10 Perkara Suami Isteri WAJIB Buat Setiap Pagi Agar Perkahwinan Lebih Intim & Berkekalan

Hubungan rumah tangga yang kukuh dan bahagia memerlukan usaha dan doa dari setiap pasangan. Dalam kesibukan kita menempuh hari-hari, jom kita belajar tentang 10 perkara suami isteri patut lakukan bersama di waktu pagi supaya cinta dan kasih sayang terus utuh dan erat!

Bangun pagi, bergegas mengejutkan anak, bersiap ke tempat kerja, dan bergerak ke pejabat masing-masing – lumrah kebanyakan pasangan yang bekerja setiap pagi. Hujung minggu pula, mungkin tidur hingga lewat pagi akibat kepenatan bekerja dari Isnin ke Jumaat. Namun ini tidak bermakna cinta suami istri harus diabaikan.

Apatah lagi sekarang semua digalakkan untuk duduk di rumah, suami dan isteri masih lagi perlu bekerja dari rumah. Anak-anak pula sibuk melakukan pembelajaran dalam talian. Kadang-kala kerja di rumah sebenarnya lebih sibuk berbanding kerja di pejabat, kerana seaka-akan tiada masa rehat langsung!

Namun, rutin begini bukanlah yang terbaik untuk hubungan suami isteri. Sepatutnya suami isteri perlu sentiasa berkomunikasi dengan satu sama lain. Malah, hubungan dengan anak juga perlu dijaga walaupun masing-masing sibuk.

Oleh itu, di sini, kami kongsikan 10 perkara suami isteri patut lakukan bersama di waktu pagi supaya cinta suami istri terus mekar indah!

10 Perkara Suami Isteri Perlu Lakukan Bersama Setiap Pagi

1# Bangun Awal pada Waktu yang Sama

Kredit: Freepik

Antara perkara paling mudah yang suami isteri patut lakukan bersama di waktu pagi adalah menetapkan waktu bangun. Ia perlu awal dan pada waktu yang sama.

Mereka yang bangun awal dan pada waktu yang sama akan mempunyai lebih banyak masa terluang untuk pasangan masing-masing. Ketika ini, anak-anak masih tidur dan kita pula tidak sibuk dengan hal sendiri.

2# Solat Berjemaah Bersama-Sama

Selepas bangun awal dan membersihkan diri, anda dan pasangan juga akan mempunyai banyak peluang untuk solat berjemaah bersama-sama. Jika suami ke masjid untuk solat subuh, bolehlah anda membantu menyiapkan baju dan menghantarnya ke pintu.

Jika solat bersama, hubungan antara suami dan isteri lebih utuh dan cinta suami istri lebih berkekalan. Selalunya, kita akan saling bersalaman dan bermaafan selepas solat. Ia memberikan keberkatan dan kemanisan dalam hubungan suami isteri.

3# Duduk Bersama dan Minum Seketika

Kredit: Freepik

Lagi satu perkara suami isteri patut lakukan bersama di waktu pagi adalah duduk bersama-sama di meja makan dan minum seketika. Ia tidak perlu sarapan yang berat. Secawan teh, kopi, atau air suam sudah mencukupi.

Pada masa ini, kita bolehlah bersembang dan bertanya tentang aktiviti masing-masing sebelum bergerak ke pejabat. Tidak perlu juga terlalu lama, 5 ke 6 minit sudah cukup memberikan impak.

4# Memandang dan Senyum Pada Pasangan

Dikala kesibukan bersiap dan menyiapkan anak, perasan tak yang kadangkala kita terlupa langsung untuk melihat mata pasangan kita dan senyum kepadanya?

Mulai hari ini, mekarkan cinta dalam rumah tangga anda dengan saling berpandangan dan memberikan senyuman kepada satu sama lain – tidak kiralah berapa penat sekali pun anda.

Cubalah lakukannya, boleh berbunga-bunga hati dan mungkin hilang sedikit rasa penat!

5# Membahagikan Tugas Menguruskan Anak di Waktu Pagi

Kredit: Freepik

Kita tidak mahu lari dari realiti kehidupan. Sememangnya, tugas menguruskan anak di waktu pagi merupakan satu tugas yang sibuk. Jom bahagikan persiapan anak-anak di waktu pagi.

Seorang mengejutkan anak, seorang lagi memakaikan baju atau seorang menyiapkan anak, seorang lagi menyediakan sarapan pagi.

Tidak kiralah apa sahaja rutin harian keluarga anda, dengan pembahagian tugas sebegini, ringan sedikit beban dan masa pun dapat dijimatkan.

6# Luangkan Masa Berdua Pada Pagi Hujung Minggu

Pada hujung minggu pula, tetapkan masa untuk berdua. Anda boleh memilih untuk bersarapan di luar bersama atau membeli barangan dapur di pasar tani berdua.

Mungkin tidak perlu setiap minggu jika ia kurang praktikal, namun berusahalah sekali sekala untuk melakukannya.

Yang penting, jangan biarkan waktu senggang di hujung minggu berlalu tanpa anda menghabiskan masa bersama dengan pasangan secara berkualiti.

7# Tidak Terus Melihat Smartphone Atau Gajet Lain

Kredit: Freepik

Pada waktu pagi, antara kesilapan yang selalu dilakukan adalah melihat smartphone atau gajet lain sambil menunggu anak-anak siap.

Jika ini dilakukan, anda telah membazir sedikit masa yang ada yang sepatutnya diluangkan untuk berhubungan atau berkomunikasi dengan suami atau isteri anda.

Simpan dahulu kesemuanya dalam beg dan lihat emel atau mesej penting ketika di pejabat, bukannya awal pagi di rumah.

8# Memberi Pelukan & Ciuman Sebelum ke Tempat Kerja

Sebelum kaki melangkah keluar dari rumah, ambil beberapa saat dalam hidup anda untuk memeluk antara satu sama lain. Ia memupuk ikatan kasih sayang antara suami dan isteri.

Dengan pelukan ini, ia seolah-olah mengikat perjanjian yang tujuan masing-masing keluar adalah untuk mencari rezeki dan berjanji untuk pulang bagi meneruskan kehidupan suci rumah tangga bersama-sama.

9# Memberikan Kata-Kata Sayang

Kredit: Freepik

“Selamat bekerja”, “saya sayang awak”, “I will miss you”, atau “semoga dipermudahkan urusan di tempat kerja” merupakan kata-kata sayang yang tidak patut dilupakan pada waktu pagi.

Ucapkannya kepada suami atau isteri anda, pasti mereka akan berterima kasih dan bersyukur mendapat pasangan yang penyayang.

10# Mendoakan Satu Sama Lain

Akhir sekali, doakan antara satu sama lain di waktu pagi agar segala usaha pada hari tersebut diberkati Tuhan dan pasangan anda dipermudahkan urusan.

Tiada yang lebih bermakna melainkan ucapan doa yang diucapkan oleh suami buat si isteri ataupun dari isteri buat suaminya yang tercinta!

Cuba salah satu daripada 10 perkara di atas. Pada mulanya, mungkin anda rasa kekok, sukar atau rasa tidak praktikal, namun dengan sedikit usaha, ia akan berubah menjadi tabiat – dirasakan mudah untuk melakukannya!

Apa pula rutin setiap pagi anda bersama pasangan? Mungkin ianya menarik dan berkesan dalam memastikan hubungan anda, suami isteri, terus mekar dan ukuh. Kongsikannya bersama kami!

Semoga artikel ini bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 10 Filem Romantik English Yang Sesuai Ditonton Suami Isteri Malam Ini, Apa Salahnya Dating Tengok Filem!

Penulis

Noor