Hari raya bakal tiba kurang lagi seminggu, kecoh di media sosial apabila isu ‘raya awal’ menjadi bualan rakyat Malaysia seperti yang berlaku pada tahun lalu meskipun ramai yang sudah tahu penentuan hari raya perlu ditentukan dengan melihat anak bulan terlebih dahulu.
Ramai dalam kalangan kita mula berteka-teki sama ada Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang jatuh pada 21 April iaitu pada hari Jumaat sehari lebih awal atau yang tercatat dalam kalendar, yang mana 1 Syawal jatuh pada 22 April (Sabtu).
Namun, umat Islam di Malaysia sebenarnya tidak perlu risau kerana ia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Penentuan anak bulan hari raya proses yang penting
Penentuan anak bulan Aidilfitri merupakan suatu proses yang penting dalam agama Islam. Penentuan ini dilakukan dalam rangka menentukan Hari Raya Aidilfitri atau permulaan Ramadan.
Proses penentuan ini dilakukan oleh para ulama dan ahli Falak dengan menggunakan berbagai kaedah iaitu melalui pandangan mata kasar atau menggunakan teodolite dan teleskop bagi proses pengamatan Hilal.
Hilal atau anak bulan merupakan fasa bulan yang paling nipis dan kurang bercahaya. Ia akan muncul selepas bulan mengalami fasa ijtimak atau fasa bulan gelap atau new moon.
Nabi Muhammad S.A.W mengajar kita melihat anak bulan untuk menentukan bila kita mula berpuasa. Dalam sebuah hadis oleh Nafi’ dari Ibnu Umar, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda tentang bulan Ramadan.
Terdapat tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijah iaitu pertama, ‘rukyah’ iaitu mencerap anak bulan semata-mata.
Kedua, ‘hisab falak’ iaitu kiraan hari semata-mata dan ketiga, ‘rukyah dan hisab’ dengan menggunakan ‘kriteria imkanur rukyah’ iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan.
Antara syarat anak bulan telah timbul adalah:
- Anak bulan yang dilihat berada tinggi yang tidak kurang dari 2 darjah di ufuk barat ketika matahari kian terbenam.
- Jarak lengkung anak bulan ke arah matahari ketika matahari terbenam adalah tidak kurang dari 3 darjah.
- Ketika bulan terbenam pada hari rukyah, umur anak bulan tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak berlaku.
Malaysia pakai kaedah rukyah dan hisab
Malaysia adalah salah sebuah negara yang mengamalkan praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah. Justifikasi pemilihan kaedah tersebut adalah sebagai penyelesaian jalan tengah yang dilihat lebih hampir kepada kehendak syarak.
Kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam pada akhir bulan ‘qamariah’ berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya.
Secara rasmi yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohon Raja-Raja Malaysia adalah tiga bulan sahaja, iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah. Pihak berautoriti bertanggungjawab menyusun dan menyemak Takwim Hijrah yang diguna pakai agar betul dan tepat dengan peredaran bulan sebenar.
Demikianlah, kaedah praktis penentuan anak bulan yang dilaksanakan pada setiap 29 haribulan hijrah oleh pihak berautoriti di Malaysia melalui Jabatan Falak di Pejabat Mufti setiap negeri dengan sinergi pakar dalam bidang astronomi dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Jangan Lupa Tunaikan Zakat Fitrah, Bayar Secara Online Mudah Sahaja!
Baca juga : Elak Datang Beraya Secara Mengejut, Ini 15 Perkara Anda Kena ELAK Bila Jadi Tetamu
Baca juga : Didik Anak Adab Terima Duit Raya, Jangan Didik Anak Jadi Pengemis Kata Ustaz Ini