Hati ibu mana yang tak risau bila anak tidak mahu makan atau mula hilang selera makan. Asal disuap sahaja anak anda mula mengelak. Takut pula anak anda kelaparan nanti.
Kebiasaannya bayi akan makan apabila lapar. Jadi bila bayi kurang makan tidak seperti selalu, ini akan menjadi salah satu kerisauan buat ibu bapa.
Bagi bayi yang berumur 12 bulan, situasi ini mungkin dilihat sebagai sesuatu yang membimbangkan buat ibu bapa. Tetapi, ianya bukanlah sesuatu yang patut anda terlalu risaukan. Anda kena ketahui terlebih dahulu jika anak anda kurang selera makan. Perhatikan keadaan anak anda sekiranya anak anda mengalami tanda-tanda seperti dibawah.
Tanda-tanda anak kurang selera makan
- Tidak mahu makan makanan kegemaran mereka
- Muntah-muntah
- Iritasi
- Batuk
- Keluar air liur
Punca anak hilang selera makan
Percaya atau tidak, kehilangan selera makan ini biasa berlaku apabila anak anda kian membesar dan merupakan sesuatu yang normal. Selera makannya mula berubah dan lebih memilih untuk tidak menjamah apa-apa apabila disuap.
Selain daripada mengetahui tanda-tanda anak selera makan, apa yang anda perlu ketahui seterusnya ialah punca atau penyebab kenapa anak anda hilang selera makan dan mengapa ianya berlaku,
#1 Anak anda tumbuh gigi
Anda mungkin tidak menyedari tetapi sebenarnya anak anda nak tumbuh gigi! Aw, comelkan? Ramai ibu bapa yang tidak sedar akan hal ini. Apabila anak anda hendak tumbuh gigi secara tidak langsung, ia akan menyebabkan anak anda kurang selera makan kerana anak anda berasa sakit sewaktu makan.
Patutkah anda bimbang? Oh tidak! Kebiasaannya, ia hanya akan berlaku selama dua minggu dan selepas itu selera anak anda kembali semula. Pada waktu ini, gusi anak anda akan berasa sensitif yang akan menyebabkan anak anda berasa sakit. Berikan anak anda banyak air untuk menolongnya dan berikan sesuatu yang mudah dikunyah seperti yogurt, makanan solid yang lembut dan sebagainya untuk membantu anak anda makan.
#2 Pembesaran
Ya, anak anda semakin membesar! Jadi adalah normal bagi anak anda untuk kurang selera makan. Pembesaran anak anda adalah berbeza-beza mengikut tahap pembesaran. Maka, tidak hairanlah mengapa anak anda dilihat seperti kurang makan.
Disebabkan tahap pembesaran inilah mengapa anak anda tidak lagi mengambil jumlah makanan yang sama. Sekiranya anak anda berumur 15 bulan, anak anda tidak lagi makan jumlah yang sama sewaktu anak anda 11 bulan sebagai contoh.
Pengurangan kalori dalam pengambilan makanan adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam kalangan bayi disebabkan faktor pembesaran.
#3 Panas
Anda pasti hairan mengapa suhu dikaitkan sebagai punca anak hilang selera makan. Sebenarnya bayi yang berada dalam keadaan panas memang susah nak dipujuk makan. Samalah juga macam orang dewasakan? Kita pun tak suka makan dalam keadaan panas sama seperti anak anda.
Apabila anak anda mula berasa tidak selesa, anak anda tidak akan mahu makan. Jadi penting untuk anda pakaikan anak anda dengan baju menggunakan kain yang tidak panas.
Kalau anak anda mula berasa panas dan berpeluh teruk, cepat-cepat anda cari kain basah untuk sejukkan badan anak anda.
Selain itu, anda perlu pastikan bahawa anak anda tidak terlalu dahaga dan sentiasa beri air untuk menyejukkan badan anak anda.
#4 Sakit
Bila anak anda dijangkiti demam, selsema atau batuk, anak anda akan mengalami pengurangan selera makan. Ia juga adalah satu simpton yang normal kerana ianya biasa berlaku. Sakit ini juga menyebabkan anak anda tidak mahu menjamah makanan kerana badannya yang lemah.
Selain daripada jangkitan yang biasa dialami oleh kanak-kanak seperti diatas, jangkitan lain seperti jangkitan telinga, bakteria dan bronchitis juga turut menyumbang kepada faktor pengurangan selera dalam kalangan kanak-kanak.
Pastikan anak anda rehat dengan secukupnya dan beri ubat mengikut nasihat doktor.
#5 Terlebih minum
Kadang-kadang bila anak hilang selera makan ini, ibu bapa sampai pening kepala nak cari punca. Tetapi sebenarnya, kehilangan selera makan ini adalah kerana anak anda terlebih minum air!
Nampak macam remeh kan, tapi bila anak anda terlebih minum air perutnya pun mula penuh. Sudah tentulah anak anda susah nak makan lepas tu.
Bukan sahaja air biasa tetapi ini yang selalu ibu bapa selalu buat. Terlalu banyak sangat beri susu badan atau susu formula kepada anak. Bila dah kenyang susah anak anda nak makan benda lain.
#6 Pemakanan
Selain daripada itu, antara punca lain yang menyebabkan anak anda tidak mahu makan adalah disebabkan faktor permakanan.
- Terus perkenalkan makanan pepejal – Anak terkejut jadi tidak mahu makan
- Alahan pada makanan – Anda kena tahu anak anda alah pada makanan apa
- Makanan berat – Sesetengah makanan mempunyai kandungan serat yang tinggi, jadi anak anda akan lebih kenyang dan mengambil masa untuk makan.
Bila anda patut risau?
Jumpa doktor dengan kadar segera sekiranya anak anda masih kurang selera makan dan keadaannya tidak berubah, pengurangan berat badan yang drastik, hilang selera makan diikuti dengan sakit atau demam panas, atau berat badan bayi anda tidak naik selepas berbulan-bulan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak Tidak Mahu Makan? Ini Caranya untuk Pastikan Anak Anda Membesar dengan Sihat