Anda Sedang Hamil? Ini 4 Cara Mudah Untuk Kira Usia Kandungan Dengan Betul

Dengan empat cara kira usia kandungan ini anda boleh menganggarkan sendiri bila bayi anda bakal lahir? Lakukan persiapan hospital bersalin dan sebagainya!

Apabila baru mendapat berita si isteri hamil, pasangan suami isteri pasti rasa tidak sabar untuk mengetahui usia kandungan. Tapi bagaimana sebenarnya cara kira usia kandungan?

Berapa lama lagi sebelum kita boleh mendukung anak kesayangan? Dan berapa banyak masa lagi  untuk melakukan persiapan buat ibu dan bayi? Sudah pasti ramai yang ingin tahu cara kira usia kandungan atau cara kira minggu kehamilan ini, dan tidak perlu tunggu sehingga perjumpaan dengan doktor pun!

Di sini, kami sertakan 4 cara bagaimana untuk menghitung usia kandungan anda. Jom cuba buat!

Cara Kira Usia Kandungan Yang Betul

#1. Guna apps atau kalkulator kehamilan dalam talian

cara kira usia kandungan menerusi aplikasi

Cara untuk membuat kiraan kandungan dengan menggunakan aplikasi dan kalkulator kehamilan dalam talian adalah lebih mudah.

Hanya dengan memasukkan beberapa butiran mengenai haid anda, kalkulator kehamilan boleh mengira usia kandungan dalam talian.

Langkah-langakah:

  1. Masukkan tarikh dan bulan, hari pertama haid terakhir anda (HPHT).
  2. Masukkan jumlah hari dalam kitaran anda, contohnya 28 hari ataupun 30 hari.
  3. Kalkulator kehamilan akan mengira dan memberitahu anda usia kehamilan.

#2. Kiraan kalendar (Formula Naegele)

cara kira usia kandungan menggunakan formula naegele

Sebelum menggunakan cara kiraan kehamilan untuk mengira usia kandungan dengan kaedah ini, anda mesti tahu tarikh hari pertama haid terakhir (HPHT) anda terlebih dahulu.

Kaedah ini biasanya digunakan untuk menghitung kitaran haid tetap contohnya wanita dengan kitaran 28 hari atau 30 hari. 

Langkah-langkah:

  1. Tarikh HPHT + 7 
  2. Bulan HPHT – 3
  3. Tahun HPHT +1 

Sebagai contoh:

  1. HPHT 16 Ogos 2017
  2. Tarikh HPHT 16 + 7 = 23
  3. Bulan HPHT 8 -3=5
  4. Tahun HPHT 2017 + 1 = 2018
  5. Maka anggaran hari kelahiran adalah 23 Mei 2018

Jika bulan HPHT tidak dapat dikurangkan, contohnya bulan Januari (1 – 3 =?) tukarkan dengan HPHT ditambah dengan 9 sahaja.

  1. Tarikh HPHT +7
  2. Bulan HPHT +9
  3. Tahun HPHT +1  (sama seperti di atas) 

Contoh:

  1. HPHT 20 Januari 2017
  2. Tarikh HPHT 20 + 7 = 27
  3. Bulan HPHT 1+9=10
  4. Tahun HPHT 2017
  5. Maka anggaran hari kelahiran adalah 27 Oktober 2017

Tetapi ini cara untuk menganggarkan hari kelahiran! Bagaimana pula untuk usia kandungan? Senang sahaja, anda cuma perlu tambahkan HPHT anda.

Contoh:

Jika HPHT anda ialah 16 Ogos 2017, maka bulan pertama usia kandungan ialah 16 September 2017.

#3. Kaedah fundus uterus

cara kira usia kandungan dengan kaedah fundus uterus

Fundus uterus merupakan puncak rahim. Puncak rahim akan menjadi semakin tinggi apabila janin berkembang.

Jururawat di KK selalu menggunakan cara ini untuk mengira usia kandungan secara manual:

  1. Mula-mula rasa bahagian atas rahim yang menonjol pada bahagian perut.
  2. Ukur jarak dari tulang rusuk ke bahagian atas uterus.
  3. Jika jaraknya 17 cm, maka usia kandungan adalah 17 minggu.

