Suami Malas Kerja, Curi Duit Anak Sampai Isteri Tertekan Kena Tanggung 'Biawak Hidup'!
"Aku tidak menggalakkan penceraian. Namun kadang-kadang melepaskan itu lebih membahagiakan."
Dikurniakan pasangan yang faham tanggungjawab khususnya suami yang tidak culas memberi nafkah kepada isteri merupakan idaman setiap wanita. Tetapi tidak semua wanita mempunyai nasib yang baik, apatah lagi bila si suami malas bekerja.
Dalam rumahtangga, seorang suami merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab memberikan nafkah buat isteri dan anak-anak. Nafkah yang dimaksudkan adalah pakaian, tempat tinggal, makanan dan minuman serta keperluan batin si isteri.
Suami Malas Bekerja, Jadi ‘Biawak Hidup’ Ditanggung Isteri
Namun malangnya, dalam sesetengah institusi rumah tangga ada suami yang mengabaikan tanggungjawab, bersikap lupa diri sehinggakan membiarkan isteri yang menjalankan tugas suami.
Mohd Fadli Salleh berkongsi di akaun Facebooknya mengenai kisah seorang isteri yang runsing dengan suaminya yang seolah-olah biawak hidup dalam rumahtangga. Sudahlah suami malas bekerja, isteri perlu tanggung pula perbelanjaan suami dan anak-anak sampaikan banyak hutang tertunggak!
Menurut wanita tersebut, suaminya sudah lama tidak bekerja dan sudah lama tidak memberikan wang kepada mereka sekeluarga. Malah dia sering mencari pekerjaan buat lelaki tersebut, tetapi suaminya tidak mampu bekerja lama pun kerana kerap terlibat dengan pergaduhan.
Bila bergaduh suami isteri, dipukulnya pula sampai lebam-lebam tubuh! Betapa dayusnya suami sampai sanggup melakukkan sedemikian terhadap wanita yang selama ni bertahan dengan sikapnya.
Apa perasaan anak-anak apabila mendapati tabung mereka dipecahkan dan dibuang ke dalam tong sampah? Perkara sebegini boleh memberi kesan kepada emosi si anak kelak, malah boleh menimbulkan tanggapan negatif buat si bapa.
Seperti Lelaki Yang Tidak Bermaruah
Menurut Fadli, tindakan si suami yang hanya mengharapkan pemberian isteri merupakan sikap tidak bermaruah dan memalukan kaum lelaki. Si isteri pula bukannya memiliki kerjaya dengan gaji yang besar, apatah lagi untuk menanggung suami dan anak-anak.
Kalau terdesak sekalipun, pinjam duit isteri pun tak sanggup. Kalau nak diikutkan, setahun itu tempoh yang sangat lama kalau nak biarkan seorang wanita menggalas tanggungjawab seorang suami!
Tidak semua wanita sanggup bertahan dalam rumah tangga yang sebegini sampaikan perkara sekecil membeli rokok pun masih meminta pada isteri? Tidak salah bagi isteri untuk bantu membiayai keluarga di saat suami dalam kesusahan, tetapi lain pula ceritanya kalau diri sendiri tidak mahu menaikkan martabat lelaki langsung!
Kalau nak dikutkan, tidak ada ibu yang mahukan anak-anak bencikan ayah. Namun anak-anak pun sudah besar dan boleh melihat sendiri sikap buruk si bapa dalam culasnya menjalankan tanggungjawab.
Sampai hati pula si lelaki membiarkan wanita yang sepatutnya hidup gembira perlu meminta bantuan untuk meneruskan kehidupan. Agaknya apa yang si suami fikirkan ya?
Kuat sungguh si isteri menghadapi keadaan rumah tangga yang sebegini. Demi anak-anak, dia masih mampu bertahan walaupun hidup dalam penyeksaan.
Hukum Suami Tidak Bekerja dan Tidak Memberi Nafkah
Berikut merupakan sebahagian penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini:
Nafaqah kepada isteri mempunyai kadar tertentu. Walau bagaimanapun, jumlah dan jenisnya berbeza berdasarkan kemampuan suami. Kedudukan isteri dari segi kekayaan, kemiskinan, keturunan dan lain-lain tidak mempengaruhi kadar tersebut kerana faktor yang diambil kira ialah kemampuan suami. Perkara ini merujuk kepada pemberi nafaqah yang bukan penerimanya. Firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafaqah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafaqah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
(Surah al-Talaq: 7)
Melihat kepada dalil-dalil di atas, kami menyatakan bahawa wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri.
Sekurang-kurangnya hendaklah lelaki itu berusaha menyediakan atau menyumbang tempat tinggal yang selamat dengan peralatan-peralatan asas seperti tempat tidur, duduk dan memasak, makanan dan minuman, pakaian yang sesuai dan menutup aurat, dan alat dan bahan kebersihan, untuk isteri dan anak-anaknya.
Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dalam Syarak untuk menjaga keluarganya. Sekiranya seorang lelaki itu enggan dan tidak mahu berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk menfasakhkan perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abi Hurairah RA, katanya:
فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafaqah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.”
Riwayat al-Daraqutni (3/297)
Justeru, kami cenderung menyatakan bahawa hukum suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isteri. Namun jika isteri meredhainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.
Buat para suami, janganlah terleka atau terbiasa dengan kesenangan dalam rumahtangga yang bukannya dari titik peluh sendiri. Ketahuilah yang suami merupakan tunggak keluarga yang wajib membiayai isteri dan anak-anak, bukannya orang lain!
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Mohd Fadli Salleh
Baca juga: Tertekan Masalah Kewangan & Suami Malas Kerja, Ibu Muda Sanggup Tikam Bayi 3 Bulan