Adakah bayi dilahirkan dengan personaliti bayi tertentu? Ya, sebenarnya sebaik sahaja bayi dilahirkan, dia memang dilahirkan dengan personaliti sendiri! Haaa.. ini bermakna kalau anak anda jenis yang kuat merengek sejak kecil, mungkin apabila semakin membesar perangai si manja pun akan sama sahaja.
Selepas beberapa bulan dilahirkan, personaliti bayi anda akan berubah mengikut beberapa faktor antaranya:
- Hormon kehamilan dan bagaimana ini memberi kesan pada anda
- Sokongan yang anda dapat daripada keluarga dan kawan-kawan
- Diet pemakanan
- Tahap kesihatan
- Jangka masa bersalin
- Situasi bersalin
- Perkembangan otak bayi menjadi matang lebih pantas
Teruskan membaca agar anda dapat lebih memahami kelakuan bayi anda. Ketahui apa kata pakar berkenaan perkara ini.
Adakah Si Manja Dilahirkan Dengan Personaliti Bayi Tersendiri?
Ya, bayi memang dilahirkan dengan personaliti. Doktor dan pakar psikologi mengesahkan bahawa bayi memang dilahirkan dengan personaliti tertentu dan kenyataan mereka itu disokong oleh pelbagai kajian.
Para pengkaji percaya bahawa setiap anak bermula dengan satu set personaliti yang terdiri daripada sembilan ciri. Set personaliti inilah yang menentukan jenis personaliti bayi anda.
1# Bayi mellow
Bayi mellow adalah bayi yang tenang, tidak mudah terganggu dengan persekitaran yang asing dan biasanya tidak takut dengan orang yang tidak dikenali.
Bayi yang berpersonaliti begini pada kebiasaannya agak lambat berpusing, merangkak, berjalan dan bercakap.
Anda mungkin rasa bertuah jika anak anda tergolong di dalam golongan ini kerana tidak banyak kerenahnya tetapi harus diingat, segelintir bayi mellow agak ketinggalan di dalam pembelajaran sedangkan rakan-rakan sebayanya yang lain dapat ‘menangkap’ apa yang diajar dengan cepat dan mudah.
2# Bayi moody
Memang memeningkan kepala jika anak kita tergolong dalam golongan bayi moody kerana bayi jenis ini sangat sensitif terhadap persekitarannya.
Dalam sekelip mata sahaja dia boleh berubah daripada ketawa kepada menangis sekiranya ada sesuatu yang tidak kena pada pandangannya.
Bunyi bising, pergerakan secara tiba-tiba, orang yang kasar, semuanya boleh menjadi sebab untuk si bayi moody meragam.
Bayi moody, apabila meningkat remaja dikatakan agak lemah dalam menangani stress dan mempunyai otot-otot yang tegang. Mereka juga lebih mudah resah apabila berhadapan dengan sesuatu masalah.
Ibubapa yang mempunyai bayi moody perlu bijak mengenalpasti situasi-situasi yang boleh membuat bayi tidak selesa dan meragam dan cuba elakkan daripada bayi anda terpaksa berhadapan dengan situasi tersebut.
3# Bayi pemalu
Bayi pemalu mempunyai karakter yang lebih kurang sama dengan bayi moody iaitu tidak sukakan persekitaran yang asing.
Bezanya, bayi pemalu, seperti juga kanak-kanak pemalu, lebih cenderung untuk memencilkan diri apabila merasakan persekitarannya seperti ‘mengancam’ keselamatan dirinya.
Mereka ini lambat serasi dan menunjukkan tindakbalas pasif terhadap perkara-perkara yang baru – makanan, tempat, benda, orang.
4# Bayi ceria
Apa yang lebih menceriakan si ibu daripada mempunyai bayi yang sentiasa ceria? Bayi ceria secara keseluruhannya tidak banyak kerenah atau meragam.
Wajahnya sentiasa sahaja tersenyum dan girang. Berjumpa orang baru? Berada di tempat baru? Bukan masalah baginya kerana tidak seperti bayi pemalu atau moody, bayi ceria mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
Bayi ini hanya akan menangis apabila keperluannya tidak dipenuhi. Selain daripada itu, bayi jenis ini memang tidak banyak masalah.
Namun, bayi ceria mungkin akan membesar menjadi seorang yang terlalu mudah mempercayai orang yang baru dikenalinya.
Oleh itu adalah penting bagi ibubapanya mengajar anaknya itu tentang bahaya-bahaya berkaitan dengan orang yang tidak dikenali. Tetapi awas, jangan sampai kita menjadikan anak kita itu seorang yang prejudis!
Adakah bayi saya akan kekal begitu sehingga besar?
Kajian demi kajian menunjukkan bahawa personaliti seseorang bayi itu kekal bersama anak itu sepanjang hidupnya.
Tetapi ini tidak bermakna anda tidak boleh menjadikan bayi anda yang pemalu atau moody itu seorang yang lebih tenang dan mudah serasi dengan persekitaran baru.
Sebagai ibubapa, anda patut memberi rangsangan yang bersesuaian dalam membentuk personaliti anak anda.
Namun harus diingat, membuat make over terhadap personaliti anak anda mungkin akan hanya membuatnya stress dan menggagalkan usaha murni anda itu.
Oleh itu, kembangkan potensi yang sedia ada dalam diri si manja anda agar dia membesar menjadi individu yang unik. Pastinya ini lebih mudah daripada menongkah arus.
Semoga artikel ini membantu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sindrom Anak Kedua Selalu Menguji Kesabaran Ibu Ayah, Tapi Dialah Yang Paling Unik!