Tips Berkesan Pisahkan Tempat Tidur Anak Agar Si Manja Seronok Tidur Di Bilik Sendiri
Tempat tidur adalah suatu yang privasi terutamanya bagi suami isteri. Apabila anak kian membesar, adalah penting mengasingkan ruang tidur dengan mereka
Sudah menjadi kebiasaan bagi anak yang masih kecil untuk tidur bersama ibu ayah. Namun seiring peningkatan usia, mereka sepatutnya diajar untuk mengasingkan tempat tidur bagi membolehkannya lebih berdikari di samping menjaga privasi hubungan suami isteri.
Pada mulanya, adalah normal jika anda berdepan sedikit kesukaran untuk memujuk dan membiasakan anak tidur di dalam biliknya sendiri. Hal ini adalah kerana mereka berasa bimbang, takut serta perlu melawan perkara negatif yang ada dalam imaginasi.
Namun dengan cara yang betul, anak anda pasti mampu untuk melalui perubahan tersebut secara perlahan-lahan dengan baik tanpa sebarang masalah.
Asingkan Tempat Tidur Anak Perlu Kena Caranya
Sebenarnya, anak yang masih kecil tidak memerlukan ibu ayah pada waktu malam kerana mereka hanya inginkan rehat yang mencukupi. Disebabkan itu, tidur bersendirian pada waktu malam adalah terbaik untuk setiap kanak-kanak.
Belajar tidur tanpa peneman adalah kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh setiap kanak-kanak supaya mereka bersikap lebih berani dan selamat ketika berada dalam rumah sendiri.
Apatah lagi apabila mereka menyedari ibu ayahnya ada di sebelah bilik sahaja sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Walau bagaimanapun ramai ibu ayah tidak mengasingkan tempat tidur sehinggalah anak sudah memasuki alam persekolahan dengan alasan si kecil enggan, menangis dan sukar untuk memujuk mereka.
Sememangnya punca utama yang mendorong anak kecil tidak mahu berpisah tempat tidur dengan ibu ayah adalah kerana rasa takut. Kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah memiliki tahap imaginasi yang tinggi.
Hal ini ditambah lagi dengan pendedahan terhadap cerita yang ada di televisyen membuatkan mereka lebih banyak berimaginasi tentang penjahat, hantu, binatang dan lain-lain lagi.
Bukan itu sahaja, kebanyakan anak kecil akan berasa takut dengan gelap. Mereka tidak boleh melelapkan mata di dalam gelap seorang diri kerana penglihatan yang terbatas.
Ketika inilah minda si kecil mula membayangkan perkara-perkara menakutkan. Meskipun bilik mereka bersebelahan dengan anda, namun tetap berasa jauh kerana tidak dapat melihat ibu ayah.
Tips Mengasingkan Tempat Tidur Anak Seawal Usia
Sebelum mengajar anak kecil anda tidur bersendirian dalam biliknya, ibu ayah hendaklah bekerjasama dan ikuti beberapa langkah mudah seperti di bawah:
- Sediakan bilik tidur yang selesa.
- Hiaskan bilik anak dengan dekorasi mereka minati. Misalnya, jika si manja anda menggemari kartun atau warna kegemaran, ibu ayah boleh menghias bilik dengan citarasa mereka. Hal ini sekaligus membuatkan anak berasa tidak sabar untuk tidur dalam biliknya sendiri.
- Jelaskan kepada anak mengapa perlu berpisah tidur dengan ibu ayah. Anda perlu berterus-terang kepada anak supaya mereka berasa tidak terabai. Beritahu kepada mereka akan pentingnya setiap kanak-kanak tidur di bilik sendiri.
- Pastikan tiada waktu skrin sebelum tidur. Jauhkan kesemua peranti digital sekurang-kurangnya 1 hingga dua jam sebelum waktu tidur si manja. Gangguan sebegini akan membuatkan anak lebih sukar melelapkan mata.
- Lakukan aktiviti berfaedah sebelum tidur seperti berborak dengan anak atau membacakan buku cerita. Ingatkan si manja apabila tibanya waktu tidur agar dapat meneruskan rutin harian ini diikuti setiap hari.
- Pastikan ada pencahayaan dalam bilik. Untuk mengelakkan anak takut gelap, ibu ayah boleh nyalakan lampu tidur. Adalah lebih baik jika lampu dipasang memiliki kuasa laras agar anda boleh memalapkan lampu ketika anak sedang lena.
- Ingatkan anak kecil bahawa anda sentiasa ada bersama mereka. Ibu ayah perlu jelaskan kepada anak, anda sentiasa mengetahui setiap perkara yang berlaku di dalam bilik mereka. Anda juga boleh letakkan alat pengawasan bayi di bilik anak-anak bagi memantau pergerakan dan memastikan keselamatan mereka tidak kira siang atau malam.
- Sentiasa mematuhi rutin yang sama setiap hari. Ajar anak dengan rutin tidur seawal jam 9 malam. Kanak-kanak yang memiliki jadual dan rutin lazim akan mudah mengikutinya dan mudah berasa mengantuk apabila masuk waktu tidur mereka.
Bila Perlu Mula Asingkan Tempat Tidur Anak
Dalam Islam, ibu ayah perlu mengasingkan anak dari tempat tidur apabila si anak mencapai usia mumaiyyiz atau bermakna, sudah tahu membezakan yang baik dan yang buruk. Namun, lebih awal dari itu lebih baik.
Manakala bagi anak yang sudah baligh pula sememangnya wajib diasingkan tempat tidur dengan ibu dan ayah.
Dalam pada itu, anda juga boleh asingkan tempat tidur anak apabila bayi sudah putus susu. Anda boleh mengajar anak supaya tidur di tempat yang berasingan dengan lebih awal supaya lebih mudah pada masa akan datang.
Cara Yakinkan Anak Tidur Sendiri
1. Beritahu anak sebab mereka perlu tidur di bilik sendiri – Beri penjelasan yang mudah untuk mereka fahami. Contohnya, terangkan kepada anak bahawa mereka sudah besar dan berani untuk tidur sendiri. Jika boleh, selitkan juga pengalaman anda ketika kecil dahulu. Jangan lupa maklumkan juga kepada anak bahawa ia adalah sebahagian daripada proses tumbesaran. Bermakna, apabila semakin meningkat dewasa, semua orang memerlukan bilik sendiri.
2. Tahu minat anak, gunakan konsep itu untuk bilik mereka – Ini salah satu cara terbaik untuk meyakinkan anak anda supaya tidur sendiri di bilik mereka sendiri. Sediakan satu bilik khas untuk mereka yang menepati minat anak anda. Anak anda masih kecil, jadi sesuaikan bilik mengikut citarasa dan usia mereka.
3. Puji anak anda – Penting untuk anda memuji anak anda apabila mereka berjaya tidur di bilik sendiri, terutamanya di awal peringkat. Beri kata-kata yang baik, contohnya puji mereka atas keberanian untuk tidur di bilik sendiri, betapa matang dan memahaminya mereka, kebijaksanaan mereka melalui proses ini dan lain-lain.
4. Berikan ganjaran – Tidak perlu ganjaran yang mahal pun, cukuplah sekadar makanan yang mereka gemari. Namun, anda tidaklah perlu kerap memberi ganjaran ini. Cukup di awal permulaan proses ketika anda ingin mengasingkan tempat tidur sahaja.
5. Mulakan dengan asingkan katil – Sekiranya anda dan anak-anak berkongsi katil pada awalnya, jangan terus pisahkan anak dengan membiarkan dia tidur di bilik berasingan, sebaliknya mulakan dengan mengasingkan tempat tidur terlebih dahulu. Letakkan katil barunya di dalam bilik yang sama dan biarkan dia tidur di katil sendiri. Apabila dia sudah membiasakan diri tidur di katil sendiri kemudian barulah pisahkan bilik tidur. Meletakkan anak anda terus di bilik tidur berasingan tanpa memisahkan tempat tidur terlebih dahulu adalah sesuatu yang drastik. Ia hanya membuat anak-anak memberontak dan berasa keliru.
6. Tekankan bahawa bilik ibu ayah adalah kawasan larangan – Didik anak anda supaya berwaspada dan jadikan tempat tidur ibu ayah sebagai kawasan larangan. Terangkan pada anak bahawa tempat tidur ibu ayah hanya boleh dimasuki pada waktu tertentu sahaja. Latih mereka ketuk pintu dan minta izin dahulu sebelum masuk.
7. Mulakan pengasingan bilik tidur seawal yang mungkin – Sleep train ini biasanya dilakukan seawal bayi berusia 6 bulan, namun itu kalau mengikut cara keibubapaan barat. Di Asia jarang ibu bapa melakukan sleep train seawal ini. Jadi jika anda mahu bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, inilah caranya. Mulakan awal jadi mereka sudah terbiasa sejak bayi lagi tidur di bilik sendiri.
Semoga bermanfaat!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jangan Biarkan Anak Yang Sudah Bersekolah Tidur Bersama Ibu Ayah, Ia Kesilapan Besar!
Baca juga: 13 Buku Cerita Bahasa Inggeris Terbaik Untuk Dibacakan Kepada Si Manja Sebelum Tidur!
Baca juga: Bayi Suka Tidur Siang & Berjaga Malam, Ibu Kena Buat 3 Perkara Ini Barulah Anda Tidak Penat!