Seksa Sembelit Dalam Pantang! Apa Nak Buat Jika Takut Hendak Membuang Selepas Bersalin?

Masalah sembelit boleh jadi lebih merisaukan selepas bersalin sebab ibu pasti risaukan jahitan terbuka, tambahan lagi ibu masih rasa pedih di bahagian tersebut!

Masalah sembelit selepas bersalin kerap dihadapi oleh ramai wanita selepas melahirkan anak. Sudahlah sembelit, tambah pula dengan jahitan yang masih belum sembut membuatkan sesetengah ibu yang sanggup tak membuang air besar beberapa hari terawal selepas bersalin.

Kalau tanya pada ibu-ibu yang pernah mengalami sembelit dalam pantang, mesti ramai yang cakap terpaksa duduk lama dalam tandas, sampaikan 1-2 jam!

Jadi mereka usaha dengan ambil makanan yang kaya serat atau beli ubat dari farmasi tanpa mendapatkan nasihat doktor.

Mengapa Sembelit Selepas Bersalin Terjadi?

sembelit dalam pantang

Wanita yang baru melahirkan anak, kerap mengalami masalah sembelit untuk beberapa hari. Selalunya ketika masih berada di hospital, doktor akan memberikan enema bagi mengurangkan masalah ini.

Enema adalah bahan selalunya berbentuk cecair yang dimasukkan ke dalam rectum (usus besar) untuk mengeluarkan najis.

Jika semasa proses melahirkan anak, seorang wanita diberikan ubat tahan sakit atau suntikan bius pada tulang belakang, usus akan berfungsi dengan lebih perlahan dan ini menyebabkan lebih mudah mendapat masalah sembelit. 

Begitu juga jika mengambil pil zat besi (untuk menambahkan sel-sel darah merah) semasa hamil, ia boleh menyebabkan sembelit untuk beberapa lama. Koyakan yang teruk semasa melahirkan anak juga menyebabkan masalah ini.
 
Ini kerana selalunya koyakan berlaku pada kawasan yang dinamakan perineum yang berada di antara faraj dan dubur.

Semasa kepala bayi keluar dari saluran peranakan, kawasan ini meregang atau digunting atau mengalami koyakan secara tidak sengaja. Ini menyebabkan saraf-saraf di situ menjadi kebas dan akhirnya menyebabkan wanita yang baru melahirkan anak tidak berasa untuk membuang air besar.

Apabila saraf-saraf di dalam kawasan perineum mulai sembuh, kita akan mula berasa lebih sakit ketika membuang air besar. Namun kawasan ini menjadi bengkak dan merah, mungkin bermakna jangkitan kuman. Perlu mendapat pemeriksaan doktor.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan rasa takut berasa sakit apabila membuang air besar.

Ketakutan ini akan menyebabkan otot-otot di sekeliling lubang dubur (anus) menjadi lebih ketat dan sukar bagi najis untuk keluar. Begitu juga jika ada perasaan takut ‘jahitan akan terbuka jika membuang air besar’.

10 Tips Melegakan Masalah Sembelit Dalam Pantang

sembelit selepas bersalin

Saya mencadangkan beberapa cara untuk melegakan masalah ini.

1# Selalunya doktor akan memberikan ubat julap atau pelembut najis

Dicadangkan pengambilan satu atau dia sudu tiga kali sehari minyak zaitun atau minyak kelapa dara bagi memudahkan najis yang keras untuk keluar.

2# Minum air secukupnya

Secara amnya bagi wanita yang baru melahirkan anak, mereka memerlukan lebih banyak air dari sumber makanan dan minuman. Mereka mudah mengalami dehidrasi kerana kebanyakan air digunakan sebagai sumber susu ibu.

Secara amnya saya mencadangkan paling kurang 3L air kosong setiap hari untuk meredakan dan mengelakkan masalah sembelit.

3# Ambil sumber serat

Serat ini daripada sayur-sayuran, beras tinggi serat seperti beras perang atau beras rebus dan buah-buahan.

Tinggalkan beras putih kerana ia tidak memberikan serat yang mencukupi.

