Jika si manja kelihatan kurus, dikatakan tidak cukup makan. Tapi bila anak gemuk, mula naik geram dan mencubit-cubit pipinya yang tembam. Bukan itu sahaja, orang sekeliling mungkin suka peluk kerana menganggap anak seolah-olah bantal tidur.
Tidak dinafikan setiap ibu ayah ingin membekalkan makanan yang terbaik untuk anak-anak di rumah. Jika sekiranya mereka mula menunjukkan peningkatan selera dan menyukai makanan berat, anda mungkin perlu mengawalnya dengan segera.
Kesan anak gemuk dan berlebihan berat badan
Makan terlalu kerap dalam kuantiti yang banyak mampu mendorong pertambahan berat badan. Jika masalah ini tidak dibendung sejak anak masih kecil, potensi untuk mengalami obesiti adalah sangat tinggi apabila mereka dewasa kelak.
Menurut kajian dari University of Vermont di Amerika Syarikat, pola makanan yang tidak sihat sehingga menyebabkan berlakunya obesiti berkait rapat dengan kemampuan anak untuk membuat sebarang keputusan.
Pengkaji turut melakukan pemerhatian bagi mengetahui sejauh mana masalah kegemukan boleh mempengaruhi keupayaan otak untuk berfungsi. Ia menggunakan data 10,000 orang kanak-kanak dan remaja yang dikumpul oleh National Institute of Health dan mereka dipantau selama 10 tahun.
Setiap dua tahun sekali, para pengkaji melakukan temu bual, ujian untuk berfikir dan mengambil sampel darah.
Hasilnya, anak gemuk dengan berat badan berlebihan memiliki perkembangan otak yang terhad. Mereka memiliki indeks massa tubuh (IMT) tinggi cenderung memiliki celebral cortex lebih nipis, terutamanya pada bahagian prefontral otaknya.
Adakah masalah obesiti merosakkan perkembangan otak anak?
Masalah berat badan berlebihan dapat mempengaruhi perkembangan otak anak-anak. Namun ia tidak bermakna otak si manja boleh menjadi rosak.. Hasil kajian awal tidak begitu jelas dan perlu dikaji semula adakah obesiti atau penipisan cortex otak terjadi terlebih dahulu.
Para pengkaji menduga bahawa perubahan struktur otak pada anak yang mengalami obesiti disebabkan oleh keradangan dan sekaligus mempengaruhi perkembangan sel otak.
Manakala cortex celebral yang nipis berupaya menganggu kemampuan anak dalam membuat keputusan termasuklah pemilihan pola makanan. Hal ini menyebabkan mereka tidak menyukai sayur dan buah, tetapi lebih cenderung mengambil makanan tinggi gula, garam dan lemak trans.
Sekiranya ibu ayah tidak mengawasi pengambilan makanan ini, anak-anak akan terbiasa dengan pemakanan tidak sihat serta sukar untuk mengubah tabiat ini kerana ia diajar sejak kecil lagi.
Tips mengelakkan kesan buruk masalah berat badan berlebihan pada anak
Tanpa bimbingan dan kawalan dari ibu ayah, pola makan yang keliru ini dapat berlanjutan sehinggalah anak menginjak usia dewasa. Masalah obesiti akan bertambah serius dan ‘menjemput’ pelbagai gangguan kesihatan untuk jangka panjang.
Namun, anda boleh mencegah keadaan ini dengan mengajak si manja menjalani pola makanan sihat. Antara langkah yang dapat dilakukan ialah:
- Menyediakan snek yang menyihatkan
- Memberikan makanan mengikut keperluan
- Mempelbagaikan sayur dan buah di rumah
- Menyediakan variasi protein seperti daging, ayam, telur dan kekacang.
- Membiasakan anak minum banyak air kosong.
- Mengurangkan makanan tinggi gula dan lemak trans
Sekiranya anda mendapati anak mula berselera tinggi ketika makan, ia adalah sesuatu yang normal. Adalah lebih selamat jika anda menitikberatkan penyediaan menu memasak ke arah lebih sihat dengan nutrisi optimum seperti sedikit nasi, sayur, lauk dan buah.
Elakkan menyimpan stok makanan manis seperti snek tidak berkhasiat, bertih jagung ataupun gula-gula di rumah. Bukan itu sahaja sebagai ibu ayah, anda juga perlu mengelakkan dari menikmati makanan ini di depan anak-anak.
Jadikan kepimpinan melalui teladan. Si manja akan mengikuti apa sahaja yang dilakukan oleh ibu ayah mereka. Di sinilah peranan anda dalam mengehadkan pengambilan makanan manis dan menggantikannya dengan buah-buahan, kekacang, kismis dan kurma sebagai kudapan di rumah.
Makanan sebegini bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal, tetapi mental juga. Anak yang aktif meneroka dunia memerlukan lebih banyak tenaga untuk membantu daya berfikir, menerima rangsangan di sekeliling dan melakukan pelbagai aktiviti dengan yakin.
Sumber: Hello Sehat
Kredit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.combahaya-makan-malam