Kami pasti bahawa ramai di antara anda yang memiliki kemahiran bercakap dalam dua bahasa. Baik bahasa Inggeris mahupun bahasa Cina, sememangnya bahasa kedua yang dipelajari selepas bahasa ibunda ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Inilah yang membuatkan ramai ibu bapa ingin mengajarkan anak mereka bahasa kedua!
Tahukah anda?
Setiap orang mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk mempelajari bahasa asing. Ada yang dapat mempelajarinya dengan senang dan ada yang bergelut untuk mempelajarinya. Tetapi, kesimpulannya di sini, semua orang boleh mempelajarinya. Nak atau tidak sahaja.
Jom kita lihat apakah manfaat yang anak anda akan perolehi.
Manfaat belajar bahasa kedua untuk kanak-kanak
- Boleh belajar dengan lebih cepat dan mudah: Kemahiran berbahasa membantu membaiki fungsi otak dan mempertingkatkan kemahiran kognitif.
- Mudah menyelesaikan masalah: Kanak-kanak akan lebih mudah berfikir dan memahami sesuatu perkara yang membolehkannya menyelesaikan masalah.
- Menghalang penyakit mental yang berkaitan dengan usia: Ia mengurangkan risiko penyakit alzheimer iaitu penyakit pelupa.
- Membantu daya ingatan: Kemahiran bahasa kedua membantu mempertingkatkan daya ingatan kanak-kanak dan merangsang kemahiran kreatif mereka.
- Menambah keyakinan pada kanak-kanak: Mempelajari bahasa kedua membantu menambah keyakinan dalam diri kanak-kanak kerana pembelajarannya yang mudah. Ini sememangnya satu pencapaian buat diri mereka!
- Pendedahan kepada budaya: Apabila anak anda mempelajarinya sekaligus anak anda akan belajar mengenai budaya dan akan lebih menghargai budaya.
Anda berminat untuk memperkenalkan bahasa baru kepada anak anda? Bagus! Pasti anda ingin tahu bagaimana dan waktu yang sesuai untuk memperkenalkan bahasa baru kepada anak anda. Kami juga akan menjawab persoalan-persoalan anda mengenai pembelajaran bahasa kedua untuk anak anda!
Bilakah waktu yang sesuai?
Untuk pembelajaran bahasa, ramai pakar menyarankan agar anda mengajar anak anda bahasa asing seawal yang mungkin iaitu pada waktu kecil. Bayi dilahirkan dengan kebolehan untuk memimik bunyi apa sahaja bahasa dan apabila bayi sudah mencapai umur 10 bulan, barulah bayi dapat mengetahui daripada mana bunyi tersebut datang.
Menurut Parent.com, jika anda ingin memperkenalkan bahasa lain kepada anak anda, mulakan daripada tahun pertama dengan bercakap bahasa kedua dengan anak anda. Namun, jika anak anda masih belum mempelajari bahasa lain pada tahun pertama untuk membiasakan anak anda, adalah lebih baik untuk anda menunggu sehinggalah anak anda sudah menjangkau umur 2 tahun setengah ataupun selepas anak anda mula memahami dan mendapat pengetahuan mengenai kosakata dalam bahasa pertamanya.
Dengan mempelajari dengan lebih awal, ianya jauh lebih baik untuk anak anda berbanding mempelajarinya apabila mereka sudah besar.
Adakah anak saya akan keliru?
Ramai ibu bapa mempunyai tanggapan bahawa anak mereka akan keliru jika belajar bahasa kedua dan pada masa yang sama, mereka masih memahami dan mempelajari bahasa pertama mereka.
Sebenarnya, anak anda boleh membezakan bahasa sejak dari kecil lagi. Menurut Barbara Zurer Pearson, penulis buku Raising a Bilingual Child, kanak-kanak mempunyai kemampuan untuk membezakan. Kekeliruan mungkin wujud apabila kedua bahasa adalah lebih kurang sama tetapi apabila anak anda memasuki umur 6 bulan, mereka akan masih dapat membezakan kedua bahasa tersebut.
Jadi, ibu bapa janganlah risau! Anak anda mungkin nampak keliru tetapi sebenarnya anak anda boleh memahami tau!
Cara untuk mengajar
Mempelajari bahasa kedua adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan dan akan memberikan anak anda banyak manfaat. Mari kita baca!
#1 Mula dari awal
Anak anda diibaratkan seperti span yang boleh menyerap air. Dengan pembelajaran seawal yang mungkin, anak anda akan dapat belajar dengan lebih baik dan lebih mudah.
#2 Berborak dengan anak menggunakan bahasa kedua
- Bercakap dalam dua bahasa dengan anak anda. Ini kerana ramai ibu bapa yang menggunakan dua bahasa apabila bercakap dengan anak mereka.
- Anda juga boleh gunakan taktik seperti ibu dan bapa masing-masing bercakap bahasa berbeza seperti 1 parent, 1 language untuk memberikan anak anda lebih banyak pendedahan.
#3 Kenalkan anak anda dengan bahan bacaan atau rancangan TV dalam bahasa lain
Dengan pendedahan kepada bahasa kedua menerusi bahan bacaan ataupun rancangan TV, anak anda akan lebih mudah memahami bahasa kedua.
#4 Berlatih setiap hari
Kemahiran bahasa adalah seperti kemahiran lain juga. Ia memerlukan banyak latihan dan masa untuk memahirkan diri.
#5 Masukkan anak anda ke kelas
Kelas pengkayaan ataupun program bahasa dapat membantu anak anda bercakap bahasa kedua dengan mempelajarinya dalam keadaan yang menghiburkan dan menarik.
Sumber: asha.org
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Ajar Anak Anda 3 Bahasa Asing Ini Untuk Mereka Lebih Berjaya Kelak!