10 Resepi Ayam Yang Sedap & Mudah, Sesuai Untuk Hidangan Keluarga

Resepi ayam ini bukan sahaja mudah disediakan, malah menghasilkan hidangan yang penuh dengan rasa yang memikat sesuai untuk hidangan keluarga.

Mencari resepi ayam yang cepat, mudah dan sedap? Kami kongsikan 10 resepi ayam resepi Che Nom yang bukan sahaja menggoda selera, tetapi juga mudah disediakan.

Dari asam pedas ayam Johor hingga ayam panggang ala nandos, setiap hidangan berasaskan lauk ayam ini pasti memuaskan selera seisi keluarga. Jom cuba!

Resepi Ayam Yang Mudah & Lazat

Asam Pedas Ayam Johor

Hidangan tradisional Johor ini memikat dengan gabungan rasa pedas dan masam yang pekat. Ayam yang lembut direbus dalam kuah asam pedas tanpa halba atau rempah, berbeza dengan asam pedas Melaka.

Bahan-bahan:

  • 1 batang serai
  • 1 inci lengkuas
  • 1-2 ketul kunyit
  • 1 inci halia
  • 6 biji bawang merah kecil
  • 5 ulas bawang putih
  • 1/2- 1 kuntum bunga kantan
  • 1 biji tomato
  • 5 batang bendi
  • 1 ikat daun Kesum
  • 15-20 biji cili kering
  • Air pati asam jawa
  • 1/2 – 1 ekor ayam
  • 5 cwn minyak masak
  • Garam secukup rasa
  • 1 sk serbuk perasa
  • Air

Cara Penyediaan:

  1. Serai potong 2 dan ketuk.
  2. Hiris nipis lengkuas, halia, kunyit, bawang merah kecil dan bawang putih.
  3. Belah 2 bunga kantan dan tomato.
  4. Gunting cili kering dan rebus 5-8 minit.
  5. Rendam asam jawa dengan air panas dan ramas.
  6. Kisar halus bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, lengkuas, cili kering dan air.
  7. Panaskan minyak dan tumis serai
  8. Masuk bahan kisar halus dan air.
  9. Masak sampai pecah minyak. Ulang 3 kali tambah air dan masak sampai kering.
  10. Masukkan ayam dan sambung masak sampai ayam kecut.
  11. Masukkan bunga kantan, daun kesum, air asam jawa, garam, serbuk seasoning dan air untuk lebih berkuah.
  12. Reneh sampai ayam masak dan kuah pekat.
  13. Masuk tomato dan bendi.
  14. Kacau sekejap dan boleh tutup api.

Hiris lengkuas nipis untuk mudah hancur dan boleh tambahkan bunga kantan serta tambah air mengikut kepekatan ikut citarasa.

Ayam Masak Sos Tiram Thai

Hidangan ini menggabungkan cita rasa Thai dengan sos tiram yang manis dan sedikit pedas. Ayam yang dimasak sempurna menyerap sos tiram memberikan kelazatan unik yang memikat selera.

Bahan-bahan:

  • 1/2 ekor ayam
  • 1/2 sk serbuk kunyit
  • 1/2 sk garam
  • 1 sb kicap manis
  • 1 sb sos tiram
  • 1/2 cwn minyak masak
  • 8 ulas bawang putih
  • 3-4 tangkai cili merah besar
  • 6 tangkai cili padi
  • Daun ketumbar
  • 1 sb gula perang/gula Thai
  • 2 sb sos ikan
  • 3-4 helai daun limau purut
  • 2 sb sos tiram
  • Garam secukup rasa
  • Limau nipis

Cara Penyediaan:

  1. Potong kasar bawang putih, cili merah besar dan cili padi.
  2. Daun ketumbar asingkan batang dan daun. potong kasar.
  3. Gaul ayam dengan serbuk kunyit, garam, kicap manis dan sos tiram. Perap 10 minit.
  4. Kisar kasar bawang putih, akar daun ketumbar, cili padi, cili besar merah dan batang ketumbar.
  5. Panaskan minyak dan goreng ayam sampai masak.
  6. Dah masak boleh angkat dan ketepikan dulu.
  7. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar kasar.
  8. Masukkan gula perang/ gula thai, sos ikan, daun limau purut, sos tiram dan lebihan air perapan ayam tadi.
  9. Masak sampai pecah minyak dan pekat.
  10. Masuk ayam goreng dan gaul sekata. Masak sekejap biar kuah meresap ke dalam ayam.
  11. Akhir sekali perah dengan jus limau nipis dan tabir hirisan daun ketumbar.

Ayam Bawang Nasi Kandar

Menu klasik nasi kandar ini menampilkan resepi ayam yang dimasak bersama bawang dan rempah, menghasilkan rasa yang kaya dan beraroma.

Bahan-bahan:

Bahan kisar halus:

  • 1 biji bawang merah besar
  • 3 biji bawang merah kecil
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci halia

Bahan-bahan ayam goreng:

  • 1 kilo ayam
  • 2 sk garam
  • 2 sk serbuk kunyit

Bahan tambahan:

  • 3 biji bawang merah besar
  • Rempah 4 sekawan(1 kayu manis, 2 bunga lawang, 5 biji pelaga, 3 cengkih)
  • 1 helai daun pandan
  • 1 tangkai daun kari
  • 2 sb serbuk cili
  • 1 sb serbuk kari daging
  • 1 sk serbuk jintan manis
  • 1/2 sk serbuk jintan putih
  • 1/2 sb garam masala
  • 3 sb sos cili
  • 2 sb sos tomato
  • 2 sb sos tiram
  • 2-3 sb kicap manis
  • Sedikit air
  • Garam secukup rasa
  • 1/2-1 sb gula
  • Serbuk perasa
  • Daun ketumbar

Cara Memasak:

  1. Perap ayam dengan garam dan serbuk kunyit.
  2. Potong kasar bawang besar, bawang merah kecil, bawang putih dan halia.
  3. Kisar halus bahan potong kasar dengan sedikit air.
  4. Bawang merah besar, hiris nipis.
  5. Potong kasar daun ketumbar.
  6. Goreng bawang merah besar sampai perang. Kemudian angkat dan tos minyak.
  7. Goreng ayam sampai garing. Angkat dan ketepikan.
  8. Tumis rempah 4 sekawan dan daun pandan sampai naik bau.
  9. Masuk daun kari dan bahan kisar halus. Kacau sampai kering.
  10. Masukkan rempah garam masala, serbuk kari daging, serbuk cili, serbuk jintan manis dan serbuk jintan putih.
  11. Tambah air sikit beberapa kali dan tumis sampai rempah masak dan pecah minyak.
  12. Masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan kicap manis.
  13. Perasakan dengan gula dan garam.
  14. Masukkan ayam goreng dan bawang goreng (masukkan separuh dulu bawang goreng). Salut biar sekata.
  15. Boleh tutup api dan tabur lagi dengan bawang goreng dan daun ketumbar untuk hiasan.

Tomyam Ayam

Resepi ayam ini adalah hidangan berkuah yang penuh dengan rasa masam, pedas dan segar.

Bahan-bahan:

  • 4-5 cawan air
  • 4 ketul / 500g ayam
  • 2 batang serai
  • 2 inci lengkuas
  • 3-4 helai daun limau purut
  • 2 akar ketumbar
  • 1/2 ketul kiub ayam
  • 2-3 sb sos ikan
  • 3 sb pes tomyam
  • Sedikit garam
  • 1 senduk susu cair
  • 1/2 biji bawang holland
  • 4 tangkai cili kering
  • Kubis bunga
  • Tomato
  • Cendawan (jika suka)
  • 5-6 tangkai cili padi
  • Jus limau nipis
  • Daun ketumbar

Cara-cara:

  1. Potong 2 dan dan perah jus limau nipis atas penapis.
  2. Tomato belah 4.
  3. Kobis bunga potong kecil-kecil. Saiz ikut suka nak besar mana.
  4. Cendawan trim bahagian akar. Che Nom guna cendawan jenis shimeji.
  5. Untuk pes tom yam Che Nom selalu guna pes cili thai jenama mae pranom.
  6. Lengkuas hiris nipis, serai hiris menyerong.
  7. Bawang holland hiris kasar, daun limau purut carik dan buang tulang tengah.
  8. Daun ketumbar potong ambik akar, akar nanti kita akan guna untuk reneh kuah. Bahagian daun kita potong kasar untuk taburan nanti.
  9. Cili padi buang tangkai dan belah sikit dekat hujung.
  10. Ayam bahagian ketul besar, Che Nom potong kecil. Kalau untuk tomyam ayam, guna ayam bahagian ada tulang lagi sedap la.
  11. Cili kering, potong 2-3 kemudian bakar atas kuali tanpa minyak, nak bakar direct atas api pon boleh. Bila nampak kesan terbakar sikit boleh angkat dan ketepikan.
  12. Masuk air dalam periuk, tuang masuk lengkuas, serai, akar ketumbar dan daun limau purut.
  13. Kemudian didihkan selama 5 minit.
  14. Masukkan potongan ayam, kiub pati ayam, sos ikan dan pes cili thai
  15. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
  16. Bila kuah dah mereneh masukkan bawang holland, cili kering yang dibakar tadi, kobis bunga dan susu cair (atau santan / susu krim penuh).
  17. Masukkan cendawan, tomato dan cili padi.
  18. Sebelum tutup api, renjiskan jus limau nipis dan tabur daun ketumbar untuk tambah wangi.

Resepi Ayam Masak Butter

Hidangan ini menawarkan kelembutan ayam yang diliputi dengan kuah mentega yang kaya dan berkrim. Sesuai untuk mereka yang sukakan rasa lemak dan sedikit manis dalam setiap suapan.

Bahan-bahan:

Untuk ayam goreng:

  • 3 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu kecil tepung jagung
  • 1/2 sudu besar serbuk kari
  • 1/2 sudu kecil lada sulah
  • 1/2 sudu kecil lada hitam
  • 1 biji telur
  • Secubit garam
  • Sedikit air
  • 2 keping dada ayam, hiris kecil

Untuk kuah butter:

  • 60g /4 sudu besar mentega
  • 1/2 biji bawang holland atau bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 4 biji cili api merah dan hijau
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 tin /400ml susu cair atau susu full cream
  • 1 keping keju cheddar
  • Sedikit garam

Cara Penyediaan:

  • Potong isi ayam kepada ketulan kecil.
  • Gaul isi ayam dengan tepung gandum, serbuk lada putih, serbuk lada hitam, garam, serbuk kari, telur, tepung jagung dan sedikit air (adunan perlu pekat).
  • Gaul sampai isi ayam bersalut sebati.
  • Perap selama setengah jam (pilihan).
  • Panaskan minyak dan goreng ayam.
  • Kerap balik-balikkan ayam.
  • Angkat dan toskan minyak.
  • Goreng daun kari (untuk hiasan) sampai garing. Angkat dan toskan minyak.
  • Untuk kuah butter. Potong dadu bawang holland.
  • Cincang halus bawang putih.
  • Hiris halus cili padi.
  • Dalam kuali yang sama, tinggalkan anggaran 1 sudu besar minyak masak dan tambah mentega.
  • Masukkan bawang holland dan daun kari. Kacau sampai bawang layu.
  • Masukkan bawang putih dan cili padi. Kacau sampai bawang putih garing.
  • Masukkan cili padi, susu cair, garam dan kepinggan keju (pilihan) dan masak sampai keju cair.
  • Masukkan ayam dan kacau sampai ayam bersalut sebati.
  • Reneh kuah sampai mendidih untuk pekatkan sikit kuah.
  • Hidang bersama taburan daun kari dan hirisan cili padi.

Semasa menumis, masukkan bawang putih sedikit lambat selepas bawang besar kerana bawang putih mudah hangit.

Ayam Berempah

Resepi ayam berempah ini diperap dengan pelbagai rempah ratus sehingga meresap ke dalam daging, lalu digoreng hingga garing. Setiap gigitan memberikan ledakan rasa rempah yang memuaskan.

Bahan-bahan:

Bahan-bahan untuk kisar:

  • 6 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang merah kecil
  • 1 biji bawang besar
  • 2 inci halia
  • 5-6 batang serai
  • 1 inci lengkuas
  • Sedikit air

Bahan-bahan lain:

  • 2 sb biji ketumbar
  • 1 ekor ayam
  • 5 sb rempah kari
  • 1 sb serbuk cili
  • 1/2 sb serbuk kunyit
  • 1/2 sb serbuk jintan manis
  • 2-3 sk garam
  • 1 sb sos tiram
  • Daun kari
  • 2-3 sb tepung beras
  • 2 sk serbuk perasa

Cara Penyediaan:

  1. Cincang kasar bawang putih, bawang merah kecil, bawang besar, halia dan lengkuas (pilihan).
  2. Serai trim buang bahagian keras dan buang lapisan kulit luar yang layu atau kering. Potong serai anggaran 2-3 cm.
  3. Masukkan kesemua bahan potong tadi dalam blender. Tambah sedikit air dan kisar halus.
  4. Tumbuk kasar biji ketumbar (kalau nak kisar sekali dengan bahan potong tadi atau guna serbuk ketumbar pon boleh tapi Che Nom guna yang biji sebab nak texture kasar-kasar sikit).
  5. Untuk ayam, bahagian paha kelar sikit sebab bahagian ni lambat masak takut berdarah lagi bila goreng nanti.
  6. Perap ayam dengan rempah kari, serbuk cili (boleh ganti cili kisar), serbuk kunyit, serbuk jintan manis, garam, sos tiram, biji ketumbar, serbuk seasoning, daun kari dan bahan kisar halus.
  7. Gaul sebati kesemua bahan.
  8. Tambah sedikit tepung beras (tips untuk bahan perapan melekat lebih elok) dan sedikit air. Sambung gaul.
  9. Dah siap gaul boleh tutup dan perap minimum 1/2 jam, lagi lama lagi baik seelok-eloknya semalaman.
  10. Panaskan minyak dan goreng ayam.
  11. Bila ayam dah garing boleh angkat dan toskan minyak.
  12. Kaup keluar rempah yang mendap dalam kuali sebelum goreng ayam batch kedua.
  13. Ulang goreng ayam sampai habis.
  14. Goreng daun kari dan baki rempah perapan sebagai hiasan.

Ayam Cili Padi

Untuk penggemar pedas, resepi ayam cili padi menawarkan rasa pedas yang memukau. Makan dengan nasi putih panas-panas memang sedap.

Bahan-bahan:

  • 1/2 ekor ayam
  • 1 biji kentang
  • Sedikit garam
  • 1/2 sb serbuk kunyit
  • 20-25 tangkai cili padi
  • 1 biji bawang besar
  • 6 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 2 biji tomato
  • 1 sb sos tiram
  • 3-4 helai daun limau purut
  • 1 biji bawang holland

Cara Penyediaan:

  1. Buang tangkai cili padi dan potong kasar,
  2. Potong kasar bawang putih dan bawang besar.
  3. Masukkan cili padi, bawang putih dan bawang besar dalam chopper dan kisar kasar.
  4. Potong kasar tomato. Kalau tomato kecil boleh letak 2 biji tomato.
  5. Kentang potong memanjang ala wedges.
  6. Bawang holland potong membulat. Kalau nak ganti dengan bawang Bombay pon boleh.
  7. Serai trim hujung (atas dan bawah) dan titik atau tumbuk kasar.
  8. Ayam potong kecil, kalau seekor boleh potong 16 bahagian. Gaul ayam dengan garam dan serbuk kunyit.
  9. Gaul kentang dengan sedikit garam.
  10. Panaskan minyak dan goreng kentang. Bila dah perang kedua-dua belah boleh angkat dan toskan minyak.
  11. Dalam minyak yang sama goreng pulak ayam sampai ¾ masak (kalau nak masak kesemuanya pon boleh tapi ayam akan keras la sikit). Bila dah masak boleh angkat dan ketepikan.
  12. Keluarkan sedikit minyak, tinggal anggaran 2 senduk.
  13. Tumis bahan kisar kasar sampai lembut. Kacau sebati.
  14. Masukkan serai dan kacau sampai bawang layu.
  15. Masukkan hirisan tomato dan terus kacau sampai tomato lembut dan sedikit hancur.
  16. Untuk penambah rasa masukkan sos tiram dan serbuk perasa kemudian kacau sebati
  17. Masukkan kesemua ayam goreng dan gaul sebati.
  18. Masukkan sedikit air untuk lebih berkuah. Kacau sebati dan biarkan kuah reneh sekejap
  19. Masukkan kentang goreng dan daun limau purut. Gaul sebati.
  20. Masukkan cili padi dan hirisan bawang holland. Masak sekejap, sekadar lembut bawang holland.
  21. Tutup api dah sedia untuk dihidang.

Sup Ayam Simple

Resepi sup ayam simple ini seringkali dianggap ‘confort food’ dengan ayam yang dimasak dalam sup yang jernih dan ringan. Sesuai untuk hidangan harian yang mudah dan menyelerakan.

Bahan-bahan:

  • 3 biji bawang merah kecil
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 3 sb minyak masak
  • Sup bunjut
  • 1/2 ekor ayam
  • 1/2 sb serbuk lada sulah atau lada hitam
  • Air secukupnya
  • 1/2-1 batang lobak merah
  • 2 biji kentang
  • Daun sup
  • 1/2 kiub pati ayam
  • Garam secukup rasa

Cara Penyediaan:

  1. Potong kasar bawang merah kecil, bawang putih dan halia. Kemudian tumbuk halus
  2. Potong lobak merah dan kentang. Kemudain rendam dalam air.
  3. Potong daun sup dan asingkan batang dan daun.
  4. Panaskan minyak masak dan tumis bahan tumbuk halus sampai naik bau.
  5. Masukkan sup bunjut dan ayam. Tutup kuali dan masak sampai ayam kecut dan sedikit perang.
  6. Masukkan batang daun sup, serbuk lada sulah ataupun lada hitam. Kacau sebati.
  7. Masukkan air (agak-agak tenggelam ayam atau lebihkan kalau nak lebih kuah).
  8. Boleh masukkan kentang dan lobak merah, kemudian masak sampai ayam dan kentang masak.
  9. Masukkan kiub pati ayam dan garam.
  10. Tabur hirisan daun sup dan bawang goreng.

Resepi Ayam Goreng Kunyit

Ayam goreng kunyit adalah hidangan ringkas tetapi memikat dengan ayam yang digoreng rangup bersama kunyit. Rasanya yang sedikit pedas dan beraroma kunyit pasti menambah selera.

Bahan-bahan:

  • 500g isi ayam
  • 2-3 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu besar serbuk kari
  • ½ sudu besar serbuk ketumbar
  • ½ sudu besar serbuk seasoning
  • 2 sudu besar tepung beras
  • Sedikit air
  • ½ batang lobak merah
  • 3 batang kacang panjang
  • ½ biji bawang holland
  • Bunga kubis
  • 1 tangkai cili merah
  • 1 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih

Bahan-bahan dihidang bersama:

  • Telur goreng
  • Kicap

Cara Penyediaan:

  1. Tumbuk halus bawang merah dan bawang putih.
  2. Gaul potongan isi ayam bersama kunyit, garam, serbuk kari daging, serbuk ketumbar, serbuk seasoning, tepung beras, bawang tumbuk dan sedikit air. Gaul sebati kesemua bahan.
  3. Perap ayam seketika.
  4. Panaskan minyak, lalu goreng ayam perapan. Kerapkan kacau ayam sehingga agak garing.
  5. Masukkan potongan sayur dan cili sehingga layu.
  6. Angkat gorengan ayam kunyit dan toskan minyak.
  7. Kemudian, ayam goreng kunyit siap untuk dihidang bersama sambal belacan, telur goreng, nasi putih panas dan kicap.

Cara-cara untuk sambal belacan:

Kisar kasar bawang putih, bawang holland, cili padi, cili merah, limau kasturi, tomato (pilihan), air asam jawa, belacan bakar, garam dan gula.

Resepi Ayam Panggang Ala Nandos

Dengan kulit yang garing di luar dan isi yang lembut di dalam, setiap suapan membawa pengalaman rasa yang seperti di restoran tapi boleh dinikmati di rumah.

Bahan-bahan:

Bahan-bahan ayam panggang:

  • 1 ekor ayam, anggaran berat 1.7-1.8kg
  • 2 sb serbuk smoked paprika
  • 1/2 sb serbuk thyme atau rosemary kering
  • 1/2 sb serbuk cayenne
  • 1/2 sb serbuk parsley kering (pilihan)
  • 1 sk serbuk lada hitam
  • 4 sb minyak zaitun extra virgin
  • 2 sk garam
  • 1 sb serbuk pati ayam
  • 2 sb jus lemon

Bahan-bahan sayur panggang:

  • Minyak zaitun extra virgin
  • Brokoli
  • Lobak merah
  • Lada benggala
  • Bawang holland
  • Bawang putih
  • Cendawan butang
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Sedikit garam

Bahan-bahan gravy:

  • 1 sb mentega
  • 1 sb tepung gandum
  • Kuah ayam panggang
  • 1/2 cwn air (tambah sikit-sikit)

Cara-cara:

  1. Basuh bersih ayam, trim lebihan lemak atau kulit dan lap kering dengan tisu dapur.
  2. Bancuh rempah untuk perapan ayam, smoked paprika, serbuk thyme (atau rosmary kering), serbuk cayenne serbuk black pepper, minyak zaitun extra virgin, lemon, garam dan serbuk pati ayam.
  3. Gaul bahan bahan perapan tadi sekeliling ayam.
  4. Perap dalam peti sejuk 2 jam atau semalaman.
  5. Untuk bakar Che Nom guna cooling rack dan lapik dengan aluminium foil, kemudian tebuk lubang untuk air ayam panggang dripping kebawah.
  6. Susun ayam atas tray, letak ayam bahagian kulit sebelah kebawah kemudian bakar selama 50 minit suhu 220 °C.
  7. Kemudian terbalikkan pulak ayam (side kulit pulak bahagian atas) kemudian sambung bakar sampai ayam masak perang.
  8. Untuk sayur. Potong brokoli, carrot, capsicum, bawang holland dan cendawan butang.
  9. Cincang halus bawang putih.
  10. Panaskan sikit minyak zaitun kemudian masak brokoli, carrot dan capsicum. Masak sampai nampak grill mark.
  11. Kemudian masukan bawang holland, cendawan dan bawang putih. Boleh tambah olive oil kalau kering.
  12. Bila semua dah layu bolehlah angkat.
  13. Drizzle sikit lagi dengan olive oil, serbuk black pepper dan garam.
  14. Untuk membuat gravy sauce. Keluarkan air dripping dari ayam bakar.
  15. Panaskan butter dan tumis tepung gandum.
  16. Bila dah sebati dan jadi pes, boleh tuang masuk air dripping ayam tadi dan sedikit air untuk kuah.
  17. Siap!

Selamat mencuba!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 8 Resepi Sambal Yang Mudah & Cukup Menyelerakan, Belum Cuba Lagi Dah Kecur Air Liur!

Baca juga: Resepi Berasaskan Ikan Yang Mudah & Lazat, Ibu Jom Cuba Pasti Anak Akan Suka!

Baca juga: Perlu Idea Untuk Menu Menjamu Tetamu Raya Ini? Boleh Cuba Resepi Laksa Yang Pelbagai Variasi Ini

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!