Perkara “selfish” yang patut ibu buat untuk diri sendiri
Ada sesetengah wanita, apabila menjadi ibu, kebanyakkan aspek tentang dirinya tidak lagi menjadi keutamaan. Suami dan anak-anak sering mendapat tempat pertama.
Ini bukanlah suatu perkara yang memeranjatkan. Kini, kita semakin rasa bertanggungjawab tentang kehidupan insan istimewa dalam hidup kita yang memerlukan perhatian seorang isteri dan ibu.
Tapi, ini tidak bermakna yang seorang ibu itu patut berhenti memberikan perhatian kepada keperluan diri. Malah, amat penting untuk mereka terus memanjakan diri secara fizikal, emosi dan mental.
Ia supaya mereka dapat terus menjadi seorang isteri dan ibu yang baik.
Malangnya, ramai antara kita yang menganggap apabila seorang ibu itu memanjakan dirinya, itu bermakna dia sedang berlaku “selfish”, atau mementingkan diri sendiri.
Dalam artikel Family Share, seorang ibu, Hannah Rose, berkongsi cerita. Padanya, golongan ibu patut melakukan beberapa perkara “selfish” berikut:
1. Pergi berurut di spa
Selepas berpenat-lelah seharian tanpa henti menguruskan hal rumah dan anak-anak, ibu-ibu sememangnya layak untuk menerima urutan dan sesi spa yang menenangkan.
Ia dapat melembutkan semula otot-otot yang tegang. Malah, para ibu dapat berehat seketika daripada hiruk-pikuk dan jeritan anak-anak di rumah.
Anda boleh pilih sama ada untuk menikmati sesi berurut di spa secara berseorangan, atau untuk lebih meriah, ajak rakan perempuan anda yang lain!
2. Beli barang (mahal) yang diingini
Ibu-ibu memang selalu tidak berkira apabila ia melibatkan barang anak-anak dan juga, kadang-kadang barang suami.
Tetapi, apabila ia adalah tentang barang yang diingini untuk diri sendiri, kita selalu melupakan keinginan kita dengan menganggapnya tidak penting dan tidak perlu dibeli.
Sekali-sekala, apa salahnya anda beli barangan yang anda inginkan, demi kepuasan diri sendiri. Ingatlah, diri anda yang gembira akan pasti dapat menggembirakan orang lain!
3. Cuti berdua dengan suami
Apabila kita ada anak, selalunya percutian keluarga itu akan lebih menjurus kepada aktiviti dan kehendak anak-anak.
Jarang sekali si ibu dapat melakukan perkara yang digemarinya (*ehem*shopping*ehem*) kerana bagi anak-anak, itu aktiviti yang membosankan.
Jadi, amat penting untuk si ibu pergi bercuti secara berdua dengan suami sahaja.
Ia bukan sahaja bermanfaat untuk wanita tersebut, di mana dia dapat berehat seketika daripada tugas “ibu”, malah dapat mengeratkan hubungan suami isteri. Ia adalah ala-ala honeymoon kedua!
4. Bersosial dan berjumpa kawan
Hubungan emosi dengan orang lain masih lagi penting buat para ibu. Hidupnya tidak sepatutnya hanya terperap di rumah sahaja.
Perhubungan sosial antara ibu dan rakan perempuannya dapat memberikan perspektif segar dan meluaskan pemikirannya.
Jadi sekali-sekala, pergilah keluar dengan rakan dan rehatkan diri dengan melakukan aktiviti bersama-sama dengan kawan-kawan perempuan anda.
5. Ada hobi baru
Selain itu, antara perkara ibu patut buat adalah mempunyai hobi yang dapat menggembirakan hati.
Jika anda suka menulis, jadikan ia hobi dan masukkan dalam rutin harian anda. Kalau anda gemar bermain boling, curi masa untuk melakukannya (dengan suami sewaktu berdating berdua!).
Hobi-hobi sihat sebegini sebenarnya membantu mengekalkan tahap emosi dan mental yang sejahtera.
6. Ambil gambar sendiri atau berdua dengan suami
Apabila sudah menjadi ibu, sudah pasti smartphone kita akan penuh dengan gambar keluarga dan anak-anak.
Bagaimana pula dengan gambar anda seorang? Atau, adakah anda ada mengambil gambar berdua dengan suami, tanpa anak-anak?
Lakukan aktiviti “selfie” seorang atau berdua dengan suami. Ia dapat membantu meningkatkan keyakinan diri anda!
Sumber: The Asian Parent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Para Ibu Sekalian, Jom Ambil Sedikit “Me Time” untuk Bersendirian dan Berehat