Meneran untuk memaksa najis keluar tidak akan membantu melegakan sembelit, dan mungkin menyebabkan kesakitan. Ia juga boleh menyebabkan terjadinya buasir.

4# Banyakkan pergerakan

sembelit dalam pantang

Kredit: The Jakarta Post

Terutama berjalan di sekeliling katil untuk menguruskan keperluan diri seperti membasuh muka, menggosok gigi dan membersihkan diri. Pergerakan fizikal akan merangsangkan pergerakan usus besar dalam abdomen dan ini mengelakkan sembelit yang berpanjangan.

5# Tukar posisi lutut

Bagi mereka yang masih tidak selesa menggunakan tandas cangkung, saya mencadangkan agar duduk di tandas duduk tetapi memastikan posisi lutut lebih tinggi daripada paha.

Ia boleh dilakukan dengan meletakkan kaki di atas bangku yang rendah di hadapan tandas duduk ini. Ini akan menyebabkan posisi lutut akan menjadi lebih tinggi.

6# Keraskan otot

Ketika duduk di tandas, boleh cuba keraskan otot-otot perut secara perlahan-lahan. Jangan paksa. Ia boleh menyebabkan rasa sakit terutama bagi wanita yang menjalani pembedahan caesarean.

Cuba keraskan otot-otot perut perlahan-lahan bagi merangsangkan pergerakan usus dalam abdomen.

7# Urut otot perut

Cara lain untuk menggalakkan pergerakan usus perut agar najis mudah dikeluarkan ialah dengan cara mengurut otot perut semasa berada di tandas.

Ia boleh dilakukan oleh wanita yang tidak menjalani pembedahan Caesarean kerana ada luka pada bahagian abdomen.

Caranya ialah dengan meletakkan tangan pada bahagian abdomen. Tarik otot perut ke bahagian dalam. Tarik otot perut bahagian atas dan bawah ke bahagian tengah. Tarik otot perut di bahagian sisi (kanan dan kiri) ke bahagian tengah. Teknik ini dinamakan “menyangga”.

Selepas itu cuba ‘mencungkil’ empat bahagian otot perut ke luar. Tekan dan cungkil otot-otot ini satu persatu. Ia membantu merangsangkan pergerakan usus besar ketika berada di tandas. Teknik ini dinamakan “membonjol”.

Lakukan sekurang-kurang 10 kali Teknik sangga dan bonjol dan kemudian akhiri dengan satu teknik bonjol yang panjang, berlangsung lebih kurang tiga hingga lima saat.

8# Minum air kosong

sembelit selepas bersalin

Jika tidak berjaya, jangan paksa atau meneran. Keluar dari bilik air. Cuba minum segelas air kosong atau jus buah-buahan selepas melakukan teknik mengurut tadi. Ia membantu untuk lebih mudah mengeluarkan najis.

9# Elak baring atau duduk

Selepas makan atau minum, jangan duduk atau berbaring. Sebaliknya, pergilah berjalan-jalan. Ini membantu merangsangkan pergerakan usus besar.

10# Dapatkan rawatan pakar

Jika kaedah-kaedah ini tidak membantu dan masih mengalami masalah sembelit selama tiga hari, saya mencadangkan pergi berjumpa doktor. Doktor akan memberikan ubat julap (contohnya dulcolax) yang memaksa pergerakan usus dan memudahkan membuang air besar.

Ia selamat diambil untuk kegunaan jangka pendek. Kesan sampingan yang biasa berlaku ialah menyebabkan perut rasa memulas.

Jangan beli ubatan ini terus dari farmasi kerana berkemungkinan masalah sembelit ini disebabkan oleh masalah yang lebih besar.

Oleh itu pemeriksaan doktor sangat penting. Pembelian ubatan di farmasi selalunya boleh dilakukan selepas mendapat preskripsi doktor.

Semoga berjaya.

Rujukan: Bannister T. 2009. Physical Therapy Management of Pelvic Floor Dyssynergia, Journal of Women’s Health Physical Therapy 33(3):6-21

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Apa Itu Bentan Ketika Pantang? Ini Tanda-Tanda PENTING Ibu Baru Perlu Peka

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!