 #4. Menerusi pergerakan janin

Ibu boleh mengira usia kandungan dengan merasakan pergerakan janin walaupun hasil kaedah ini tidak 100% tepat.

Langkah-langkah:

  1. Ibu hanya perlu merasakan pergerakan janin.
  2. Sekiranya ibu dapat merasakan janin mula bergerak maka usia kandungan dianggarkan sekitar 18-20 minggu.
  3. Kaedah ini hanya berkesan untuk wanita yang hamil kali pertama.
  4. Untuk kehamilan kedua dan seterusnya, pergerakan janin dapat dirasakan kira-kira 16-18 minggu.

Kira Tarikh Bersalin

Tarikh bersalin atau expected delivery date (EDD) sangat penting untuk diketahui oleh setiap ibu hamil. Apabila EDD sudah diketahui, doktor anda boleh memeriksa sama ada tumbesaran bayi dalam keadaan sihat dan baik ataupun tidak. Tanpa EDD, doktor biasanya akan mengalami kesukaran untuk memberi penjelasan tentang perkembangan bayi dalam perut anda.

Terdapat dua cara untuk mengetahui EDD anda:

#1. Menerusi tarikh hari pertama haid terakhir (LMP)

Anda dinasihatkan untuk mencatatkan bila tarikh pertama bagi haid terakhir anda. Tidak perlu secara manual, kini anda boleh kira sendiri menerusi aplikasi kalkulator bagi pengiraan tarikh bersalin yang ada pada hari ini. 

  1. hanya masukkan tarikh hari pertama haid terakhir anda
  2. masukkan jumlah hari kitaran haid anda. Contoh, setiap 28 hari atau 30 hari untuk anda datang haid. 

#2. Menerusi imbasan ultrasound

Buat imbasan ultrasound bagi cek tarikh jangkaan bersalin

Doktor anda biasanya akan menyuruh anda untuk membuat imbasan pada kandungan sejak di awal kehamilan. Ini kerana semasa di awal kehamilan, doktor boleh jangkakan tarikh untuk bersalin dengan dengan tepat berbanding jika diimbas ketika bayi dalam perut sudah mulai besar. Tempoh yang disarankan adalah ketika usia kandungan 6 hingga 10 minggu dan ia dipanggil sebagai dating scan yang mana hanya memerlukan imbasan 2D sahaja. 

Semasa dating scan, doktor akan membuat pemeriksaan bagi mengetahui kedudukan bayi anda dalam rahim, jumlah bayi dan jangkaan tarikh bersalin. Apabila bayi anda sudah semakin besar, pengiraan dalam mesin akan berbeza sedikit dan EDD boleh jadi kurang tepat. 

Untuk wanita yang terlupa tarikh hari pertama period terakhir mereka atau yang mempunyai kitaran haid tidak tepat, anda hanya boleh mengetahui jangkaan tarikh bersalin menerusi imbasan ultrasound sahaja.

Bila Sepatutnya Jumpa Doktor

Sila pastikan anda berjumpa dengan doktor jika anda tidak dapat mengenal pasti tarikh jangkaan bersalin anda sendiri menggunakan aplikasi yang tersedia. 

Doktor akan membantu anda untuk membuat imbasan ultrasound bagi mengenapasti tarikh jangkaan bersalin anda serta perkembangan bayi dalam kandungan sama ada sihat atau tidak. Jika anda merasakan terdapat sebarang perkara yang tidak kena pada kandungan anda, sila maklumkan kepada doktor anda ketika sesi temu janji tersebut supaya doktor anda dapat mengenalpasti masalah yang mungkin berlaku. 

Bila Patut Buka Buku Pink

Buku pink atau nama rasminya Rekod Kesihatan Ibu merupakan buku yang akan merekodkan kesihatan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan. Biasanya buku pink ini boleh dibuka sebaik sahaja ibu yakin bahawa dirinya hamil sehingga sebelum berakhirnya trimester pertama.

Jika anda terlewat untuk membuat buku pink, anda akan dilabel sebagai ‘late booking’. Kiraan hamil satu minggu turut akan dicatatkan di dalam buku pink. 

