10 Tips Untuk Ibu Dengan Saluran Susu Badan Yang Tersumbat

Jika saluran susu badan anda tersumbat dan payudara ibu menyusu membengkak, ini 10 tips berguna untuk membantu anda. Moga anda dapat melegakannya!
Saluran susu tersumbat
Adakah anda salah seorang ibu yang sering mengalami masalah saluran susu tersumbat?
Dulu, saya juga macam tu. Mula-mula saya rasa sakit pada payudara. Bengkak pun ada, dan nampak merah pula – sakitnya!
Apabila masih ibu baru, puas cari tips di internet dengan harapan untuk melegakan rasa sakit itu.
Anda tahu kan kalau tidak diberi perhatian, saluran susu tersumbat boleh bertambah teruk dan menjadi mastitis.
Tapi sekarang saya dah pandai selepas menyusukan kedua-dua anak sehingga mereka berusia 2.5 tahun.
Di bawah, saya akan kongsi 10 tips yang boleh merawat saluran susu ibu tersumbat. Semoga ia akan membantu semua ibu-ibu menyusu mendapat kelegaan.
#1. Tuam panas

Sumber gambar : LadycareHealth
Guna tuam panas pada kawasan yang sakit atau bengkak selama 15 minit.
Satu tip untuk melakukannya dengan cepat adalah dengan memanaskan kain lembap dalam microwave sebelum anda menggunakannya.
Ataupun ibu-ibu juga boleh beli “hand warmer packs” yang selalu digunakan untuk memanaskan tangan ketika melancong semasa musim sejuk. Ia ada dijual di kedai Daiso dan di sini.
#2. Urut
Walaupun sakit, ibu-ibu kena tahan juga ya.
Urut bahagian yang bengkak ketika anak sedang menyusu. Mudah-mudahan bengkak itu akan reda. Ibu-ibu boleh baca di sini tentang bagaimana cara urut untuk menambah dan melancarkan susu.
#3. Mandi
Apabila mandi, naikkan suhu air sampai ke tahap yang ibu dapat tahan.
Halakan air ke kawasan di mana saluran susu tersumbat itu.
Saya mendapati ia lebih berkesan jika dilakukan sambil mengurut bahagian yang bengkak. Kemudian, cepat-cepat pam atau menyusu dengan segera.
#4. Perah pakai tangan/marmet
Anda juga boleh perah susu dengan menggunakan tangan apabila selesai menggunakan air panas untuk melancarkan saluran susu yang tersumbat dalam bilik mandi tadi.
Kalau anda tidak tahu marmet itu apa, mari tonton video teknik marmet milik DR NURHAYA LACTATION CENTRE.
#5. Periksa jika ada lepuh susu/bendalir yang sekat saluran
Bendalir yang menyebabkan saluran susu ibu tersumbat adalah susu yang telah beku atau jadi keras seperti gam kering.
Cuba tengok kalau puting anda ada titik putih kecil. Ia mungkin nampak macam jerawat yang sudah masak (ewww).
Ibu-ibu boleh cuba gesel dan pecahkan lepuh susu itu dengan menggunakan kain bersih semasa mandi.
Kalau nak korek pakai kuku, pastikan tangan anda bersih.
Saya ada pengakuan: Saya cucuk dengan jarum bersih dan yang telah dicelup dalam air didih untuk membuang kuman.
Tapi ibu-ibu jangan ikut cara saya tau, nanti susah kalau mendapat jangkitan kerana menggunakan jarum yang tidak bersih.
Jika ibu-ibu selalu mengalami lepuh susu, urut dan menyusu seribu kali pun takkan baik sehingga lepuh itu pecah dan saluran itu kembali lancar. Rujuk doktor jika ini sering berlaku kepada anda.
#6. Tukar bra anda
Payudara anda telah mengalami banyak perubahan semasa hamil dan apabila menyusu.
Apabila anda memakai bra yang terlalu ketat, berdawai, atau dengan cara yang salah, ini boleh menyebabkan saluran susu ibu tersumbat.
Psttt.. tak payah beli yang mahal-mahal ya, sports bra pun sudah cukup!
#7. Semak cara anak melekap pada puting payudara
Semak cara anak (atau pam payudara) melekap pada puting payudara anda.
Adakah latching itu baik? Ada ibu-ibu beri petua untuk menyusukan anak dari atas supaya graviti boleh tolong melancarkan susu.
Tapi jika ini akan menghalang anak dari melekap dengan baik pada payudara ibu, maka usaha ini sia-sia sahaja. Yang paling penting, anak mesti melekap dengan baik pada payudara ibu.

Sumber: Flickr | Mothering Touch
#8. Menyusu dengan lebih kerap
Jika ibu kerap menyusu, peluang anak untuk melancarkan susu adalah lebih tinggi.
Jadi ajak anak menyusu sekerap mungkin. Anak yang menyusu lebih berkesan dari semua pam di pasaran.
#9. Vitamin sampingan
Jika ibu selalu mengalami lepuh susu dan saluran susu ibu sering tersumbat, Kelly Mom menyarankan ibu mengambil vitamin sampingan bernama Lecithin yang boleh dibeli di farmasi.
Sebelum mengambilnya, tanya pendapat doktor anda dulu.
Lecithin boleh membantu susu ibu supaya ia tidak membeku atau mengeras seperti gam kering dan menyekat saluran susu.
Doktor dan pakar laktasi bersetuju Lecithin selamat dimakan oleh ibu menyusu dan ibu-ibu boleh mula dengan 3-4 kapsul sehari (3,600-4,800 mg).
Ibu-ibu boleh kurangkan dosnya apabila kekerapan saluran susu tersumbat berkurang.
#10. Rileks
Ibu-ibu jangan terlalu stress, kerana ini juga boleh menyumbang kepada saluran susu ibu tersumbat.
Cuba cari jalan untuk rileks, minta ME Time dari suami, biarpun 5 minit dalam tandas pun sudah cukup bagus. Tenangkan diri sebelum menyusukan anak, semoga keadaan ibu akan bertambah baik.
Sumber: TenThousandHourMama
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Ibu ini tak sangka saluran susu tersumbat sebenarnya kanser payudara tahap 4!
Susu badan anda tersumbat? Amalkan 5 rawatan semula jadi ini untuk pulih
Keluar Keputihan Lepas Hubungan Kelamin, Adakah Ia Normal @ Bahaya Pada Vagina?
Doktor Pediatrik Ini Kongsikan Cara Merangsang Anak Kecil Mula Bercakap, Jom Cuba Parents!