Anda pernah tak mengadakan majlis hari jadi untuk anak-anak anda? Selalunya, kita akan membuat majlis tersebut di rumah kita sendiri atau di restoran serta lokasi majlis yang terpilih.
Ada satu slot yang selalunya diselitkan ketika majlis tersebut iaitu sesi membuka hadiah. Pernahkah anda terfikir sama ada sesi tersebut baik untuk anak anda?
Atau adakah anda pernah tertanya-tanya apakah sebab kenapa anak anda tidak patut membuka hadiah hari jadi depan kawan-kawannya?
3 Sebab Kenapa Anak Anda Tidak Patut Membuka Hadiah Sewaktu Parti Hari Jadi
Sebenarnya, persoalan sama ada untuk membuka hadiah ketika majlis atau selepas majlis merupakan salah satu persoalan yang sering dibincangkan oleh para ibu di barat. Ada pelbagai pendapat tentang kesan sesi ini kepada anak anda serta hadirin kecil yang lain – rakan-rakannya!
Di sini, kami ingin kongsikan dengan anda 3 sebab utama kenapa anak anda tidak patut membuka hadiah-hadiah hari jadi yang telah diterimanya ketika majlis tersebut sedang berlangsung.
1. Fokus anak anda akan berpindah kepada hadiah, dan bukannya pengalaman tentang majlis tersebut
Salah satu sebab utama mengapa kita mengadakan majlis hari jadi untuk anak kita adalah supaya dia dapat bergembira dengan rakannya, bukan? Ia merupakan satu kenangan indah yang perlu dicipta supaya dia dapat mengingatinya sehingga dewasa.
Tetapi, apabila diadakan sesi membuka hadiah saban tahun, pasti si kecil itu akan tertunggu-tunggu untuk mengetahui apakah yang akan diterimanya pada tahun tersebut.
Sehinggakan, mereka terlupa untuk menikmati pengalaman makan, bermain, dan bergembira dengan rakan sekelas atau rakan jiran yang hadir.
Malah, sebaik sahaja membuka hadiah, mereka akan terus bermain dengan permainan yang diterima dan tidak lagi menghiraukan rakan mereka yang telah bersusah payah untuk hadir. Yang paling merugikan, ada antara anak kecil ini yang bergaduh berebutkan hadiah.
2. Rakan hadirin yang hadir terpaksa melihat sahaja hadiah hari jadi yang diterima
Kanak-kanak apabila melihat barang permainan yang terbaru atau hadiah barbie doll atau superhero yang cantik-cantik, pasti teringin juga di hati untuk bermain dengannya.
Namun, mungkin ada anak kecil yang telah faham, ia bukanlah hadiah mereka. Akibatnya, mereka memendam rasa dan mungkin terbit juga rupa sedih atau cemburu di wajah mereka.
Mungkin bagi sesetengah orang, ia merupakan satu perkara yang remeh. Tetapi, adakah itu yang kita inginkan pada hadirin yang datang meraikan majlis hari jadi anak kita?
Bukankah lebih manis kalau mereka bergembira bersama-sama, bermain aktiviti menarik lain yang telah disediakan. Hadiah tersebut? Biar sahaja si kecil kita yang mengetahuinya nanti selepas rakan-rakannya pulang ke rumah.
3. Apa yang akan berlaku jika anak anda tidak gembira dengan hadiah yang diterimanya?
Ini merupakan lagi satu persoalan besar yang menyebabkan ramai para ibu membuat keputusan untuk tidak mengadakan sesi membuka hadiah di hadapan para jemputan. Mereka lebih cenderung untuk melakukannya selepas majlis berakhir.
Kerana apa? Ada kemungkinan yang anak kita tidak menggemari hadiah yang telah diterima daripada rakan-rakan mereka. Kalau tidak menangis pun, pasti mereka mengomel atau merungut, kadangkala dengan nada yang kuat. Lagi teruk, takut-takut si kecil anda mencampak hadiah tersebut.
Jadi, untuk mengelakkan daripada reaksi kurang manis anak anda ditonton oleh rakan-rakan dan ibu bapa yang lain, lebih elok kiranya jika sesi membuka hadiah hari jadi tidak dibuat ketika majlis sedang berlangsung.
Membuka Hadiah Di Rumah Bersama Ibu Bapa dan Adik Beradik Adalah Lebih Selesa dan Jauh Dari Drama!
Rasanya, kita semua setuju yang ada banyak benda yang boleh berlaku jika kanak-kanak yang lain menonton anak anda membuka hadiah-hadiah yang telah diterima di hadapan mereka.
Untuk majlis yang lebih lancar dan jauh daripada tangisan, pergaduhan atau rungutan anak kecil, mungkin lebih elok jika hadiah-hadiah itu tidak dibuka di hadapan para jemputan, dan dibuka ketika berada di rumah sahaja, kan?
Bagaimana pula dengan anda? Mungkin anda ada pendapat tersendiri tentang isu ini? Kongsikannya bersama kami di ruangan komen ya. Kami ingin mendengar dari anda!