Bahaya pengecas telefon pada kanak-kanak
Bayi dan anak kecil memang suka memasukkan benda ke dalam mulut. Ini adalah salah satu fasa untuk mereka mengasah sensori dan ia adalah normal.
Jadi apabila si kecil berada di fasa penuh rasa ingin tahu ini, kita sebagai ibu bapa perlulah menyediakan persekitaran yang selamat untuk mereka.
Seorang ibu Courtney, baru-baru ini telah berkongsi tentang apa yang terjadi kepada anaknya yang berusia 19 bulan sebagai amaran dan peringatan kepada semua ibu bapa tentang keselamatan kanak-kanak di rumah.
Dalam kes ini, ia berkenaan pengecas telefon.
Anaknya telah memasukkan wayar pengecas yang terpasang ke dalam mulut dan aliran elektrik telah meninggalkan kesan lecur di tepi mulut si kecil itu.
Malangnya, disebabkan lokasi luka tersebut, tiada ubat yang boleh diletakkan. Jadi luka tersebut terpaksa dibiarkan pulih sendiri.
Amaran untuk semua ibu bapa tentang pengecas telefon dan kanak-kanak
Courtney dalam status Facebooknya mengatakan –
Sebenarnya saya tidak berniat untuk memuat naik tentang hal ini sehinggalah saya memuat naik ia di dalam kumpulan ibu-ibu dan mendapati tidak ramai ibu bapa tahu tentang bahaya pengecas telefon kepada anak kecil.
Pada 28 September, anak saya yang berusia 19 bulan telah memasukkan wayar pengecas telefon ke dalam mulutnya.
Kami telah berjumpa doktor dan mengenal pasti luka di hujung bibir si manja saya itu sebagai kesan terbakar akibat aliran elektrik.
Namun tiada apa yang boleh diletakkan untuk merawat luka itu kerana risau anak saya akan menjilat ubat tersebut.
Selalunya anak saya tidak akan dapat mencapai wayar ini namun kerana saya terlalu banyak urusan, saya tidak mengalihkan ia. Ia hanya mengambil beberapa saat sahaja sebelum dia melecur.
Dia tidak pernah cuba meletakkan ia ke dalam mulut sebelum ini dan tidak pernah mengganggu wayar itu.
Hari pengecas telefon itu tidak dialihkan, dia memasukkan pengecas tersebut ke dalam mulutnya dan mendapat kesan lecur yang teruk.
Nasib baik dia tidak rasa sakit dan tidak menunjukkan rasa terganggu dengan kesan lecur itu.
***Ibu bapa, atok nenek, penjaga tolonglah letak pengeas anda jauh dari capaian anak-anak. Anak saya bernasib baik, tetapi kanak-kanak lain mungkin tidak.
Courtney juga telah berkongsi beberapa foto kecederaan anaknya yang mampu menakutkan mana-mana ibu bapa.
Peringatan untuk semua ibu bapa – jauhi pengecas telefon anda dari kanak-kanak!
Kita semua sibuk dan sangat bergantung kepada telefon bimbit dan alat lain.
Namun, janganlah lupa mencabut pengecas telefon dan alat lain serta letakkan di tempat selamat jika ia tidak digunakan. Saya juga bersalah dalam perkara ini.
Apa yang terjadi kepada anak kecil ini adalah peringatan untuk kita lihat sejenak apa bahaya yang terbuka untuk anak kita di rumah yang mungkin kita tidak perasan.
Sumber: theAsianParent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga : Fasa Bayi Memasukkan Benda Ke Dalam Mulut – Bagaimana Pastikan Keselamatannya?