Dalam membesarkan anak, pasti kita akan memanjakan mereka baik dalam sedar ataupun tidak, kerana itu adalah sifat semulajadi semua ibu bapa. Mereka sentiasa hendak memberi dan berada di samping anak supaya si manja tidak perlu rasa kesusahan.
Tetapi, wahai ibu dan ayah, akan ada suatu masa di mana mereka akan mula membesar dan perlu belajar berdikari. Mereka perlu berfikir sendiri, dan membuat keputusan sendiri kerana tabiat ini akan dibawa sehingga ke umur dewasa.
Oleh sebab itu, ibu dan ayah tidak boleh terlalu memanjakan anak sehingga anak tidak tahu apakah yang terbaik untuk mereka. Jadi, teruskan membaca untuk mengetahui bagaimana anda boleh melahirkan anak yang berdikari.
Bilakah Waktu Yang Sesuai Untuk Anak Berdikari?
Mulalah menerapkan tabiat berdikari ke dalam diri si manja dalam seawal lingkungan 4-6 tahun. Pada umur ini, kanak-kanak sudah mula mempunyai perasaan hendak berdikari dan mempelajari skil-skil kehidupan yang akan kekal sehingga dewasa.
Pada umur inilah anda sepatutnya membentuk anak anda terbaik yang anda mampu. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Ibu dan Ayah Perlu Lakukan Cara Ini Untuk Melahirkan Anak Berdikari!
Kami faham, walaupun ianya lebih mudah untuk membuat segalanya sendiri, tetapi jika anda tidak memberi ruang kepada anak anda untuk belajar kemahiran baru, sampai bila-bila pun mereka tidak akan dapat buat.
Kemahiran yang dimaksudkan bukanlah hanya terhad kepada kemahiran motor halus dan kasar, tetapi juga kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan bermacam-macam lagi kemahiran harian yang si manja bakal gunakan apabila dia meningkat dewasa.
Oleh sebab itu, anda perlu mula gunakan cara-cara ini untuk menjadikan anak anda seorang yang berdikari.
1# Cara untuk anak berdikari: Biar mereka belajar sendiri
Jika anda melihat si manja ingin melakukan sesuatu yang baru, biarkan sahaja mereka. Ini menunjukkan mereka mempunyai minat dengan perkara tersebut. Contohnya, si manja hendak belajar membutang baju atau mengikat tali kasut sendiri.
Sekiranya anda terus datang untuk membantu mereka, lama-kelamaan mereka tidak akan berminat untuk mempelajari perkara baru kerana “Ibu ayah kan ada!”.
Kalau si manja hendakkan bantuan anda, tentu mereka akan memanggil anda jadi jangan terlalu risau. Setiap proses pembelajaran bagi kanak-kanak membawa impak yang besar kepada mereka nanti.
2# Cara untuk anak berdikari: Menghormati mereka sebagai individu
Untuk melahirkan anak yang pandai berdikari, anda perlulah menghormati mereka sebagai individu. Anda juga perlu banyak bersabar dengan proses pembelajaran mereka.
Dengan dua cara ini, keyakinan diri si manja akan mula bertambah dan dia akan lebih cenderung untuk mencuba perkara baru dengan sendiri oleh sebab mereka tahu ibu dan ayah pasti tidak akan memperlekehkan usaha mereka atau memberi mereka tekanan.
Sama juga seperti kita, apabila kita ditekan untuk membuat sesuatu perkara, pasti kita juga akan hilang minat kan?
3# Memberi mereka tugas-tugasan
Adakah rumah anda sentiasa bersepah dengan mainan-mainan si manja? Atau adakah ia kemas hanya kerana anda yang mengambil tanggungjawab untuk mengemas mainan anak? Berhenti!
Salah satu tugas paling mudah untuk anda berikan pada anak anda ialah menyuruh mereka mengemas sendiri mainan yang telah mereka sepahkan. Ini akan mengajar mereka kepentingan bekerjasama dalam kehidupan dan juga akan mengajar mereka erti tanggungjawab.
4# Memberi mereka ruang untuk memilih
Sekiranya anda sentiasa memilih itu dan ini untuk si manja, mungkin ini masanya untuk perlahan-lahan berhenti. Berikan si manja ruang untuk memilih apakah yang mereka mahukan secara sendiri untuk mengajar mereka kemahiran berfikir dan kemahiran penyelesaian masalah.
Apakah yang anda boleh lakukan untuk memberi ruang bagi mereka memilih untuk diri sendiri?
- Ketika berada di kedai makan, biar dia memilih apa yang dia hendak makan. Jika anda tahu si manja tidak akan makan makanan tersebut, anda boleh membantu mereka membuat pilihan dengan menasihati mereka tentang apa yang lebih baik.
- Di kedai mainan atau kedai buku, anak anda pasti akan rambang mata. Biarkan mereka untuk memilih apa yang mereka mahukan, tetapi dengan had. Nanti poket anda juga yang sakit!
- Biar si manja memilih pakaian sendiri pada hari tersebut, biar di siang hari atau pakaian untuk tidur.
5# Biarkan mereka belajar dari kesilapan
Anda tahu mengapa kita boleh membuat keputusan yang lebih baik sekarang? Kerana kita juga belajar dari kesilapan. Berikan peluang kepada si manja untuk belajar dari kesilapan mereka.
Jika si manja melakukan atau meminta sesuatu yang tentunya tidak elok bagi mereka, selagi ia tidak merbahaya, biarkan! Mereka akan lebih mudah belajar dan ingat apabila mereka dapati perkara tersebut tidak bagus.
Para ibu bapa, biarlah si manja belajar berdikari dan terluka sikit-sikit di dalam proses tersebut. Jika anda terlalu memanjakan mereka, tidak mustahil untuk si manja membesar dengan perangai entitled atau merasakan mereka berhak ke atas apa yang mereka mahukan atau si manja akan membesar dengan sentiasa membuat pilihan yang salah kerana mereka tidak biasa berfikir untuk diri sendiri.
Walaupun begitu, kami faham bahawa setiap pasangan ibu dan ayah mempunyai gaya keibubapaan yang sendiri. Oleh itu, kami ucapkan all the best kepada ibu bapa di luar sana 🙂
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Thrive Global
Baca juga: Biar anak kecil berdikari dan mengurus diri, adakah tindakan itu wajar?