Amalan melakukan open house, sangat disyorkan setiap kali menjelangnya Aidilfitri. Sebab itu, adab melayan tetamu ini harus diambil berat oleh tuan rumah.
Adab melayan tetamu ini harus dijaga dengan baik supaya kedua-dua belah pihak rasa seronok dengan amalan ziarah-menziarahi itu.
Amalan mengadakan rumah terbuka ini boleh menjadi satu ladang pahala bagi tuan rumah agar dapat mendekatkan dirinya dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Selain itu, tetamu adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Makanya, tuan rumah berhak sempurnakan dan bertanggungjawab terhadap hak tetamu selagi dia menjadi tetamu anda.
Dari situ dapat mencerminkan anda merupakan tuan rumah yang baik dan berakhlak mulia. Berikut kami kongsikan adab melayan tetamu yang boleh tuan rumah jadikan panduan.
10 Adab Melayan Tetamu Di Hari Lebaran
Adab melayan tetamu #1. Jemput tetamu dengan niat dapat pahala
Jika ingin membuat rumah terbuka, pasangkan niat untuk mendapat pahala dengan memberi dan mengajak orang makan di rumah.
Bersihkan hati dari niat ingin menunjuk-nunjuk, riak atau mengharapkan orang memuji kebaikan anda.
Niat yang betul pastinya dapat ganjaran pahala yang berlipat ganda bermula dari awal menjamu orang makan sehingga mereka pulang ke rumah masing-masing.
Adab melayan tetamu #2. Hadkan bilangan tetamu
Pastikan bilangan tetamu yang dijemput mengikut kemampuan anda supaya setiap tetamu dilayan sama rata dan anda dapat memberikan layanan yang baik serta berkualiti.
#3. Menerima tetamu dengan wajah yang ceria
Ketika tetamu memberi salam jawablah ia dengan sopan dan berlembut serta mempamerkan wajah yang manis.
Jangan sesekali menunjukkan riak kurang senang dengan kehadiran tetamu, mempamerkan wajah letih atau riak wajah yang tidak sepatutnya di hadapan mereka. Kalau ada masalah sekalipun, jangan tunjuk depan mereka. Cuba-cuba sembunyikan dahulu masalah anda itu.
Selepas menjemputnya masuk ke dalam rumah, jangan terus hidangkan mereka makanan tapi beri minuman dahulu dan bersembang dengan ramah tamah seperti bertanyakan khabar mereka, perkembangan diri dan lain-lain.
Kemudian barulah makanan dihidangkan dan jemput mereka makan.
#4. Berpakaian kemas dan bersih
Maksud berpakaian kemas dan bersih ini bukanlah sampai anda kena pakai baju yang mahal-mahal, mewah dan sebagainya tapi mestilah pakaian yang bersih dan berbau wangi.
Ini kerana, pakaian tuan rumah juga melambangkan bagaimana dia menerima tetamunya dan menunjukkan bahawa anda berasa seronok apabila ada tetamu yang berkunjung ke rumah.
#5. Tidak membezakan layanan terhadap tetamu
Jangan sesekali membezakan layanan terhadap tetamu yang hadir berasaskan jawatan, pangkat dan manfaat yang kita dapat darinya.
Janganlah berbuat begitu kerana anda juga yang mengajak mereka jadi layan mereka dengan baik.
Ini kerana jika anda layan mereka acuh tak acuh mungkin tetamu akan berasa seolah-olah mereka pula yang terhegeh-hegeh ingin datang ke rumah anda.
#6. Menjamu makanan terbaik dan sesuai dengan kemampuan
Menghidangkan tetamu makanan dan minuman yang terbaik juga merupakan salah satu hak yang harus dipenuhi oleh tuan rumah.
Jangan biarkan tetamu menunggu lama dan menanti makanan dihidangkan sehingga mereka pulang.
#7. Berusaha gembirakan tetamu semasa datang beraya ke rumah kita
Anda juga perlu sentiasa prihatin dengan keadaan tetamu yang datang dan memenuhi segala keperluan mereka.
Apa yang anda boleh buat adalah memerhatikan wajah dan bahasa tubuh tetamu serta tanyakan jika dia memerlukan bantuan seperti ingin ke tandas, bersolat dan sebagainya.
Jika ramai tetamu di rumah, pastikan anda membersihkan pinggan dan meja makan dengan lebih kerap.
Kemudian jika ada tetamu yang berseorangan temankan dia sebentar supaya tetamu tidak berasa malu.
#8. Jaga percakapan dan tingkah laku tetamu
Pastikan percakapan dan tingkah laku kita sentiasa terjaga semasa tetamu ada di dalam rumah.
Kalau anak tetamu agak nakal, tegur dengan cara berhemah dan berlemah lembut supaya tidak mengecilkan hati tetamu yang datang ke rumah anda.
Selain itu, elakkan juga bertanyakan soalan-soalan yang sensitif terutama kepada tetamu yang kurang rapat dengan anda.
Walaupun kita tidak berniat namun jangan sesekali mengambil risiko ini bimbang tetamu tersebut terluka hatinya dan mengganggu emosinya.
#9. Hantar dan iringi tetamu yang ingin pulang
Menurut Hadis Riwayat Ibnu Majjah, Sabda Rasullah SAW, Sesungguhnya merupakan perbuatan yang sunnah apabila seseorang (tuan rumah) keluar bersama-sama tamunya sampai ke pintu halaman.
Setelah bersalaman dan sampai ke muka pintu pelawa lagi tetamu datang ke rumah anda dan sebaiknya melambai tangan ke arahnya.
Ingat, amat tidak sopan jika tuan rumah terus masuk ke dalam rumah sejurus tetamu keluar dari pintu rumah.
#10. Ucapkan terima kasih dan penghargaan
Selepas tetamu pulang, tidak salah jika anda mengucapkan terima kasih di atas kehadiran mereka ke rumah terbuka anda.
Kemudian kalau ada ambil gambar , share moment tersebut dalam whatsap kemudian boleh la upload dalam Facebook, Instagram dan lain-lain.
********************
Banyak kemuliaan yang diperolehi jika tuan rumah memuliakan tetamu kerana anda akan selalu dimurahkan rezeki dan mendapat keredhaan dunia dan akhirat.
Kalau ada anak-anak tetamu yang nakal, tak tahu duduk diam, berlari sana sini dalam rumah anda. Sebaiknya tegur mereka dengan cara yang baik atau alihkan perhatian mereka pada aktivit lain seperti minta mereka menonton tv, letak barang mainan di hadapan mereka, membaca buku dan sebagainya.
Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa memuliakan tetamu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Foto: Project Travel
Sumber: Raihan Awaken
Baca juga: