Selalu Terjerit Bila Marah Anak? Cuba 7 Cara Ini Untuk Lebih Relaks

Anda selalu tertinggi suara, terjerit dan sering memarahi anak dengan kasar? Jom cuba 7 cara ini untuk anda boleh lebih bertenang.

Tiada ibu bapa yang sempurna, dan kita sendiri merasa bersalah apabila perlu memarahi anak. Apatah lagi sekiranya ibu bapa terjerit atau tengking anak yang masih kecil!

Terjerit Ketika Memarahi Anak-Anak

Biasalah itu kita ibu bapa ini “terjerit” sedikit (betul ke sedikit?) bila memarahi anak-anak. Kalau macam zaman dulu-dulu, mak bapa kita lagi dahsyat.

Mereka “terjerit” sambil tibai punggung dengan rotan! Punya nak tunjuk rasa marah dia itu! 

Tapi, sejak zaman semakin maju dengan kemudahan teknologi di hujung jari, kita semakin “buka minda” tentang tak ada baiknya kita terhilang sabar dan menjerit pada anak-anak. 

Mereka boleh hilang keyakinan diri. Bahkan, proses pembelajaran mereka juga mungkin akan terbantut!  

Jadi, jom lah sama-sama kita kurangkan aksi “terjerit” bila nak memarahi anak dan cuba cara yang lebih tenang, okay?

Kenapa Ibu Bapa Menjerit Bila Memarahi Anak?

Kredit: Huffington Post

Sebelum kita bincang bagaimana anda boleh cuba 7 cara untuk bawa bertenang dan elak diri daripada terjerit pada anak-anak, mari kita ketahui kenapa kita selalu buat perangai ini dulu.

Kita semua tahu tiada ibu bapa yang sempurna. Kadang-kadang kita tak berniat pun nak memarahi anak dengan jeritan yang kuat. 

Salah satu sebab ibu bapa selalu terjerit bila memarahi anak adalah kerana kecewa.

Mungkin sebab anak asyik ulang perangai yang sama beberapa kali. Sampai tak tertahan dah amarah ini!

Sebab kedua adalah tekanan. Semua orang ada stress masing-masing.

Tapi, sebagai ibu bapa yang bijak: anda kena tahu mengendali stress anda dan jangan “lepaskan” pada anak-anak.

Jadi, jom cuba 7 cara di bawah untuk mengubah tabiat kita yang kurang baik ini dan bina hubungan yang mesra dengan anak-anak. Okay?

7 Cara Mengatasi Kemarahan Bila Marah Anak

#1 Berpura-pura Anda Di Tempat Umum

Cuba bayangkan anda di tempat umum. Mesti anda taknak menjerit pada anak-anak, kan? Cuba cakap dengan lembut dan beritahu dia kenapa anda marah.

#2 Minta Bantuan

Jika anda selalu sangat menjerit pada mereka, cuba minta bantuan pasangan atau anak yang lebih besar untuk “mengingatkan” anda agar jangan buat sedemikian.

#3 Tarik Nafas

Tarik nafas sedalam-dalamnya. Ia boleh buat anda bertenang dan tak “mengamuk” terus.

#4 Ambil Masa Untuk Bersendiri

Kadang-kadang, masa untuk diri sendiri amat penting. Anda boleh duduk bersendirian sekejap, bertenang dan kosongkan fikiran anda.

#5 Pejam Mata

Jika ada sesuatu terjadi dan anda terasa nak memaki semua yang ada, cuba pejamkan mata.

Anda boleh menjerit, memaki dan menghamun sesiapa pun dalam minda anda sekarang.

Lepas semua selesai, baru anda buka mata dan kendali situasi dengan tenang.

#6 Bisik Dan Cakap Dengan Anak

Apa kata anda jadikan habit bila anda marah, cuba bisikkan kata-kata anda pada anak-anak? Ia terbukti berkesan!

#7 Tinggalkan Tempat Kejadian

Kalau anak anda buat sepah, cepat bawa anak anda dan diri anda juga masuk ke dalam bilik lain.

Tinggalkan “tempat kejadian”. Jangan sibuk nak kemas tika anda tengah marah. Bawa bertenang dan nanti baru anda kemas.

Tapi…

Kalau anda termarah dan tertinggi suara juga, macam mana?

Hmm, tak apa ibu bapa semua. Kita akan belajar daripada kesilapan, kan? Lain kali kita cuba untuk kawal kemarahan ini dan didik anak dengan betul juga. 

Sumber rujukan: India Parenting

Baca juga: 

Apa Nak Buat Selepas Kita Termarah Anak Kita dengan Kasar?

Penulis

Ayu Idris