Pandemik Covid-19, Bilakah Ia Akan Berakhir Untuk Anda Menjalani Hidup Secara Normal?
Memasuki bulan kedua negara kita diarahkan untuk mematuhi arahan PKP, pastinya anda tertanya-tanya bila penularan penyakit Covid-19 ini akhir berakhir, kan?
Penularan penyakit misteri, Covid-19 di seluruh dunia telah memberikan impak yang dahsyat kepada semua aspek seperti ekonomi, politik dan perubahan gaya hidup. Pada hari ini, ia telah mencatatkan kes melebihi 3 juta pesakit dari setiap pelusuk negara.
Justeru, banyak negara sudah mengambil langkah segera dengan memastikan rakyat sentiasa duduk di rumah dan mengamalkan penjarakkan sosial bagi mengelakkan dijangkiti Covid-19.
Penularan penyakit Covid-19- Bilakah ia akan berakhir?
Tiada mana-mana pihak berani memberikan kepastian bilakah pandemik ini akan benar-benar berakhir. Namun, beberapa orang pakar telah mengemukakan beberapa potensi atau teori bagaimana penyebaran Coronavirus bakal berakhir. Antaranya ialah:
#1. Pembendungan secara geografi
Kebiasaannya, sebarang jenis wabak boleh dihentikan melalui beberapa langkah pembedungan iaitu mengehadkan jumlah kes dan mengenal pasti asal usul lokasi penyakit ini bermula.
Apabila anda tidak keluar atau masuk dalam kawasan yang memiliki risiko penularan penyakit, maka jangkitan kepada orang ramai dapat diminimumkan.
Sebelum wabak Covid-19 secara rasmi diisytiharkan sebagai pandemik, terdapat beberapa pendapat mengatakan ia kemungkinan dapat dibendung secara geografi.
Akan tetapi, kemungkinan ini mulai pudar apabila munculnya laporan bahawa masyarakat Eropah dan Amerika Utara telah menerima jangkitan lebih meluas sejak Februari kerana berlakunya pergerakan manusia ke sesuatu tempat.
#2. Virus mula kurang mengganas secara semulajadi
Terdapat potensi bahawa bilangan kes boleh diatasi secara semulajadi disebabkan oleh beberapa perkara. Virus Corona dan selesema lain dikatakan sangat sensitif apabila cuaca semakin panas.
Bukan itu sahaja, ia mungkin tidak dapat bertahan dengan baik dalam keadaan yang lebih lembap walaupun masih belum disahkan.
Bilangan kes mungkin berkurangan apabila virus ini mula berdepan kehabisan pesakit untuk mudah dijangkiti. Kejadian biasa yang terjadi pada virus influenza ialah kecenderungan virus patogenik menjadi kurang berbahaya selepas jangka masa tertentu. Adakah perkara sama boleh terjadi pada virus SARS-CoV-2 ini?
#3. Pandemik beralih kepada endemik
Menurut ahli epidologi dari Columbia University’s Mailman School of Public Health, Stephen Morse, ”Satu senario ialah kita sedang melalui pandemik. Kemudian bergantung apa yang dilakukan oleh virus itu, ia mungkin akan bermutasi sebagai masalah penyakit pernafasan biasa yang boleh mendatangkan kembali pada musim tertentu.”
Covid-19 ini mungkin menjadi sebuah kes di mana ia boleh menjadi patogen bermusim yang menyebabkan penyakit pneumonia. Satu-satunya patogen lain boleh dibandingkan dengan teori ini ialah influenza bermusim, iaitu ia boleh datang menyerang dari tahun ke tahun kecuali anda berjaya mencipta vaksin untuk menghalangnya.
#4. Berjaya menghasilkan vaksin
Perkara yang sukar dan memerlukan tempoh masa yang lama ialah mengetahui punca kewujudan virus dan mencipta vaksin.
Ia memerlukan pelbagai sumber dan mungkin menjadi tidak berguna untuk menangani penularan penyakit yang meningkat secara drastik.
Penghasilan vaksin ini pula tidak menyediakan seseorang dengan imuniti yang sepenuhnya. Sebagai contoh, 2 dos vaksin polio hanya berkesan untuk 90% sahaja dan 3 dos dikatakan 99% hingga 100% berkesan.
Tujuan utama ia dicipta adalah untuk mencegah wabak pada masa hadapan. Tahap keberkesanan ini bergantung kepada jenis vaksin tertentu dibangunkan dan pastinya keluaran vaksin yang pertama belum ada jaminan bahawa ia benar-benar berkesan.
#5. Gabungan ubat-ubatan dan rawatan lain
Sehingga kini setiap pesakit yang positif Covid-19 akan menerima rawatan mengikut simptom yang dialami oleh mereka.
Disebabkan oleh masih belum ada sebarang penawar khusus, maka gabungan ubat-ubatan sedia ada akan digunakan seperti ubat antiviral dari Jepun, ubat rawatan malaria dan ubat yang merawat tindak balas keradangan pernafasan.
Ia digunakan untuk membantu merawat pesakit, tetapi tiada jaminan bahawa benar-benar berkesan. Sekiranya diambil, ubatan ini berupaya menurunkan tahap bahaya penyakit orang yang dijangkiti dan mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan.
Umumnya, jika sistem kesihatan tidak menerima jumlah pesakit yang dimasukkan dalam unit jagaan rapi (ICU), mungkin kadar kematian adalah lebih rendah kerana para petugas perubatan dapat memberikan lebih perhatian dalam merawat setiap pesakit.
Kesimpulannya, apa yang berlaku dalam dunia realiti ini bergantung kepada pelbagai faktor. Pastinya agak sukar untuk menghasilkan senario bagi meramalkan dengan tepat perkara bakal terjadi pada masa akan datang.
Sumber: Free Malaysia Today
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: