Rupanya Ada Sebab Mengapa Doktor Suruh Cukur Bulu Sebelum Bersalin! Bukan Sengaja & Tanpa Sebab, Ya!

Cukur bulu sebelum bersalin tidak wajib ya. Ada doktor yang akan menyarankannya untuk memudahkan proses melahirkan bayi.

Cukur bulu sebelum bersalin? Perlu ke? Mungkin soalan-soalan ini sedang bermain di kepala seorang wanita yang baru pertama kali hamil. Mana tidaknya, kita masih tidak mengetahui apakah kepentingan dan kemudaratan jikalau tidak mencukur bulu kemaluan sebelum bersalin. Pertama kali pula tu.

Untuk pengetahuan umum, menjelang proses bersalin, ibu hamil akan diminta oleh doktor untuk cukur bulu sebelum bersalin. Pernah tak anda tertanya-tanya, kenapa persediaan sebelum bersalin ini amat penting?

Sebenarnya, mencukur bulu kemaluan semasa bersalin amat membantu ibu hamil itu sendiri. Ia akan memudahkan proses jahitan jika anda bersalin normal. Dan jika terdapat sebarang komplikasi semasa bersalin pula, jahitan mungkin sampai ke bahagian perineum.

Oleh itu, jahitan episiotomi juga akan lebih mudah dijalankan jika anda mencukur bulu kemaluan.  Ia juga untuk mencegah jangkitan.

Mengapa Perlu Cukur Bulu Sebelum Bersalin?

cukur bulu sebelum bersalin

Persoalan yang bermain di fikiran seorang ibu hamil adalah mengapakah mereka perlu cukur bulu sebelum bersalin? Jawapan yang paling tepat adalah ia dapat memberikan visualisasi yang baik untuk doktor ataupun bidan bahagian perineum.

Jika mereka perlu melakukan episiotomi, bahagian kemaluan ibu hamil sudah pun dicukur bersih dan akan menjadikan proses jahitan lebih mudah.

Untuk pengetahuan umum, doktor/pakar akan mencadangkan agar anda melakukan persediaan sebelum melahirkan anak ini setelah kandungan anak memasuki minggu ke 36. Dan ketika itu, ibu hamil boleh mula untuk cukur bulu sebelum bersalin, okay?

Antara kelebihan jika anda melakukan persediaan ini sebelum bersalin adalah seperti:

  • Mikrobakteria selalunya tumbuh subur di bulu kemaluan, dan ia berisiko dipindah ke bayi saat proses kehamilan. Jika anda mencukur bulu, risiko jangkitan akan lebih rendah.
  • Jika doktor terpaksa melakukan intervensi semasa proses bersalin, doktor akan lebih mudah memeriksa faraj anda jika ia bersih.
  • Mencukur bulu kemaluan juga akan mengurangkan peluh dan lembapan tambahan di organ intim anda.
  • Pendarahan selepas bersalin akan sukar untuk dibersihkan jika kemaluan anda lebat.

Manakala dalam bab penjagaan kebersihan pula, Islam tidak membenarkan kita menyimpan atau membiarkan bulu kemaluan terus tumbuh hingga panjang tanpa dibuang atau dicukur setelah lebih 40 hari. Justeru adalah wajib untuk kita mencukurnya sebelum 40 hari.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa: “Rasulullah S.A.W menjadualkan bagi kami paling lama empat puluh hari supaya tidak lupa menggunting kumis, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu-bulu kemaluan.” (HR. Muslim, Ibnu Majjah, Ahmad, Tirmidzi, Al-Nasai dan Abu Daud).

Malah, cukur bulu kemaluan atau merapikan bulu pada kemaluan lelaki juga amat digalakkan dalam Islam. Hukum mencukur bulu dianggap sebagai sunnah. 

Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Bukhori (5890) dan Muslim (261) oleh Ibnu Umar r.a berkata: “Diantara fitrahmu yang baik adalah mencukur bulu kemaluan, menggunting kuku dan merapikan kumismu.”

Perlukah Cukur Sampai Licin?

Mencukur sebelum melahirkan anak dipercayai akan meningkatkan risiko jangkitan terutamanya jika anda perlu melalui prosedur operasi seperti czer. Ini kerana pencukuran boleh mengakibatkan lecet mikro (micro-abrasions) pada permukaan kulit yang boleh menyebabkan jangkitan.

Malah, berdasarkan kajian pada tahun 2015 – risiko jangkitan akan berkurang untuk wanita hamil yang tidak mencukur bulu kemaluan, jika dibandingkan dengan mereka yang memilih untuk mencukur.

Bahkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak menggalakkan perbuatan mencukur bulu faraj atau perineum – bahagian di antara bukaan faraj dan dubur sebelum melahirkan anak.

Walau bagaimanapun, pengecualian akan diberikan untuk mereka yang perlu melalui prosedur pembedahan czer. Tapi, perlu diingatkan keputusan mencukur bulu kemaluan ini haruslah diserahkan 100% kepada wanita hamil itu sendiri, sama ada ingin mencukur sehingga licin ataupun di kawasan tertentu sahaja.

Dan, sebaiknya dilakukan di tempat yang selesa baginya, seperti di rumah.

Menurut Dayna Freedman, pakar perbidanan di Toronto, beliau menjelaskan bahawa mencukur bulu kemaluan sebelum bersalin adalah perkara biasa dan menjadi cadangan kerana beberapa hospital bersalin masih menjalankan prosedur ini.

Namun, masih menurut Dayna Freedman, kajian telah membuktikan bahawa mencukur bulu kemaluan sebelum sebarang prosedur pembedahan tidak mengurangkan risiko jangkitan, malah ia sebenarnya boleh meningkatkan jangkitan jika anda mencukur bulu kemaluan sebelum prosedur pembedahan.

Perkara yang sama turut ditulis dalam WHO Surgical Site infection Prevention Guidelines bahawa mencukur bulu kemaluan sebelum prosedur pembedahan seperti bersalin boleh meningkatkan risiko jangkitan jika anda tidak tahu cara mencukur bulu kemaluan dengan betul atau anda menggunakan alat yang tidak steril.

Jangkitan ini boleh disebabkan oleh trauma mikroskopik pada kulit.

Risiko Cukur Bulu Sebelum Bersalin

  • Bila tidak menjaga kebersihan saat mencukur, proses ini boleh mengakibatkan jangkitan pada kulit vagina. Lagi-lagi jika menggunakan alat pencukur yang kotor dan berkarat.
  • Bulu kemaluan yang bakal tumbuh nanti akan membuatkan bahagian itu terasa gatal dan tidak selesa.  
  • Berpotensi terjadinya liang pori bulu tersumbat (ingrown hair).

Malah, selain beberapa risiko di atas – mencukur bulu kemaluan ketika hamil adalah mustahil untuk dilakukan sendiri memandangkan perut yang membesar menghalang anda dari melihat vagina.

Ia seharusnya dibantu oleh suami atau jururawat yang menjaga anda nanti. Tapi lebih elok jika anda ke salun waxing untuk wax saja bahagian tersebut. Lebih mudah dan cepat, malah lebih bersih.

  •  

Risiko Tidak Cukur Bulu Sebelum Bersalin

cukur bulu sebelum bersalin

Perlu diketahui bahawa keputusan untuk mencukur bulu adalah hak peribadi dan bergantung kepada kebiasaan seseorang itu. Tiada risiko yang akan berlaku sekiranya anda tidak mencukur bulu sebelum bersalin. Kata putus berada di tangan anda, jangan tertekan, okay?

Jika anda masih ingin mencukur sebelum kelahiran bayi, ia adalah selamat tetapi perlu memastikan tiada luka yang terjadi. Paling selamat jika anda meminta bantuan pasangan anda untuk mencukur supaya boleh nampak dengan lebih jelas.

Tips Cukur Bulu

#1. Gunakan alat pencukur yang direka khas untuk wanita

Selalunya alat pencukur untuk wanita hadir dengan gel yang lebih untuk keselesaan kulit yang sensitif di bawah itu. Dan sebelum digunakan rendamkan sebentar dengan air panas. 

#2. Oleskan minyak atau perapi

Jangan gunakan sabun berbuih yang kesat! Anda perasan bukan bila setiap kali lepas mandi badan yang disabun akan meninggalkan rasa kesat seakan kulit bersih dicuci. Anda tak mahu ia berlaku pada bahagian bawah itu.

Jadi gunakan minyak esensi yang digunakan untuk badan atau perapi rambut yang mana akan meninggalkan kesan lembab pada kulit. Barulah selepas cukur tak rasa rengsa dan gatal!

#3. Oles losen selepas bercukur

Losen atau pelembab atau pun minyak esensi. Lumurkan sahaja, jangan kedekut. Lepas bercukur bahagian kulit itu akan lebih sensitif dan mudah kering. Jika selalu tidak dilembabkan bahagian itu mudah gatal dan bila tumbuh bulu nanti lagilah miang!

Sebenarnya bulu di bawah itu seeloknya tidak dicukur sehingga bersih, cukup sekadar trim sahaja. Ada sebabnya mengapa kita dilahirkan dengan bulu kemaluan bukan? Walau bagaimanapun untuk keputusan terbaik bincanglah dulu dengan doktor yang bakal menyambut kelahiran anak anda.

Semoga bermanfaat.

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Apa Itu Waxing & Adakah Ia Selamat Untuk Wanita Hamil?

Baca juga: Wajib Cukur Bulu Kemaluan Sebelum 40 Hari, Ini Perkara PENTING Suami Isteri Kena Tahu!

Baca juga: Mencukur Bulu Kemaluan Bila Tiba Waktu Nak Bersalin, Ini Yang Bakal Ibu WAJIB Tahu

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!