Tiub Fallopian Tersumbat Faktor Sukar Hamil, Ini Cara Semulajadi Bagi Merawatnya!
Tiub fallopian tersumbat menyebabkan kebanyakan wanita berdepan masalah sukar hamil kerana ia bertindak menghalang laluan sperma untuk proses persenyawaan
Tiub fallopian tersumbat merupakan salah satu masalah kesihatan yang perlu dirawat kerana ia menjejaskan proses persenyawaan. Ia memiliki kepanjangan kira-kira 10 sentimeter menghubungkan antara ovari dan rahim.
Di dalam tiub ini, silia akan menyapu dan memerangkap telur untuk disalurkan ke bahagian rahim. Jika berlaku sekatan, maka telur tidak boleh disenyawakan dengan baik dan menyebabkan wanita tidak boleh hamil.
Baca juga: Gejala PCOS Penyebab Ramai Wanita Sukar Hamil, Ini Penjelasan Dari Pakar Perubatan
Masalah tiub fallopian tersumbat, ini yang perlu anda tahu
Menurut America Society Reproductive Medicine menyatakan fenomena ini biasa dialami oleh 30 peratus wanita tidak dapat hamil kerana masalah tiub fallopian tersumbat atau rosak.
Dalam hal ini, wanita dilengkapi dua tiub fallopio dan kadangkala hanya satu sahaja tersumbat atau kedua-duanya sekali akan membentuk cecair yang banyak dikenali sebagai hydrosalphinx (air dalam tiub).
Ia adalah toksik dan apabila mengalir ke dalam rahim menyebabkan anda berdepan masalah sukar mengandung.
Pada setiap bulan, ketika waktu subur iaitu pada hari ke-14 kitaran haid wanita, tiub fallopian ini akan membawa telur dari ovari ke dalam rahim untuk proses persenyawaan dan implantasi berlaku.
Menurut Pengasas dan Perunding Kesuburan Kanan, Metro IVF, Dr. Tee Swi Peng berkata kehamilan akan berlaku dalam tiub ini. Jika telur sudah disenyawakan dengan sperma suami, ia akan bergerak melalui tiub ke rahim untuk menempel.
”Sekiranya ia tersumbat, laluan sperma untuk tiba ke bahagian telur wanita akan terganggu. Tiub fallopian ini juga boleh rosak jika anda terkena jangkitan bakteria yang merebak bahagian dalam faraj dan rahim.”
”Ia tidak menunjukkan sebarang tanda awal kerosakan tiub. Pesakit mungkin menyedarinya jika sebelum ini pernah mengalami jangkitan pada pelvis atau pernah menjalani pembedahan ektopik atau endometriosis,” katanya.
Rawat masalah tiub fallopio tersumbat secara semulajadi
Sebenarnya terdapat beberapa cadangan mengatakan bahawa terdapat kaedah semula jadi bagi merawat masalah fallopian tube ini tersumbat. Antaranya ialah:
#1. Jus nanas
Buah nanas dikatakan sarat dengan enzim dipanggil sebagai bromelain iaitu enzim memberi kesan luar biasa sekiranya anda mengambilnya dalam jumlah yang betul. Bromelain ini bertindak sebagai penahan sakit, mencairkan darah serta antikogulasi (elak pembekuan darah) serta anti radang.
Pencair darah ini jika diambil sederhana dapat membantu menebalkan dinding rahim, menggalakkan embrio membenam serta mengurangkan risiko keguguran.
Anda juga dinasihatkan mengambil buah nanas sudah masak (sebaiknya organik), buang kulit nanas, potong kepada 5 bahagian dan makan 1 bahagian untuk setiap hari selepas terjadinya ovulasi atau pemindahan embrio.
#2. Pengambilan vitamin C
Kebaikan vitamin ini kaya dengan sumber antioksidan berupaya untuk menyokong fungsi sistem imunisasi, mengurangkan keradangan serta mengehadkan kerosakan radikal bebas.
Secara teorinya berdasarkan kebaikan ini, vitamin C dipercayai dapat membantu mengurangkan keradangan, jangkitan serta pengembangan tisu pada saluran fallopio. Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik dapat menyokong pernyataan ini.
#3. Buah dan sayuran segar
Kedua-dua sumber ini memiliki khasiat baik untuk kesihatan tubuh badan kerana ia kaya dengan antioksidan, vitamin dan serat.
Bukan itu sahaja, ia membantu penyerapan zat besi dengan efisien, menyingkirkan toksin dari badan dan meningkatkan sistem ketahanan tubuh. Sayuran berdaun hijau seperti kubis atau brokoli amat digalakkan kerana ia sumber asid folik yang baik untuk sistem peranakan wanita.
Selain makanan, anda juga dinasihatkan untuk mengekalkan gaya hidup yang aktif dan lebih sihat. Elakkan dari mengalami tekanan melampau kerana ia boleh memberikan kesan berpanjangan terhadap tiub fallopio. Caranya adalah dengan melakukan aktiviti jalan kaki, berkebun ataupun terapi urutan.
Bagi individu yang sedang ikhtiar hamil, anda perlu mengurangkan pengambilan makanan ringan, segera dan berproses kerana ia mengandungi bahan kimia serta pengawet tidak baik bagi kesihatan tubuh.
Meskipun tiada bukti saintifik untuk membuktikannya, namun mengubah tabiat hidup dan pemakanan yang lebih sihat berupaya meningkatkan kesuburan. Sekiranya anda masih berdepan masalah ini, disarankan untuk melakukan pemeriksaan di klinik berdekatan dan mendapatkan rundingan doktor.
Sumber: Nak pregnant, Senanghamil2u, Thezuriat
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Selain Susu Full Cream, Ini Makanan Untuk Kesuburan Suami Isteri Yang Disaran Oleh Pakar!