Setiap anak itu ada keistimewaannya yang tersendiri.
Jika anda tertanya-tanya sama ada kebijakan adalah antara keistimewaan anak anda, para pengkaji ada menyediakan beberapa petunjuk untuk anda lihat dan semak.
Ya, kepandaian anak anda boleh diketahui dengan lebih awal, sebelum mereka mula mengambil peperiksaan di sekolah lagi!
Jadi, jom kita tengok 11 petanda awal yang anak anda seorang yang bijak, melebihi dari kanak-kanak biasa yang lain.
1. Anak anda mudah ingat
Satu cara mudah untuk mengetahui sama ada anak anda itu genius atau tidak adalah dengan melihat kebolehan dirinya untuk mengingat sesuatu.
Menurut pakar dari New Kid’s Center, jika anak anda mudah untuk mengingat di mana dia letakkan mainan, kenal wajah orang lain dengan mudah, atau ingat sesuatu tempat yang dia pernah pergi, itu adalah petanda yang si kecil anda itu bijak orangnya.
Cuba anda uji ingatan anak anda. Lakukan games atau aktiviti berdasarkan memori.
Dengan cara ini, bukan sahaja anda boleh lihat sama ada anak anda mempunyai kepandaian dari kecil, malah dapat membantu menguatkan lagi daya ingatannya
2. Anak anda suka termenung
Pernah tak anda perasan yang si kecil anda suka termenung? Jika ya, ada kemungkinan besar yang pada ketika itu, dia sedang berfikir dalam-dalam dan memfokuskan dirinya pada sesuatu.
Dr. Deborah L. Ruf, seorang konsultant akademik menerangkan yang anak yang pintar suka melihat dan memberi penumpuan pada sesuatu sedari usia muda!
Sudah tentu, sebagai kanak-kanak, renungan itu mungkin juga renungan kosong. Tetapi, ada ketikanya, dia bukan termenung tanpa berfikir.
Boleh jadi dia sedang berfikir secara mendalam dan sedang mempelajari sesuatu.
Menurut Dr Ruf lagi:
“Mereka sebenarnya memerhatikan sekeliling mereka, dan kita orang dewasa kadangkala boleh terkejut apabila mengetahui apa sebenarnya yang mereka sedang fikirkan!”
3. Anak anda boleh membuat rumusan tentang sesuatu perkara
Kemahiran anak anda untuk berfikir dan membuat rumusan tentang sesuatu hal juga boleh menjadi petunjuk yang si kecil anda itu bijak orangnya.
Contohnya, apabila dia melihat seseorang sedang membuat sandwich, dia pasti boleh merumuskan bahawa orang itu sedang lapar dan akan makan roti sandwich tersebut.
Bagi kita, perkara ini sangat mudah dan bukan sesuatu untuk dibangga, tapi jika anak anda mampu berfikir sedemikian, maka itu adalah sesuatu yang memberangsangkan!
Menurut pakar dari What to Expect When You’re Expecting, kemampuan anak kecil untuk membuat hubungan antara satu perbuatan dengan perbuatan lain dan memberikan rumusan berdasarkan pemerhatian adalah satu tanda kepandaian.
4. Anak anda suka bermain dengan kanak-kanak yang lebih besar
Jika anak anda gemar bermain dengan kanak-kanak yang lebih besar darinya, maka itu juga boleh menjadi petanda yang anak anda itu bijak budaknya.
Lyn Kendall, seorang konsultant dari British Mensa berkata yang kanak-kanak bijak suka bergaul dengan orang lebih berusia darinya.
Mereka bukan sahaja matang, malah dapat belajar dari kanak-kanak yang lebih berusia darinya.
Malah, kemahiran berfikir juga mampu berkembang pesat jika dia terus bergaul dengan cara ini.
5. Anak anda petah bercakap
Kanak-kanak yang petah bercakap dan pandai bersembang pada usia muda juga dikatakan lebih bijak dari kanak-kanak yang seusia dengannya.
