Tingkah Laku Anak Berubah Mungkin Disebabkan Gangguan Mental, Ibu Sila Alert Masalah Ini!

undefined

Tahukah anda bahawa anak kecil juga berpotensi mengalami masalah mental? Hampir setengah juta kanak-kanak menghadapinya dan ini akan menjejaskan masa depan.

Isu masalah mental dalam kalangan kanak-kanak perlu diberikan perhatian dan ditangani dengan baik kerana mampu menyebabkan masalah yang sama seperti orang dewasa.

Dalam hal ini, ibu ayah adalah insan yang paling dekat dengan anak-anak untuk mengenal pasti setiap perubahan dan segera merujuk kepada pihak perubatan.

Setiap tahun pada 10 Oktober, Hari Kesihatan Mental Sedunia akan disambut bertemakan “Mental Health is a Universal Human Right” untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit ini dengan lebih meluas.

Apa itu kesihatan mental

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), maksud kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera apabila seseorang individu menyedari keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada komuniti.

Ia memberikan tanggapan keseluruhan terhadap keupayaan individu dalam menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.

masalah mental dalam kanak-kanak

Menurut penaung Befrienders Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye, meskipun terdapat perbincangan intensif mengenai masalah mental sejak beberapa tahun yang lalu, namun kebanyakannya hanya memfokuskan kepada kesejahteraan mental orang dewasa.

”Ia adalah sesuatu yang kurang baik menunjukkan betapa tabunya subjek penyakit mental, tetapi ini adalah masa untuk mengakui kepentingan kesihatan mental bagi kanak-kanak atau orang dewasa.” jelasnya.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sejumlah 424,000 kanak-kanak didapati menghidapi isu kesihatan mental. Ia adalah sesuatu yang membimbangkan dan perlu ditangani dengan baik kerana mereka merupakan harapan pada masa hadapan.

Lee berkata kemampuan untuk menyedari bahawa seorang kanak-kanak memerlukan bantuan adalah pencegahan awal yang mampu meningkatkan kesejahteraan mereka melalui rawatan penyakit mental.

Antara tanda-tanda awal masalah gangguan mental ialah:

  • Sedih yang berterusan – dua atau lebih minggu
  • Menarik diri dari interaksi sosial
  • Mencederakan diri atau bercakap tentang mencederakan diri sendiri
  • Bercakap tentang kematian atau bunuh diri
  • Mudah marah
  • Tingkah laku di luar kawalan yang boleh memudaratkan
  • Perubahan drastik dalam tingkah laku atau keperibadian
  • Perubahan tabiat makan
  • Kehilangan berat badan
  • Sukar tidur
  • Sakit kepala atau sakit perut yang kerap
  • Kesukaran menumpukan perhatian
  • Perubahan prestasi akademik
  • Mengelakkan atau hilang di sekolah

Cara menjaga kesihatan mental anak

gangguan mental

Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak termasuklah menyediakan persekitaran di rumah yang penuh kasih sayang dan menggalakkan perbualan sihat.

Langkah ini mampu menyedarkan anak kecil bahawa mereka mempunyai ibu ayah sebagai pendengar yang setia dan memberi peluang untuk mereka meluahkan sesuatu dengan baik.

Bukan itu sahaja, anak kecil turut bersikap lebih terbuka untuk bercakap masalah yang membelenggu diri mereka termasuklah perasaan yang sukar dan tidak selesa.

Lee berkata persekitaran sihat di sekolah juga penting kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa di sekolah setiap hari. Mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran bagaimana menangani tekanan secara berkesan, menyelesaikan masalah dan membina ketahanan diri.

”Di sekolah sebarang insiden buli perlu diawasi kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak dengan teruk sehingga boleh membawa kepada keinginan untuk bunuh diri.”

”Kanak-kanak mengalami banyak perubahan dalam hidup mereka seperti pergi ke sekolah baharu, berjumpa rakan baharu dan semua ini boleh menyebabkan dilanda rasa cemas dan tertekan. Apatah lagi apabila waktu ini mereka perlu diajar mengenai norma baharu di sekolah,” jelasnya.

“Jika anda bimbang dengan kesihatan mental anak anda, dapatkan bantuan  orang yang profesional seperti psikiatri atau kaunselor,” katanya.

Befrienders KL turut menawarkan sokongan emosi kepada sesiapa yang berasa tertekan atau ingin bunuh diri, dengan menghubungi talian bantuan 24 jam mereka di 03-7627 2929.

Jenis penyakit mental di kalangan kanak-kanak

masalah kesihatan mental

1. Gangguan keresahan (anxiety)

Gangguan keresahan pada kanak-kanak adalah ketakutan, kebimbangan atau kegelisahan yang berterusan sehingga ia mengganggu kemampuan untuk bermain, berada di sekolah atau situasi sosial yang sesuai dengan usia. 

