mandi wajib wiladah.
- Jika ibu baru lepas bersalin dan datang darah nifas, dia perlu tunggu darah itu kering dan barulah mandi wiladah DAN nifas dalam SATU mandian (tidak perlu mandi dua kali).
Untuk lebih memahami tentang hal ini, jom tonton penjelasan daripada Ustaz Azhar Idrus seperti dalam link.
Menurut perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan, ada 2 cara berniat untuk mereka yang mengalami wiladah serta nifas. Berikut antara caranya:
- Menggabungkan dua niat dalam satu mandian. Contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas wiladah dan nifas.” Kemudian dia mandi.
- Mandi dengan satu niat sahaja. Contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar.” Kemudian dia mandi.
Cara mandi nifas selepas bersalin
Bagaimanakah cara mandi nifas selepas bersalin yang betul? Sebenarnya, ia mudah sahaja. Ia hampir sama dengan mandi wajib selepas haid atau junub (selepas bersama suami).
- Berniat (seperti yang dijelaskan di atas)
- Membaca bismillah
- Membasuh tangan
- Membasuh kemaluan
- Mengambil wudhu’
- Menyiram kepala 3 kali dimulai dengan bahagian kanan
- Menyiram air ke seluruh badan dan air kena pada setiap bahagian badan
- Membasuh kaki
Selepas selesai mandi wajib, maka para ibu yang baru lepas bersalin pun sudah boleh melakukan amal ibadah seperti solat dan berpuasa seperti biasa.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia