Ibu ini tak sangka saluran susu tersumbat sebenarnya kanser payudara tahap 4!
Ibu ini menyangka saluran susu ibu tersumbat yang dihadapinya hanya perkara biasa. Beliau tak sangka ia sebenarnya kanser payudara tahap 4!
Ibu yang bernama Clara ini tidak menyangka saluran susu ibu tersumbat yang beliau hadapi itu sebenarnya ialah kanser payudara tahap 4. Beliau mula perasan ada benjolan di payudaranya tahun lepas.
“Saya ingat ia hanyalah saluran susu ibu tersumbat yang selalu terjadi… Tapi, benjolan itu tak hilang. Dan sakitnya tak boleh diucap dengan kata-kata!”
Saluran susu ibu tersumbat atau kanser payudara?
Oleh sebab beliau menyangka payudaranya yang membengkak itu akibat saluran susu ibu tersumbat, maka beliau hanya membiarkannya saja. Lagipun, keadaan baik-baik saja.
Clara dan suaminya, Daniel Cheong membuka kelas tuisyen bersama-sama di Kuching, Sarawak. Mereka memiliki seorang anak perempuan bernama Natalie yang berusia 2 tahun.
Ketika disoal sama ada beliau tidak pernah mengesyaki ke yang saluran susu ibu tersumbat itu mungkin ada sebab yang lain, Clara menundukkan mukanya.
Menurut Clara, kedua-dua bidan yang menjaganya selepas bersalin, dan pakar gynaecologist mengatakan yang bengkak itu hanyalah bengkak biasa. Ia disebabkan oleh proses menyusu.
“Saya percaya kata-kata mereka. Malah, lama-kelamaan, sakit itu pun hilang. Jadi, saya tak fikir apa-apa lagi…”
Tapi semuanya mula bertukar menjadi mimpi ngeri pada bulan Mac lalu. Clara mendedahkan –
“Tiba-tiba benjolan di payudara saya itu jadi lebih besar. Payudara saya membengkak dan saya dapat sakit belakang. Jadi saya kembali ke pakar gynaecologist yang lain.
Dia menasihatkan saya untuk melakukan biopsi. Saya pun melalui biopsi, imbasan ultrasound dan imbasan CT.”
Saluran susu ibu tersumbat itu sebenarnya kanser payudara tahap 4!
Pada hari yang mendukacitakan itu, anak Clara baru berusia 1 tahun 9 bulan. Clara masih memberinya susu ibu sebelum keputusan perubatannya keluar.
Ketika itulah impian Clara untuk menyusukan anaknya tamat, hancur berkecai. Selepas keputusan perubatannya keluar, Clara disahkan menghidap kanser payudara tahap 4!
Kanser itu juga telah merebak ke tulang, hati dan paru-paru.
“Terlalu banyak pilihan rawatan yang mereka ingin saya pilih. Ada rawatan perubatan sains, terapi semula jadi, ubat-ubatan tradisional Cina dan macam-macam lagi. Tapi oleh sebab saya ingin cepat sembuh, saya memilih kemoterapi dan terapi bersasar. Saya juga menjaga makan minum saya kini.”
Apa yang menyedihkan bagi ibu ini ialah beliau terpaksa berhenti menyusu anaknya selepas diagnosis itu. Nasiblah anaknya seakan-akan faham dengan penderitaan si ibu.
“Saya terangkan padanya tentang keadaan payudara saya dalam perkataan yang mudah dan dia faham. Dia seorang anak yang sangat memahami. Anak saya tidak lagi meminta susu badan dari saya. Sebaliknya, dia selalu menenang dan memujuk saya.”
Bertuah Clara kerana memiliki keluarga dan anak yang memahami. Ahli keluarga, sahabat handai dan saudara-mara Clara juga terkejut ketika awal-awal menerima perkhabaran ini.
Mereka sukar untuk percaya kerana Clara nampak sihat saja sebelum ini! Namun selepas semuanya terbongkar, mereka memberi sokongan padu kepada Clara.
Clara kini ingin memberikan amaran kepada semua ibu-ibu yang menyusu di luar sana…
“Jangan pandang ringan jika anda ada benjolan di payudara. Walaupun ketika anda menyusu. Malah, jangan buat tidak tahu jika anda mengalami kesakitan atau perubahan badan!”
Terima kasih Clara atas amaran itu dan sudi berkongsi cerita dengan kami. Kami di theAsianparent Malaysia mengharapkan agar Clara cepat sembuh dan kembali seperti sediakala.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber rujukan: theAsianparent Singapore
Baca juga:
Alamak Saluran Susu Badan Tersumbat? Usah Risau, Ikuti Tips Berkesan Ini!