Penemuan Yang Mengejutkan
Beberapa pakar bedah dari British dan seorang pakar mata sedang membuat persediaan untuk menjalankan pembedahan katarak pada seorang pesakit wanita berusia 67 tahun.
Tapi tiba-tiba, sebelum pembedahan sebenar dijalankan, mereka menemui satu penemuan yang mengejutkan!
Dalam mata pesakit terbabit ada 27 pasang kanta lekap yang telah tertinggal!
Pembedahan tersebut berlangsung di Hospital Solihull pada bulan November lepas.
Tetapi, kes ini kembali diuar-uarkan pihak bertanggungjawab bagi memberi pencerahan dan pendedahan tentang pemakaian kanta lekap yang selamat.
Pakar mata, Rupal Morjaria menjelaskan – semua kanta lekap ini telah memberi ketidakselesaan kepada pemakai.
35 Tahun Memakai Kanta Lekap
Mulanya, wanita terbabit dikatakan mengadu mengalami tanda-tanda mata yang kering. Beliau menganggap ia mungkin kerana faktor usia.
Menurut British Medical Journal, mata sebelah kanan wanita itu sedikit kabur.
Walaupun telah memakai kanta lekap selama 35 tahun, namun beliau tidak pernah berjumpa dengan pakar mata.
Ketika pembedahan dilakukan, doktor pakar menemui 17 kanta lekap yang “tercantum bersama kerana mukus“.
Pemeriksaan seterusnya menemui 10 lagi kanta lekap yang tersangkut di dalam matanya!
Doktor pakar sendiri amat terkejut dengan penemuan ini. Mereka dipetik mengatakan
“Kami tak pernah nampak kejadian seperti ini. Yang terkejutnya, pesakit tak perasan langsung tentang 27 kanta lekap yang tertinggal dalam matanya! Sedangkan kejadian ini boleh beri banyak ketidakselesaan.“
Pembedahan katarak yang sepatutnya dijalankan ke atas pesakit terpaksa ditangguh oleh doktor.
Malah, pesakit terbabit juga berisiko terkena endophtalmitis – sejenis penyakit keradangan mata yang serius.
Pemakaian Kanta Lekap Yang Betul & Selamat
Hati-hati wahai pemakai kanta lekap semua!
Sekarang memang ada banyak kanta lekap yang dijual dengan murah di pasaran. Tapi, jangan terbawa-bawa dengan “harga murah” itu.
Jom ikut tip-tip ini untuk memastikan pemakaian kanta lekap yang betul lagi selamat:
1. Sebelum beli kanta lekap
Pilih kanta lekap yang betul-betul sesuai dengan mata dan penglihatan anda. Lebih baik anda dapatkan nasihat doktor pakar dan sentiasa buat pemeriksaan mata.
2. Penjagaan kanta lekap
Anda boleh semak penjagaan yang betul untuk kanta lekap di laman web MyHEALTH.
Ringkasnya – basuh dan keringkan tangan sebelum sentuh sebarang kanta lekap. Kemudian, hanya guna larutan pencuci kanta lekap yang disarankan pakar.
Jangan pandai-pandai guna larutan pencuci yang telah luput. Cuci balik sebarang kanta lekap yang telah jatuh sebelum ia dipakai semula.
Jangan ulang-ulang guna larutan pencuci yang sama. Selepas sekali pemakaian, buang larutan tersebut. Jangan guna air paip atau air suling untuk mencuci kanta lekap, pula!
3. Situasi berbeza
Ketika mandi, berenang, tidur sebentar atau tidur malam – Jangan pakai kanta lekap.
Anda masih boleh memakai contact lens ini ketika naik kapal terbang, mengandung atau ketika bersolek. Tapi jaga kebersihan!
Jangan pakai contact lens selama 7 hari berturut-turut. Beri mata anda rehat yang diperlukan pada hari minggu.
Pastikan setiap kali anda memakai contact lens, anda berasa selesa, mata tidak merah dan anda dapat melihat dengan jelas.
Jangan ambil mudah tentang hal mata, ya? Pemakaian yang salah boleh mendatangkan pelbagai risiko pada mata anda!
Sumber rujukan: Channel News Asia, Mirror.co dan MyHEALTH
Kredit gambar: Channel News Asia
Baca juga: