Banyak amalan keibubapaan yang diamalkan oleh kita kini, diturun atau dipinjamkan daripada generasi sebelum ini.
Memang sudah menjadi kebiasaan di Malaysia, generasi terdahulu katanya “lebih makan garam” dan tahu segala perkara. Tapi tak semua amalan keibubapaan yang diturunkan oleh mereka membawa kebaikan sekarang!
Kajian saintifik dan penyelidikan psikologi telah banyak membuktikan yang beberapa amalan ini tidak sihat dan patut ditukar.
Jadi, jika anda ada mengamalkan sebarang amalan keibubapaan yang diberi dari “orang dulu-dulu”, cuba tengok semula apa kata doktor pakar!
1) Paksa anak menghabiskan semua makanannya
Ya, pembaziran itu amalan syaitan. Anda tak mahu anak-anak membazir. Tapi, kanak-kanak memang terkenal cerewet dan kadangkala mereka TAK MAHU makan. Ibu bapa sering memarahi anak-anak dan memintanya menghabiskan makanan dalam pinggan.
Dan pakar mengatakan amalan itu memberi kesan negatif dalam jangka panjang!
Maryann Jacobsen, pakar pemakanan dan nutrisi keluarga menjelaskan – amalan memaksa kanak-kanak menghabiskan makanan yang dia tidak mahu akan mengakibatkan mereka “hilang keupayaan” untuk mengenali dan membezakan tanda-tanda dalaman badan bagi kelaparan atau kekenyangan, kelak.
Apabila mereka membesar, mereka gagal mengenali intuitif badan untuk isyarat pemakanan. Kanak-kanak ini juga berisiko tinggi untuk makan secara berlebihan dan mengalami obesiti. Biar anak anda makan mengikut kemahuannya. Janji anda pantau apa yang dia makan. Biar dia pupuk “hubungan yang sihat” dengan makanan!
2) Ibu bapa enggan puji anak sendiri
Ibu bapa di Malaysia masih menganggap yang “pujian” akan buat anak mereka menjadi manja dan mengada-ngada. Oleh sebab itu, ramai ibu bapa amat berdisiplin tentang hal ini.
Tapi, pujian sebenarnya adalah satu mekanisme maklum balas penting untuk anak-anak anda. Mereka masih sedang belajar. Jika anda tak beri sebarang pujian, dan hanya beri makian, anak-anak akan membesar tanpa keyakinan.
Pujian memberi motivasi pada mereka. Kajian dari Universiti Colombia menunjukkan anda perlu memuji usaha mereka. Ia akan meningkatkan motivasi diri untuk menghadapi sebarang halangan!
3) Ibu bapa enggan cakap tentang kematian
Bab kematian masih satu taboo di kalangan masyarakat. Semuanya mungkin sebab tak mahu menyentuh sebarang isu sensitif. Ibu bapa lazimnya akan “mengelak” soalan ini, takut menyakiti kanak-kanak.
Tapi, pakar menggalakkan ibu bapa bersifat terbuka tentang kematian dengan anak-anak! Jika anak anda menerima jawapan yang jujur tentang kematian dan kehilangan, mereka akan lebih bijak mengendali situasi itu! Mengekalkan dialog terbuka tentang kematian juga akan membuatkan anak anda lebih bersedia menghadapinya tanpa sebarang trauma.
4) Bercakap tentang isu seksualiti? Tak boleh juga!
Satu lagi topik taboo yang jarang dibincangkan oleh ibu bapa di Malaysia. Bila anak mula tanya tentang isu seksualiti, semua ibu bapa mula garu kepala. Mereka risau jika anak-anak terdedah terlalu awal kepada pengetahuan seksual, mereka akan menjadi “liar”,
Tapi, tahukah anda yang menurut laporan Children Welfare Information Gate, kanak-kanak perempuan lebih terdedah untuk dicabul, memiliki 1 daripada 4 peluang, berbanding lelaki??!! Jadi, sebelum apa-apa terjadi, lindungi anak anda! Bagaimana? Penyelidikan menunjukkan ibu bapa perlu lebih jujur tentang “seksualiti” dengan anak-anak.
Menurut Heatlhhub Singapore lagi, kanak-kanak yang terbuka untuk bercakap tentang isu seksualiti dengan ibu bapa mereka kurang cenderung untuk melibatkan diri dalam aktiviti seksual yang berisiko.
Jika anda buat isu seksualiti satu “perkara misteri” pada anak-anak, mereka akan terdedah untuk mencuba. Apa yang paling buruk – mereka mungkin terdedah pada pemangsa seksual!
5) Hubungan dengan orang dewasa dan orang tua
Menghormati dan mentaati orang tua dan orang yang lebih dewasa adalah budaya di Malaysia. Ia akar umbi yang membesar bersama-sama dengan masyarakat.
Tapi, hati-hati. Orang tua mungkin harus sentiasa dihormati dan ditaati. Tapi tidak semua orang dewasa!
Ingat yang ramai pemangsa seksual juga terdiri daripada orang dewasa yang dekat dengan kanak-kanak!
Jadi, berhenti ajar anak-anak anda yang semua kata-kata orang dewasa itu betul. Biar mereka berfikir. Galakkan kemahiran pemikiran kritikal. Jika ia sesuatu yang berbahaya dan tidak betul, anak anda boleh bersuara. Atau sekurang-kurangnya beritahu anda.
Bagaimana? Bersedia untuk buang semua amalan keibubapaan yang ketinggalan zaman dan tak berfaedah ini? Semoga berjaya! Buat apa nak ragu-ragu? Semuanya bukan berfaedah untuk anak anda, pun!
Artikel diterjemah daripada: The Asianparent Singapore