Untuk mengenalpasti sama ada anda sudah hamil atau tidak, anda boleh sahaja melakukan ujian kit kehamilan di rumah. 

Bagi yang pertama kali ke Klinik Kerajaan atau Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA) untuk pemeriksaan pranatal dan membuka buku pink, sila pastikan anda bawa dokumen-dokumen di bawah ini:

  • kad pengenalan anda
  • kad pengenalan suami
  • gambar ukuran passport anda dan pasangan 
  • sijil nikah
  • bil air/ elektrik bagi pengesahan alamat
  • surat rujukan doktor (jika ada)

Sila kenalpasti mana KKIA yang berdekatan dengan rumah anda untuk lebih mudah.

Penjagaan Awal Kehamilan

Sekiranya ini kali pertama anda bakal bergelar ibu, pastikan anda tahu apa yang perlu dilakukan selain daripada mengetahui usia bayi dalam kandungan dan membuat kiraan hamil semata-mata:

#1. Rancangkan rawatan antenatal anda dari awal

Penjagaan antenatal yang baik adalah penting untuk kesihatan bayi anda.

Memilih doktor yang akan menjaga anda dari awal lagi bermakna anda akan mempunyai banyak masa untuk membina hubungan yang baik sebagai persediaan untuk kelahiran.

Walaupun jika anda tidak mempunyai pilihan dari segi siapa yang anda mahu untuk mengendalikan anda (seperti di klinik-klinik dan hospital kerajaan), anda masih boleh membina persefahaman yang baik dengan seorang bidan atau pakar obstetrik yang sering anda jumpa dalam tempoh masa anda membuat pemeriksaan kehamilan.

Dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pilihan rawatan antenatal anda.

#2. Makan dengan baik

Anda tidak perlu “makan untuk dua orang” apabila anda hamil, atau minum susu penuh krim atau mengambil makanan tambahan yang dipasarkan sebagai susu untuk ibu.

Malah, keperluan tenaga anda tidak berubah dalam tempoh enam bulan pertama kehamilan, dan keperluan ini hanya meningkat sedikit dalam tempoh tiga bulan yang terakhir (sebanyak sekitar 200 kalori sehari).

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengambil diet yang sihat dan seimbang. Ramai wanita hilang selera terhadap makanan tertentu, tetapi makanan tersebut memang boleh digantikan dengan makanan lain yang mengandungi nilai-nilai nutrisi yang sama.

Pastikan diet anda merangkumi banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (sekurang-kurangnya lima hidangan sehari).

Sediakan hidangan makanan anda berasaskan karbohidrat seperti roti, pasta dan nasi (sebaik-baiknya jenis bijirin sempurna supaya anda mendapat serat pada kadar yang banyak).

Sertakan protein seperti ikan, daging, telur, kacang atau kekacang polong, dan sejumlah susu dan makanan tenusu, setiap hari.

Jangan mengabaikan sarapan pagi di samping mengawal saiz hidangan dan pemakanan snek di antara waktu makan.

#3. Berhati-hati tentang kebersihan makanan

Adalah lebih baik untuk mengelakkan makanan tertentu semasa hamil sebab ia membawa risiko kesihatan bagi bayi anda.

Jangkitan salmonella boleh berlaku disebabkan memakan daging ayam yang tidak dimasak sempurna dan telur mentah atau yang separa masak. 

Jadi pastikan semua makanan yang anda bakal makan dimasak dengan sempurna dan kalau boleh lebihkan makanan yang sihat untuk kesihatan kandungan.

Jika anda hamil, tahniah kami ucapkan!

Sumber

Flo (march 10, 2021). Gestational Age: How Do You Count Pregnancy Weeks? flo.health/pregnancy/week-by-week/gestational-age

 

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Tips Pilih Confinement Lady Supaya Tak Buat Ibu Pening Kepala Masa Berpantang Nanti!

Baca juga: Berat bayi pramatang tak naik-naik walaupun menyusu, apa ibu perlu buat?

Baca juga: Kelahiran Pramatang: Punca & Risiko Yang Boleh Terjadi Pada Bayi, Ini Panduan Penjagaan Yang Betul

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!