Panduan Lengkap: Tumbesaran Dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 10 Bulan
Yay, lagi 2 bulan sudah cukup setahun si manja anda ini. Jom tengok apa milestone kanak-kanak 10 bulan yang pasti buat anda tak menang tangan ini.
Apabila anak sudah masuk usia 10 bulan, anda pasti akan terkejut melihat milestone kanak-kanak 10 bulan ini. Bayi anda akan lebih bersemangat, comel, asyik membebel dan sedang belajar tentang perkembangan motornya.
Malah ketika berusia 10 bulan juga, anda akan nampak personaliti si manja. Adakah si manja anda itu pemalu atau dia sukakan cabaran? Bayi 10 bulan sudah mula “mengenalpasti” apa buku, muzik, filem dan permainan yang dia minat.
Perkembangan Fizikal
Oleh sebab si manja anda itu semakin ingin tahu, dia akan teruja untuk meneroka persekitarannya. Mulalah semua benda dia nak capai.
Ibu bapa digalakkan untuk menemani bayi 10 bulan yang sedang bermain. Anda akan nampak mereka bukan saja sudah pandai merangkak, malah boleh duduk juga.
Dengan sedikit bantuan, mereka boleh berdiri, squat dan mengalihkan barang dari satu tangan ke tangan yang lain.
Jangan terkejut kalau dalam masa beberapa hari lagi, mungkin si manja anda itu akan mula berjalan pula!
Ketika ini, anda kena selalu perhati apa benda yang dipegang anak, untuk tidak mahu mereka tercekik. Oleh sebab mereka sudah boleh memegang, semua benda yang mereka pegang akan dimasukkan ke dalam mulut.
Jadi anda kena pastikan rumah sudah childproof ya!
Perkembangan Kognitif
Milestone kanak-kanak 10 bulan yang paling menarik adalah sifat bayi yang akan mula memerhati sesuatu benda dengan penuh tanda tanya.
Anda boleh bawa anak keluar atau benarkan mereka bermain dengan perabot rumah untuk menggalakkan perkembangan berfikir mereka.
Ketika ini juga, bayi lebih bersemangat nak main peek-a-boo!
Perkembangan Pertuturan Dan Bahasa
Minda bayi usia 10 bulan pantas berkembang, jadi mereka akan cepat belajar lebih banyak perkataan.
Si kecil anda itu mungkin akan boleh menyebut “mama”, “dada”, “dog” dan “cat” dalam nada pelat kerana mereka sudah mengenali perkataan ini.
Tapi ada juga sesetengah bayi yang akan berubah menjadi pendiam. Ibu-ibu jangan risau. Mood bayi boleh berubah-ubah ketika berusia 10 bulan ini.
Perkembangan Sosial Dan Emosi
Shhhhh… sebenarnya ketika berusia 10 bulan, si manja anda itu sudah bijak jadi copycat! Semua benda anda buat akan ditirunya.
Apa kata anda menggunakan masa ini untuk mengacah-acah mereka. Hanya guna muka anda saja sudah cukup. “Buat muka” dengan menyebut perkataan tertentu.
Ini akan merangsang deria bayi. Satu lagi, jangan terkejut kalau anda melihat anak bersikap pelik seperti head banging, bergolek, main gigi atau menarik rambut. Ini cara mereka nak hadapi perubahan di sekeliling mereka.
Bayi juga akan faham perasaan takut. Contohnya apabila ada barang terjatuh (dengan bunyi yang kuat), mereka akan terkejut dan ketakutan.
Kesihatan Dan Nutrisi
Pada ketika ini, gigi susu anak anda mungkin sudah mula tumbuh. Maka mereka sudah mampu untuk menguyah makanan dengan lebih baik.
Anda digalakkan untuk memotong makanan pejal anak dalam bentuk kecil kerana senang mereka nak makan dan masukkan ke dalam mulut. Lagipun, ia mengelak risiko anak tercekik.
Ketika usia 10 bulan juga, anda boleh memperkenalkan lebih banyak buah-buahan, sayur dan daging sebagai makanan bayi.
Permainan Anda Boleh Main Dengan Bayi 10 Bulan
Ibu bapa kepada bayi 10 bulan harus menggalakkan perkembangan mereka. Jadi, cuba buat beberapa aktiviti ini dengan si manja:
1. Galakkan Percakapan Bayi
Walaupun bayi anda tak boleh bercakap dengan lancar dan fasih lagi, tapi itu tak bermakna anda tak perlu bersembang dengan mereka.
Cuba dengar dan beri respon pada semua bebelan dan percakapan bayi anda. Ini membantu perkembangan kognitif dan bahasa mereka!
2. Menari
Buka lagu yang rancak dan galakkan bayi anda menari mengikut rentak irama. Ini bagus untuk menggalakkan kemahiran motor dan koordinasi badannya.
3. Main sembunyi-sembunyi
Pada ketika ini, si manja anda itu sudah faham konsep benda yang disembunyikan. Jadi, cubalah perbanyakkan mainan sembunyi-sembunyi. Ia boleh merangsang kepintaran anak.
Tips Berguna Untuk Ibu Bapa
Walaupun anak-anak mungkin membesar dalam kadar yang berbeza, tapi ibu bapa kena peka tentang perkembangan dan milestone anak juga, agar anda boleh tahu jika anak ketinggalan atau tidak.
Contohnya, pada usia 10 bulan, bayi anda sudah boleh memberi respon pada perkataan dan perbuatan anda. Jika anda rasa anak tak memberi respon, mungkin sudah tiba masanya anda merujuk doktor pakar.
Antara benda lain yang tak sepatutnya terjadi apabila anak berusia 10 bulan ialah:
- Bayi tak boleh berdiri, walaupun dengan sokongan
- Bayi tak boleh duduk
- Bayi tak membebel menyebut “mama”, “baba”, atau “dada”)
- Bayi tak boleh mengenali ibu bapa sendiri
- Bayi tak boleh melihat objek yang anda tunjuk
- Bayi tak boleh memindahkan barang dari satu tangan ke tangan lain
Kredit gambar: VideoBlocks
Baca juga:
Panduan Lengkap: Tumbesaran Dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 9 Bulan