Menurut Institut Davidson, kemahiran bahasa yang tinggi adalah antara ciri yang selalu ada pada kanak-kanak genius.
Pada anda, mungkin si kecil anda itu bak ‘burung murai’, tapi sebenarnya, ia adalah keupayaan si kecil anda dalam mengekspresikan pemikiran dan perasaannya!
6. Anak anda susah untuk tidur
Ini lagi satu petanda yang anak anda itu seorang yang bijak.
Mungkin pada anda, ia adalah satu masalah kanak-kanak. Tetapi sebenarnya, anak yang bijak memang sukar untuk lena!
Menurut Dr. Ruf, ini adalah kerana otaknya sedang ligat berfikir, sehinggakan dia tidak mampu untuk lena dek pemikiran tanpa henti itu.
7. Anak anda gemar bersosial
Ada kanak-kanak pemalu sifatnya. Ada juga pendiam dan tidak pandai bermain dengan kanak-kanak lain.
Tapi, kalau anak anda suka berkawan dan tidak suka duduk diam bila berjumpa dengan rakan sebaya dengannya, maka ini juga petanda yang anak anda itu bakal menjadi orang yang pandai.
Lyn Kendall dari Mensa menerangkan yang sifat suka bermain, bergurau dan bersosial adalah ciri yang ada pada kanak-kanak bijak.
Jadi, jika anak anda memeriahkan suasana anda ketika berkawan, ketahuilah bahawa anak anda itu ada bakat istimewa.
8. Anak anda menunjukkan pelbagai emosi
Kemahiran untuk meluahkan pelbagai perasaan juga adalah antara ciri yang ada pada kanak-kanak bijak.
Dr. David Palmer, seorang ahli psikologi menjelaskan kepada Psychology Today bahawa anak yang bijak itu lebih beremosi dari kanak-kanak biasa.
Mereka sensitif dan mampu menunjukkan rasa simpati dan empati pada orang lain.
Jadi, ibu ayah, jika anda perasan yang anak anda sering berubah emosinya, ketahuilah bahawa dia sedang meningkatkan kemahiran emosi serta kognitifnya.
9. Anak anda sentiasa banyak tenaga
Banyak bergerak, bermain serta mempunyai tenaga yang tinggi bukanlah ciri-ciri yang ada pada kanak-kanak hiperaktif semata-mata.
Tetapi, ia juga boleh menjadi petanda yang anak anda itu bijak orangnya.
Dr. Hillary Hettinger Steiner dan Dr. Martha Carr menjelaskan yang stimulasi mental serta fizikal adalah tanda kepandaian pada kanak-kanak!
10. Anak anda minat pada sesuatu perkara dari usia kecil
Kanak-kanak gemar bertukar minat. Tapi, kalau anak anda sukakan sesuatu perkara untuk masa yang lama, ini adalah tanda kebijaksanaan.
Contohnya, walaupun anak anda masih kecil, tapi dia sudah ada hobi tersendiri – lagi-lagi kalau dia memang berbakat dalam hobi yang diminatinya itu!
Menurut Baby Center, anak anda mungkin berbakat jika dia mahir dalam sesuatu aktiviti, contohnya seni, sukan atau pandai bermain dengan nombor.
11. Anak anda suka buku
Bukan semua kanak-kanak gemarkan buku. Hanya yang istimewa sahaja tertarik dengan buku – menyelak setiap halaman, melihat gambar dan membacanya!
Jika anda perasan dari awal yang si kecil anda gemarkan buku, berbanding alat mainan lain, maka, ketahuilah bahawa anak anda mungkin seorang yang cerdik.
Menurut New York Parenting, kanak-kanak yang pandai selalu menunjukkan minat dalam membaca sebelum mereka masuk ke alam persekolahan lagi!
Apa pandangan anda? Anak-anak ada tunjukkan tanda-tanda ini tak?
Sumber: The Asian Parent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: