Mulut Berbau, Mengadu Pening Kepala Antara Tanda Anak Kurang Minum Air Putih!
Bagaimana untuk anda tahu anak anda cukup minum air putih atau sebaliknya? Kenali tanda-tanda kami kongsikan ini supaya anda lebih peka.
Air putih atau air kosong adalah keperluan kepada semua manusia yang mana jika kekurangannya ada beberapa perkara mungkin akan berlaku kepada kita.
Sama juga dengan anak, terutama yang semakin membesar, jika mereka kurang air putih, ada saja yang tidak kena akan berlaku pada anak.
Jadi bagaimana untuk anda tahu sama ada anak anda cukup minum air putih atau sebaliknya? Jika orang dewasa kita boleh agak, kalau cukup 8 gelas air sehari, sepatutnya sudah mencukupi keperluan airnya. Tapi bagaimana pula dengan kanak-kanak?
Kurang minum air putih punca mulut anak berbau
Mesti ada ibu ayah di luar sana yang buntu memikirkan cara untuk ajar anak minum air putih kerana anak hanya mahu air manis saja dan menolak mentah-mentah air masak.
Sebenarnya perkara ini terjadi mungkin sebab anak-anak ini tidak diajar dari kecil untuk minum air kosong malah mereka sentiasa diberikan air berperisa atau berwarna sejak di awal usia.
Kekurangan air atau dehidrasi ini berbahaya buat kanak-kanak kerana boleh menyebabkan pelbagai gangguan kesihatan dan kebiasaannya bermula dengan anak demam serta sesak nafas.
Ini antara tanda anak kurang minum air putih yang anda boleh periksa:
#1. Nafas berbau
Ini adalah tanda umum yang boleh ibu bapa sedari di mana nafas anak berbau tidak enak. Ini kerana air liur mengandungi antibakteria, jadi bila tubuh badan kurang cecair ianya akan memproduksi sedikit air liur lantas menyebabkan pembiakan bakteria dalam mulut menjadi banyak.
Perkara inilah membuatkan nafas jadi kurang sedap berbau dan ianya dapat dikesan bila anak itu bercakap.
Jadi jika anda kesan ini, cuba tambah kuantiti air putih anak anda.
#2. Mahu makan makanan manis
Bila badan anak kurang cecair, hati akan sukar mengubah nutrisi jadi glikogen dan sumber energi. Oleh itulah, anak lebih mudah untuk mengidam perkara yang manis-manis.
Mungkin dia akan asyik minta gula-gula pada anda. Atau mungkin juga nak minum air manis saja. Jadi ada kemungkinan anak anda kurang air putih jika anda perasan dia tiba-tiba mahu makanan manis-manis dan sebagainya.
#3. Mengantuk, tidak bermaya
Kalau anda perasan, anak sering kali mengantuk pada waktu bukan sepatutnya, mungkin dia kekurangan air. Ini kerana cecair dalam badan membawa oksigen, jadi bila kurangan oksigen, membuatkan kita rasa tidak bermaya dan mengantuk.
Jadi jika anak anda kelihatan tidak bermaya atau mengantuk, cuba semak keperluan air putih mereka. Adakah mencukupi.
#4. Anak pening kepala
Anak anda mungkin mengadu pening kepala jika mereka tidak cukup air. Seperti orang dewasa, anak kecil pun akan pening bila kekurangan air.
#5. Air kencing kuning
Ini adalah tanda umum yang diketahui semua. Bila kekurangan cecair dalam badan, tubuh akan memproduksi urin yang lebih pekat kekuningannya berbanding biasa. Ini adalah tanda paling mudah untuk dilihat. Jadi ibu pastikan anak dapat air yang mencukupi.
Panduan untuk ibu, kanak-kanak memerlukan 6 hingga 8 gelas air setiap hari. Jadi mungkin ibu boleh pastikan dengan kerap mengingatkan anak dan meminta mereka kira setiap kali minum.
Cara ajar anak minum air kosong
Kami kongsikan tips yang diberikan pakar pemakanan dan nutrisi ini mengenai bagaimana caranya mengajar anak kecil anda untuk kenal dan suka air kosong. Salah satunya adalah dengan cara pemberian air kosong mengikut usia.
#1. Enam bulan
- Guna sudu dan cuba suap sedikit.
- Cara pengiraannya adalah jika anda beri anak makan, jika tiga suap makanan makanan air kosong pun tiga suap menggunakan sudu.
- Ketika ini anak anda baru nak belajar menggunakan mulut untuk aktiviti selain dari sucking atau gigit
#2. Tujuh-lapan bulan
- Boleh gunakan cawan yang mempunyai straw
- Mulut (oral skills dan motor skills) makin kuat dan boleh aktiviti yang lebih mencabar.
- Waktu ini juga anak dah pandai pegang barang waktu makan, tapi belum tahap boleh suap sendiri lagi jadi boleh bagi cawan dengan straw.
#3. Sembilan hingga 12 bulan
- Gunakan sippy cup
- Bila anak dah pandai suap sendiri, anak boleh juga minum air sendiri, aktiviti angkat cawan, letak mulut dan bengkok leher.
- Untuk mereka belajar minum perlu latihan dan praktis.
- Jika sudah pandai sedut, langkah seterusnya mesti boleh pegang cawan dengan baik.
- Jika anak tidak dilatih dengan baby led weaning (makan sendiri) akan nampak susah untuk anak guna sippy cup dan akan bergantung pada cawan straw dengan lebih lama.
#4. 12 bulan ke atas
- Guna cawan biasa
- Anak dah pandai suap sendiri, makan sendiri, semua sendiri dan masa ini mereka nak tiru mak ayah juga
- Penerimaan air dalam cawan lebih baik pada usia ini sebab anak boleh ikut gaya mak ayah masa makan.
- Penggunaan juga adalah selaras dengan perkembangan motor dan oral skills anak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Kredit foto: bumbumcak
Baca juga: Nourul Bagi Air Masak Pada Bayi, Ini Silapnya Beri Bayi Bawah 6 Bulan Air Masak, Ia Tetap BAHAYA!
Baca juga: Tips Ajar Anak Minum Air Kosong Ikut Umur, Barulah Mereka Suka – Pakar
Baca juga: Nenek Beri Cucu Usia 13 Hari Minum 6oz Air Masak! Parents, Tolong JANGAN Beri Air Masak Pada Bayi!