2. Gangguan perhatian-defisit / hiperaktif (ADHD)

Berbanding dengan kebanyakan kanak-kanak pada usia yang sama, anak kecil  dengan masalah ADHD menghadapi masalah perhatian, tingkah laku impulsif, hiperaktif atau beberapa kombinasi masalah ini.

3. Gangguan spektrum autisme (ASD)

Gangguan spektrum autisme adalah keadaan neurologi yang muncul pada awal kanak-kanak – biasanya sebelum usia 3 tahun. Walaupun kesan ASD berbeza-beza, kanak-kanak dengan gangguan ini mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain.

4. Gangguan makan

Gangguan makan didefinisikan sebagai keinginan untuk mendapatkan badan yang ideal, pemikiran tidak teratur mengenai penurunan berat badan dan mengamalkan diet tidak sihat.

Gangguan makan seperti anoreksia nervosa, bulimia nervosa dan gangguan makan berlebihan boleh mengakibatkan disfungsi emosi, sosial dan komplikasi fizikal yang mengancam nyawa.

5. Kemurungan dan gangguan mood

Depresi adalah perasaan sedih dan hilang minat yang berterusan sehingga mengganggu kemampuan anak untuk aktif di sekolah dan berinteraksi dengan orang lain.

Gangguan bipolar mengakibatkan perubahan mood yang melampau antara kemurungan, emosi atau tingkah laku sehingga menyebabkannya tidak selamat.

Punca penyakit mental pada kanak-kanak

Walaupun punca sebenar penyakit mental tidak diketahui dan mungkin berbeza bagi setiap kanak-kanak, kajian menunjukkan bahawa kebanyakan keadaan ini berlaku disebabkan oleh interaksi pelbagai faktor seperti biologi, psikologi dan persekitaran.

Antara punca penyakit mental pada kanak-kanak yang dikenal pasti ialah: 

  • Penggunaan gajet atau skrin berlebihan yang menyebabkan ketagihan.
  • Hilang keyakinan dan berasa rendah diri.
  • Trauma dalam kehidupan yang melampau.
  • Masalah keluarga atau dibuli rakan-rakan.
  • Tekanan untuk mencapai prestasi cemerlang.

Cara mencegah dan merawat masalah mental paling berkesan

Kanak-kanak tidak mungkin menghidap masalah mental perlu diperbetulkan semula kerana anak ini perlu diberikan bantuan dengan kadar segera daripada pihak hospital. 

Jika rawatan dilakukan pada peringkat awal, penyakit ini boleh sembuh dengan lebih baik disamping mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingin berlaku.

1. Luangkan masa 3 minit dengan anak

Menurut pakar, ibu ayah perlu meluangkan sekurang-kurangnya 3 minit bonding time dengan anak setiap hari tanpa gagal. Caranya, letakkan diri anda pada paras mata sama dengan anak.

Memeluk, mencium pipi dan minta anak berkongsi cerita setiap kali pulang dari sekolah sudah cukup membuatkan anak berasa gembira dan dihargai.

2. Hadkan penggunaan skrin atau gajet

Tidak dinafikan, ibu ayah yang bekerja dari rumah memberikan gajet kepada anak bagi mengelakkan diganggu. Namun, sekiranya berlanjutan dan tempoh ‘screen time’ yang terlalu lama dan tidak dikawal menyebabkan mereka lebih banyak meluangkan masa di depan skrin.

Sebaiknya hadkan masa skrin dan wujudkan aktiviti lain yang lebih bermanfaat seperti membaca buku, bermain bersama dan makan bersama sambil bergelak ketawa.

3. Berjumpa dengan pakar 

Setelah cuba bermacam cara namun tidak menjadi, jangan malu untuk bawa anak berjumpa dengan pakar berhubung untuk mendapatkan konsultasi. Salah satu jabatan yang mennyediakan perkhidmatan penyakit mental adalah Menteri, pusat kesihatan mental masyarakat insiatif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Ia menyediakan program rehabilitasi dan terapi carapulih kerja untuk kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah kesihatan mental.

Disamping itu, beberapa intervensi rawatan susulan akan dijalankan selepas konsultasi dengan pakar supaya dapat membendung penyakit ini dari berulang. 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Ibu Ayah Sila Peka, Ini 5 Tanda Awal Anak Kecil Anda Mungkin Alami Gangguan Mental

Baca juga: Simptom Depresi Boleh Membahayakan Diri & Keluarga, Sila Waspada 5 Perkara Ini!

Baca juga: Kesihatan Mental Anak Boleh Terjejas Jika Anda Berterusan Lakukan Perkara-Perkara Ini

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!