Bagi para ibu mengandung, selain melengkapkan diri dengan keperluan fizikal, keperluan rohani dan mental juga perlu dititik beratkan. Bahan bacaan yang sesuai seperti buku panduan kehamilan dapat membantu para ibu menyiapkan diri mereka untuk berdepan dengan hari-hari kehamilan, saat bersalin serta berpantang nanti.
Kini terdapat banyak buku panduan kehamilan untuk para ibu jadikan sebagai panduan. Entri kali ini, merupakan sedikit perkongsian tentang 5 buku panduan kehamilan yang anda harus baca.
1. Buku Manual Kehamilan
Buku ini ditulis oleh Tengku Azmanira Raja Husin @ Kak Engku, merupakan Ketua Jururawat, Bidan berdaftar dan kaunselor penyusuan. Beliau menghimpunkan info dari 4 himpuan ilmu iaitu syariat islam, sains perubatan moden, perbidanan melayu, dan perubatan tradisional melayu.
Selain ilmu berkenanan menghadapi fasa kehamilan, buku ini juga menyentuh tentang menghadapi kelahiran, penjagaan berpantang serta penyusuan ibu.
2. Diari Hamil: Menanti Detik Keindahan Bersamamu (Panduan Lengkap Kehamilan)
Kompilasi hasil tulisan dari Khairun Nisa’ Zakaria, Muhd Mawardi Zakaria dan Khulwana Hanapi. Diari hamil ini disusun untuk kegunaan dan rujukan ibu dan bakal ibu sepanjang tempoh mengandung orang baru yang bakal lahir.
Semua orang mengimpikan cahaya mata yang sempurna dan soleh atau solehah. Sebagaimana Allah merancang, anda juga perlu merancang sebuah kelahiran yang cemerlang. Buku ini membantu anda dalam perancangan ke arah ini.
3. Tahniah, Anda Hamil!: Panduan Kehamilan, Kelahiran, dan Pengurusan Anak
Gabungan penulisan dari Muhammad Mawardi Bin Zakaria, Siti Fairuz Binti Zulkefeli, Mohammad Rizalmazli Bin Salim, dan Muhammad Yusuf Bin A Kadir. Buku ini diterbitkan sebagai persediaan awal bakal ibu dan bapa menyambut kelahiran anak buat kali pertama.
Boleh dijadikan panduan sepanjang tempoh kehamilan, kelahiran dan perkembangan anak-anak sehingga 3 tahun. Setiap maklumat disampaikan dengan bahasa yang jelas, mudah difahami dan disertakan gambar yang menarik serta diakui oleh pakar bidang bertauliah. Sebagai persediaan supaya ibu bapa sentiasa peka dengan perubahan fizikal dan mental anak-anak.
4.Kehamilan Dari Prakonsepsi Sehingga Kelahiran
Buku terbitan BabyCenter Malaysia ini mengandungi panduan utama untuk fasa awal kehamilan, kelahiran, sehingga minggu-minggu terawal bersama bayi baru lahir. BabyCenter adalah sumber rujukan yang boleh dipercayai oleh lebih 16 juta ibu bapa di seluruh dunia.
Buku panduan kehamilan oleh BabyCenter adalah paduan sahabat, ibu, doktor, bidan, dan doktor obstetrik, yang memaparkan gabungan kepakaran profesional antenatal dan tips praktikal daripada para ibu bapa yang pernah mengalami situasi sama.
Apa yang selamat? Apa yang boleh saya makan? Mengapa saya begitu penat dan beremosi? Bagaimana saya akan tahu yang masa bagi melahirkan sudah tiba? Buku panduan kehamilan oleh BabyCenter ini ada jawapan bagi semua pertanyaan ini.
5. Mudahnya Bersalin: Panduan Khas Untuk Ibu Hamil
Buku ini telah ditulis oleh Fadillah Nur Abdul Rashid. Pernikahan yang terbina atas dasar cinta suami dan isteri akan lebih lengkap dengan kehadiran zuriat. Tatkala menerima perkhabaran positif si isteri disahkan hamil, pasti terukir senyuman di wajah pasangan yang bakal menyambut cahaya mata. Namun sejauh manakah golongan wanita khususnya benar-benar bersedia melakukan persiapan untuk bersalin?
Persoalan inilah yang menjadi tanda aras untuk penulis menerbitkan buku Mudahnya Bersalin sebagai panduan khas untuk ibu yang hamil. Pembaca akan didedahkan dengan menyelami kisah suka dan duka liku-liku proses melahirkan anak dan amalan berpantang yang dirasai hasil pengalaman penulis sendiri.
Tidak ketinggalan dalam kupasan buku Mudahnya Bersalin ini mengenai elemen yang amat dititikberatkan buat golongan ibu hamil yakni aspek pemakanan yang selama ini sering dipandang enteng. Ketahui juga beberapa menu ringkas terbaik buat ibu menyusui.
Tidak rugi melabur dalam bahan ilmiah seperti ini. Bahan bacaan seperti ini dapat membantu menyediakan para ibu bapa untuk lebih bersedia menghadapi dunia baru.